Pada usia yang baru mencecah 10 tahun, Muhammad Arami Mohamad Fadzil sudah berada di puncak tenis remaja negara.
Murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Pusu, Gombak itu mencipta kejayaan membanggakan apabila muncul johan kategori Perseorangan Lelaki Bawah 10 Tahun dalam Kejohanan Tennis Malaysia National Junior Championship 2026, sekali gus mengesahkan kedudukannya sebagai pemain nombor satu Malaysia bagi kategori 10U.
Dalam kejohanan yang menghimpunkan 16 pemain terbaik negara itu, Arami mempamerkan aksi cemerlang dan ketenangan luar biasa apabila berjaya menewaskan pencabar-pencabar terbaik dari seluruh Malaysia.
Di sebalik kejayaan yang diraih, perjalanan Arami sebenarnya bermula daripada pemerhatian seorang guru yang berjaya melihat potensi besar dalam dirinya.
Menurut maklumat yang dikongsikan kepada Sinar Bestari, minat Arami terhadap sukan tenis mula berkembang ketika dia berusia lapan tahun selepas bakatnya dikesan oleh guru, Fakhrullah Ibrahim.
Sejak detik itu, dia mula menunjukkan perkembangan yang sangat memberangsangkan dan tidak pernah menoleh ke belakang dalam mengejar impian sebagai pemain tenis.
Dengan sokongan berterusan daripada keluarga dan pihak sekolah, Arami terus mengasah kemahiran melalui latihan yang konsisten serta penyertaan dalam pelbagai kejohanan di peringkat negeri dan kebangsaan.
Menariknya, kecintaan terhadap tenis turut mengalir dalam keluarga apabila adiknya, Muhammad Ardhani, yang kini berusia enam tahun, turut menunjukkan minat mendalam terhadap sukan tersebut.
Malah, Ardhani juga telah diberi kepercayaan mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam kejohanan yang sama, sekali gus menggambarkan potensi besar yang dimiliki kedua-dua adik-beradik itu untuk menjadi pelapis tenis negara pada masa hadapan.
Sokongan sekolah jadi pembakar semangat
Di sebalik pencapaian cemerlang Arami, keluarganya mengakui sokongan daripada pihak sekolah memainkan peranan penting dalam membina keyakinan dan semangat untuk terus melangkah jauh.
Mereka menzahirkan penghargaan kepada barisan pentadbir serta guru-guru SK Sungai Pusu yang sentiasa memberi dorongan dan galakan sepanjang penglibatan Arami dalam arena tenis.
Menurut keluarga, selepas mula serius dalam sukan tersebut, Arami menunjukkan komitmen tinggi terhadap latihan dan sentiasa berusaha memperbaiki prestasinya dari semasa ke semasa.
Dia kini menjalani latihan secara konsisten di Kuala Lumpur Lawn Tennis Association (KLLTA), selain turut memberi perhatian terhadap aspek kecergasan fizikal dan ketahanan mental.
Menariknya, latihan kecergasan itu dibimbing sendiri oleh bapanya yang sentiasa berada di sisi sebagai tulang belakang utama dalam perjalanan sukan anaknya.
Gabungan sokongan keluarga, sekolah dan jurulatih dilihat menjadi ramuan penting yang membantu Arami berkembang menjadi antara pemain muda paling menyerlah di negara ini.
INFO
Anugerah dan pencapaian
* Johan MSSD Gombak Single 10U
* Johan MSS Selangor Single 10U
* Johan Single 10U Melaka Open
* Johan Single 10U KL Open
* Naib Johan Single 10U Central Region anjuran Tennis Malaysia
* Johan Single 10U National Junior Championship 2026 anjuran Tennis Malaysia