‘Mereka juga hebat’: Dua pelajar autisme SK Alam Megah (3) rangkul juara Pertandingan Lukisan Kanvas

Iklan
Nor Aisyah Nor Lazim (kiri) dan Nur Raisha Rania Abdullah bersama karya masing-masing yang memenangi Pertandingan Lukisan Kanvas PPKI Daerah Petaling Perdana.

Walaupun didiagnosis sebagai autisme kategori ringan (mild), dua murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan Alam Megah (3), Shah Alam membuktikan bahawa kekurangan bukan penghalang untuk mencipta kejayaan.

Nor Aisyah Nor Lazim, 11, muncul juara apabila meraih tempat pertama, manakala Nur Raisha Rania Abdullah, 12, memenangi tempat ketiga dalam Pertandingan Lukisan Kanvas PPKI (Kategori Autisme) Peringkat Daerah Petaling Perdana.

Iklan
Iklan

Lebih membanggakan, pertandingan yang menghimpunkan murid pendidikan khas sekolah rendah dan menengah itu merupakan penyertaan pertama buat kedua-dua pelajar berkenaan.

Guru pengiring, Nur Hanani Ismail berkata, beliau sendiri tidak menyangka anak didiknya mampu mencipta kejayaan besar pada penampilan sulung.

Iklan

“Saya tidak sangka Nor Aisyah dan Nur Raisha boleh memenangi pertandingan ini. Ramai yang masih skeptikal terhadap kemampuan pelajar autisme, tetapi bagi saya mereka mempunyai bakat dan kemahiran tersendiri.

“Sebagai Ketua Panitia Pendidikan Seni PPKI SK Alam Megah (3), saya sentiasa memberi dorongan dan galakan kepada murid-murid istimewa ini untuk terus mencuba dan yakin dengan diri mereka,” katanya.

Iklan

Nur Hanani yang juga ibu kepada seorang anak autisme berkata, sokongan keluarga memainkan peranan penting dalam perkembangan anak-anak istimewa.

“Ibu bapa perlu sentiasa berfikiran terbuka dan memberi sokongan kepada setiap proses pembelajaran anak-anak autisme kerana mereka memerlukan sistem sokongan daripada keluarga terdekat,” ujarnya.

Nor Aisyah dan Nur Raisha Rania mendapat bimbingan daripada pelukis abstrak, Rosli Mohd Nordin bagi mengasah bakat seni kedua-dua pelajar istimewa ini.

Latihan khas dua minggu

Sementara itu, mentor kepada kedua-dua pelajar berkenaan, Rosli Mohd Nordin berkata, mereka menjalani latihan intensif selama dua minggu sebelum pertandingan berlangsung.

“Ini kali pertama mereka didedahkan dengan penggunaan medium akrilik dan ia merupakan syarat utama pertandingan. Jadi saya mengadakan kelas khas bagi membantu mereka memahami teknik dan penggunaan warna dengan lebih baik,” katanya.

Rosli yang juga seorang pelukis abstrak percaya murid autisme memiliki potensi besar yang perlu diketengahkan secara lebih meluas.

“Di negara Barat, ramai individu autisme diberi peluang mengikuti kelas kemahiran yang akhirnya boleh dikomersialkan dan menjadi sumber pendapatan apabila dewasa. Saya percaya perkara yang sama boleh dilakukan di negara kita jika diberi ruang dan sokongan,” jelasnya.

Bagi Nor Aisyah, kemenangan tersebut menjadi pengalaman yang amat bermakna buat dirinya.

“Saya rasa sangat seronok dan gembira kerana memenangi pertandingan ini. Terima kasih kepada Teacher Nur Hanani kerana sentiasa memberi saya peluang seperti ini,” katanya dengan penuh ceria.

Kejayaan itu juga membuka peluang kepada Nor Aisyah untuk mewakili Daerah Petaling Perdana ke pertandingan peringkat negeri Selangor dalam masa terdekat.

Pertandingan yang dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Perdana itu membawa tema 'Dunia Kreatif Tanpa Batasan dan menjadi platform untuk murid dalam spektrum autisme mengekspresikan idea, emosi dan imaginasi mereka melalui seni lukisan di atas kanvas.

Selain mencungkil bakat seni visual, program berkenaan turut membantu meningkatkan keyakinan diri, kemahiran motor halus dan interaksi sosial dalam kalangan peserta.

Pemenang menerima plak dan sijil penyertaan sebagai tanda pengiktirafan terhadap usaha serta kreativiti mereka.

Nur Hanani Ismail (dua dari kiri) tersenyum bangga dengan pencapaian dua orang pelajarnya iaitu Nor Aisyah dan Nur Raisha Rania.

Menurut Nur Hanani, pertandingan itu membuktikan komitmen PPD Petaling Perdana dalam memperkasa pendidikan khas melalui aktiviti kokurikulum yang inklusif dan bermakna.

“Program seperti ini bukan sahaja mencungkil bakat terpendam, malah membuka mata masyarakat bahawa murid berkeperluan khas, khususnya dalam spektrum autisme, juga mempunyai potensi besar untuk berjaya jika diberi peluang dan sokongan yang sewajarnya,” katanya.

Kisah Nor Aisyah dan Nur Raisha membuktikan bahawa setiap anak mempunyai keistimewaan tersendiri. Dengan sokongan guru, ibu bapa dan masyarakat, murid dalam spektrum autisme juga mampu menyerlah, mencipta kejayaan dan menjadi inspirasi kepada ramai pihak.

Dalam dunia pendidikan, bakat tidak diukur melalui kekurangan yang dimiliki, tetapi melalui peluang yang diberikan dan keberanian untuk mencuba.