Dalam mendepani arus digitalisasi ekonomi hari ini, landskap kewangan pengguna telah berubah secara drastik.
Jika dahulu konsep 'beli sekarang, bayar kemudian' lebih sinonim dengan kad kredit atau skim sewa beli barangan elektrik, kini fenomena Buy Now, Pay Later (BNPL) muncul sebagai antara inovasi kewangan digital yang semakin mendapat tempat dalam masyarakat.
Dengan hanya beberapa klik, pengguna dapat memperoleh barangan atau perkhidmatan tanpa perlu membuat pembayaran penuh secara serta-merta.
Kemudahan ini dilihat begitu menarik khususnya bagi golongan muda yang ingin memenuhi keperluan dan gaya hidup dalam era ekonomi digital.
Namun, di sebalik kemudahan yang tampak mesra pengguna, timbul persoalan penting dari sudut ekonomi Islam: adakah BNPL benar-benar menjadi solusi kewangan moden atau sebenarnya satu bentuk jerat hutang yang terselindung di sebalik kemudahan teknologi?
Kebimbangan mengenai fenomena ini bukan sekadar persepsi, malah disokong oleh data rasmi pihak berkuasa kewangan negara.
Menurut Kementerian Kewangan Malaysia (MOF), skim BNPL merekodkan kira-kira 243 juta transaksi bernilai RM21.3 bilion sepanjang tahun 2025, menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun sebelumnya.
Lebih membimbangkan, sekitar 40 peratus pengguna terdiri daripada golongan belia berumur 30 tahun ke bawah, manakala lebih 70 peratus pengguna aktif datang daripada kumpulan B40.
Walaupun Bank Negara Malaysia (BNM) memaklumkan risiko keberhutangan BNPL masih berada pada tahap terkawal iaitu sekitar 0.3 peratus daripada jumlah hutang isi rumah negara, peningkatan penggunaan secara mendadak tetap menimbulkan kebimbangan terhadap tahap literasi kewangan masyarakat serta kesannya terhadap kesejahteraan pengguna.
Dari sudut ekonomi, BNPL sememangnya memberi manfaat tertentu kepada pengguna dan peniaga.
Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat, kemudahan ini memberi ruang kepada individu membeli keperluan seperti komputer riba, telefon bimbit atau kelengkapan pembelajaran tanpa perlu menyediakan wang tunai yang besar.
Bagi peniaga pula, BNPL membantu meningkatkan jualan dan memperluaskan akses pelanggan.
Namun begitu, persoalan utama dalam ekonomi Islam bukan sekadar soal kemudahan, tetapi turut melibatkan aspek keadilan, keseimbangan dan kesejahteraan kewangan pengguna.
Secara asasnya, Islam tidak menolak konsep pembelian secara tangguh kerana transaksi sedemikian telah lama diamalkan menerusi kontrak seperti bay’ bithaman ajil iaitu jual beli dengan pembayaran secara ansuran pada harga yang telah dipersetujui, serta murabahah, iaitu jual beli yang melibatkan pendedahan kos asal barang berserta kadar keuntungan yang diketahui kedua-dua pihak.
Akan tetapi, Islam sangat menitikberatkan unsur kejelasan akad, ketelusan harga, ketiadaan unsur riba serta gharar iaitu ketidakpastian atau unsur samar yang boleh menyebabkan ketidakadilan dalam transaksi yang boleh menzalimi mana-mana pihak.
Dalam konteks BNPL, persoalan utama timbul apabila terdapat platform yang mengenakan caj penalti lewat bayar atau syarat tertentu yang kurang difahami pengguna.
Sebagai contoh, caj lewat bayar bagi perkhidmatan BNPL di Malaysia berbeza mengikut penyediaan platform.
Secara umumnya, pengguna boleh dikenakan caj pentadbiran atau penalti sekitar RM10 hingga RM30 sekiranya gagal membuat pembayaran mengikut jadual yang ditetapkan.
Antara platform popular ialah Grab PayLater yang mengenakan caj pentadbiran bagi ansuran tertunggak, Shopee SPayLater yang mengenakan caj tertentu bergantung kepada jumlah prinsipal bil, serta Atome yang turut mempunyai penalti kelewatan pembayaran berdasarkan syarat perkhidmatan masing-masing.
Dalam kebanyakan situasi, akaun pengguna juga boleh dibekukan sementara sehingga tunggakan diselesaikan.
Walaupun jumlah caj ini mungkin dilihat kecil, ia berpotensi menjadi beban kewangan apabila pengguna mempunyai beberapa komitmen BNPL secara serentak yang boleh menyebabkan pengguna terperangkap dalam kitaran hutang yang berpanjangan.
Dari sudut syariah, caj lewat bayar ini perlu diteliti dengan berhati-hati. Dalam kewangan Islam, sebarang caj kelewatan mestilah berbentuk ta’widh (pampasan kerugian sebenar) atau gharamah (denda yang tidak bertujuan keuntungan).
Jika caj tersebut menjadi sumber keuntungan tambahan kepada penyedia perkhidmatan, ia boleh mendekati unsur riba alnasi’ah, iaitu pertambahan hutang akibat kelewatan pembayaran yang jelas diharamkan dalam Islam.
Firman ALLAH SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 275 menegaskan bahawa ALLAH menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba, sekali gus menjadi asas utama dalam sistem kewangan Islam.
Selain isu hukum, penggunaan BNPL juga memberi kesan terhadap tingkah laku kewangan masyarakat.
Hakikatnya, ramai pengguna terutama golongan muda terdorong menggunakan BNPL bukan semata-mata untuk keperluan asas, tetapi bagi memenuhi kehendak gaya hidup seperti pembelian fesyen, gajet mahal atau percutian.
Salah satu cabaran utama penggunaan BNPL ialah ia boleh mewujudkan apa yang disebut sebagai 'ilusi kemampuan', iaitu keadaan apabila pengguna merasakan mereka mampu membeli sesuatu hanya kerana bayaran dibuat secara ansuran kecil.
Sebagai contoh, seseorang mungkin terdorong membeli sepasang kasut sukan berharga RM300 kerana hanya perlu membayar sekitar RM50 sebulan.
Walaupun jumlah bulanan kelihatan kecil, hakikatnya pengguna sedang menanggung komitmen hutang yang mungkin melebihi kemampuan sebenar apabila dicampur dengan pelbagai komitmen lain.
Lebih membimbangkan, faktor pemasaran agresif, tawaran ansuran mudah serta slogan seperti 'bayar kemudian' berpotensi mendorong masyarakat berbelanja secara berlebihan tanpa mempertimbangkan kemampuan sebenar.
Fenomena ini menjadi lebih membimbangkan apabila pengguna mempunyai beberapa akaun BNPL serentak.
Apabila terlalu banyak komitmen bertindih, pengguna berisiko menghadapi masalah aliran tunai dan akhirnya gagal melangsaikan bayaran mengikut jadual.
Dari perspektif ekonomi Islam, hutang sepatutnya menjadi pilihan bagi keperluan daruriyyat, iaitu keperluan asas atau mendesak, bukannya untuk memenuhi kehendak berbentuk tahsiniyyat seperti kemewahan atau gaya hidup semata-mata.
ALLAH turut mengingatkan dalam Surah al-Isra’ ayat 27 bahawa pembazir adalah saudara syaitan, sekali gus menegaskan kepentingan kesederhanaan dalam berbelanja.
Bagi memastikan industri BNPL terus berkembang secara sihat dalam ekosistem ekonomi Islam negara, pemantauan daripada pihak berkuasa seperti Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti amat penting, termasuk melalui penggubalan undang-undang berkaitan kredit pengguna.
Pada masa yang sama, penyedia perkhidmatan BNPL juga perlu mengelakkan pemasaran agresif yang mendorong golongan muda berhutang secara melulu tanpa memahami risiko kewangan jangka panjang.
Akhirnya, tanggungjawab terbesar tetap terletak pada pengguna sendiri.
Prinsip kesederhanaan (iktisad) perlu dijadikan panduan utama dalam setiap keputusan kewangan.
Setiap pembelian seharusnya dinilai sama ada benar-benar satu keperluan atau sekadar kehendak sementara.
Dalam Islam, pengurusan kewangan bukan sekadar soal kemampuan membeli, tetapi juga amanah dalam mengurus harta agar tidak membawa kepada beban hutang pada masa hadapan.
Kesimpulannya, BNPL bukanlah sesuatu yang sepenuhnya baik atau buruk.
Ia hanyalah alat kewangan moden yang boleh memberi manfaat jika digunakan secara berdisiplin, namun boleh menjadi jerat hutang jika disalahgunakan.
Seperti pisau yang boleh memudahkan atau mencederakan, BNPL bergantung kepada cara ia digunakan.
Tanpa ilmu kewangan dan kawalan diri, kemudahan ini berpotensi menjejaskan kestabilan kewangan individu.
Oleh itu, masyarakat perlu bijak berbelanja dengan berpaksikan nilai Islam yang menekankan keadilan, kesederhanaan dan keberkatan dalam setiap urusan kewangan.
Maklumat penulis:
1) Mahasiswa Tahun Dua, Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam) dengan Kepujian, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nurul Nabihah Lokman
2) Penyelaras Kursus Pengenalan kepada Ekonomi Islam, UMT, Dr Jaharudin Padli
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my