Mengenal pasti tahap penguasaan murid sejak awal amat penting bagi memastikan tiada yang tercicir dalam pembelajaran.
Jadi, pelaksanaan Ujian Matriks Pembelajaran Tahun 4 bertujuan memberikan gambaran sebenar tentang penguasaan kemahiran asas literasi, numerasi dan mata pelajaran teras, sekali gus membantu sekolah, guru serta ibu bapa merancang intervensi yang lebih berkesan.
Dekan Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat (FTSM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Nurhizam Safi e Mohd Satar berkata, inilah pentingnya peranan ibu bapa untuk memastikan anak-anak mempunyai rutin belajar yang konsisten, masa tidur mencukupi dan pemakanan yang seimbang.
Tegasnya, ibu bapa perlu mengelak perbandingan antara anak dengan rakan atau adik-beradik lain.
“Ujian Pembelajaran Matriks Tahun 4 ini sebenarnya proses pembelajaran yang dihadapi oleh setiap orang. Apabila mereka tidak mendapatkan keputusan yang cemerlang, ibu bapa perlu beri semangat.
“Proses pembelajaran setiap murid pada kadar berbeza-beza. Jadi, setiap keputusan yang mereka peroleh, raikan dengan baik,” katanya.
Kuasai konsep, bukan sekadar menghafal
Dalam menghadapi Ujian Matriks Pembelajaran Tahun 4, murid tidak sepatutnya menjadikan hafalan sebagai strategi utama.
Sebaliknya, persediaan terbaik ialah dengan mengukuhkan kefahaman terhadap konsep asas yang telah dipelajari sejak Tahun 1 hingga Tahun 4, agar mereka benar-benar memahami setiap topik yang dipelajari.
Selain mengulang kaji secara konsisten, Nurhizam Safi e memaklumkan bahawa murid juga digalakkan melakukan latihan secara berkala bagi membiasakan diri mengaplikasikan pengetahuan dalam pelbagai bentuk soalan.
“Amalan membaca bahan pembelajaran dan berbincang dengan guru sekiranya terdapat topik yang kurang difahami turut membantu meningkatkan penguasaan kemahiran asas literasi, numerasi serta mata pelajaran teras.
“Pada masa yang sama, aspek keyakinan diri tidak boleh dipandang ringan. Mereka perlu dididik supaya melihat pentaksiran sebagai peluang kenal pasti kekuatan dan kelemahan diri, bukannya perlu ditakuti,” katanya.