Kolej MARA Banting (KMB), Selangor sememangnya terkenal sebagai institusi yang berjaya melahirkan pelajar berprestasi tinggi sehingga menempatkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
Antara alumni yang pernah mengharumkan nama institusi itu ialah Amani Amri yang berjaya memperoleh Kepujian Kelas Pertama dalam program Integrated Master's Degree in Electronics & Electrical Engineering di University of Edinburgh, Scotland.
Lebih membanggakan, beliau turut menerima Whittington Prize, anugerah berprestij yang diberikan kepada pelajar terbaik dalam bidang Electrical Power di universiti berkenaan.
Kecemerlangan KMB diteruskan pula menerusi alumni, Iman Mohamad Afif yang dinobatkan Pelajar Terbaik Tahun 2025 bagi program Master of Engineering (MEng) in Chemical Engineering with Energy and Environment di University of Manchester.
Iman juga berjaya menamatkan pengajian dengan Kepujian Kelas Pertama, sekali gus membuktikan kemampuan graduan Malaysia untuk bersaing di peringkat global.
Di sebalik kejayaan demi kejayaan yang dicapai para alumninya, KMB turut memiliki barisan pendidik yang sentiasa berusaha memperkukuh budaya kecemerlangan dan penyelidikan.
Terbaharu, Guru Matematiknya, Cikgu Ahmad Akif Ibrahim, mengharumkan nama kolej apabila merangkul Best Paper Award pada International Conference of Research and Education for Educators 2026 (ICREE 2026) di Langkawi, Kedah.
Menurut hantaran rasmi KMB di media sosial, pencapaian bertaraf antarabangsa itu merupakan bukti nyata dedikasi, komitmen dan kecemerlangan Cikgu Ahmad Akif dalam memajukan bidang penyelidikan pendidikan.
"Kejayaan ini bukan sahaja menaikkan nama institusi, malah menjadi inspirasi besar buat seluruh warga pendidik dan pelajar di KMB.
"Pencapaian beliau mencerminkan dedikasi dan kecemerlangan dalam bidang penyelidikan pendidikan. Semoga terus berjaya mengharumkan nama institusi dan negara," menurut hantaran tersebut.
Untuk rekod, ICREE 2026 merupakan persidangan akademik tahunan yang menghimpunkan penyelidik, ahli akademik, pendidik dan pembuat dasar bagi membincangkan penyelidikan, inovasi serta amalan terkini dalam bidang pendidikan.
Persidangan itu dianjurkan Malaysia Association of Research and Education for Educators (MAsREE) dan menjadi platform penting dalam memperkasa budaya penyelidikan serta perkongsian ilmu dalam kalangan warga pendidikan.