Sambutan Hari Guru 2026 bertemakan 'Guru Bitara, Nadi Negara' di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Klang Jaya, Selangor diraikan dalam suasana sederhana namun penuh bermakna menerusi kerjasama erat antara Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Pertubuhan 99 Kebajikan Insan (Kesan), wakil Syarikat Radix serta komuniti setempat.
Program yang berlangsung di Surau Ubudiah, Taman Klang Jaya itu menjadi platform menghargai jasa dan pengorbanan para guru yang selama ini memainkan peranan penting dalam membentuk generasi masa depan negara.
Yang Dipertua PIBG, SK Taman Klang Jaya, Azah Razman berkata, sambutan tersebut bukan sekadar meraikan Hari Guru, malah menjadi simbol kerjasama erat antara pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat.
"Hari ini merupakan hari yang amat bermakna buat guru-guru di sekitar Taman Klang Jaya. Bagi pihak PIBG, saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Guru 2026 kepada semua warga pendidik.
"Sebagai tanda penghargaan dan kasih sayang kepada guru-guru yang telah membentuk generasi hari ini, program ini dilaksanakan secara bersama dengan pelbagai pihak.
"Kami berharap kolaborasi bersama komuniti, penduduk setempat, 99 Kesan dan KGMMB dapat memberikan impak yang positif kepada semua pihak," katanya.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pengerusi 99 Kesan, Muhd Ali Zakariah; Imam Surau Ubudiah, Hamidun Mohd Noor dan wakil Syarikat Radix, Mohd Erwan Pitin.
Menurut Azah, penglibatan guru-guru daripada KGMMB dan ahli-ahli PIBG dalam program tersebut diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam menghargai golongan pendidik yang menjadi tunjang kecemerlangan pendidikan negara.
Sementara itu, Presiden KGMMB, Mohd Sobri Yusof melahirkan rasa terharu dan berterima kasih kepada pihak surau, PIBG serta NGO yang bersama-sama menjayakan sambutan Hari Guru tahun ini.
Beliau berkata, kerjasama yang terjalin antara guru dan ibu bapa merupakan elemen penting dalam memastikan perkembangan murid dapat diperkasakan secara menyeluruh.
"Kerjasama antara kami dan pihak PIBG hari ini amat kami hargai. Kami berharap kedua-dua entiti ini dapat terus berganding bahu dalam membentuk anak-anak di sekolah agar menjadi insan yang berguna selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia melalui pembinaan sinergi bersama masyarakat," katanya.
Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh ukhuwah itu turut diserikan dengan bacaan tahlil dan doa selamat sebagai tanda kesyukuran serta penghargaan kepada warga pendidik.
Sebagai simbolik sambutan, sesi memotong pulut kuning turut diadakan melibatkan semua tetamu dan pihak yang hadir, sekali gus menyemarakkan lagi semangat kebersamaan dalam menghargai jasa guru yang tidak ternilai dalam mendidik anak bangsa.