PIBG SK KLIA anjur taklimat bantu ibu bapa buat persediaan kemasukan ke SBP & MRSM

Iklan
Apabila ibu bapa memahami proses permohonan dan syarat kemasukan dengan lebih jelas, mereka dapat membimbing anak-anak membuat persediaan sekali gus meningkatkan keyakinan untuk bersaing.

Ketika permohonan kemasukan ke Sekolah Khusus dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) masih dibuka sehingga 14 Ogos depan, ramai ibu bapa mula membuat persediaan bagi memastikan anak-anak tidak terlepas peluang melanjutkan pelajaran ke institusi berprestij tersebut.

Namun begitu, masih terdapat ibu bapa yang kurang jelas mengenai syarat kelayakan, proses permohonan dan persediaan yang perlu dilakukan mereka untuk anak masing-masing.

Iklan
Iklan

Menyedari keperluan itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Sekolah Kebangsaan (SK) KLIA, Selangor mengambil inisiatif menganjurkan 'Taklimat Akademik: Persediaan Kemasukan ke SBP & MRSM' bagi memberikan maklumat yang tepat, jelas dan sahih berkaitan sistem pendidikan di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan MRSM.

Naib Yang Dipertua PIBG, SK KLIA, Nor Ashikim Mahmad Redzuan berkata, program itu merupakan komitmen berterusan PIBG dalam membantu ibu bapa merancang hala tuju pendidikan anak-anak secara lebih terancang dan sistematik. 

Iklan

"Kami berharap pendedahan ini dapat meningkatkan kesedaran ibu bapa dan murid mengenai keperluan akademik serta persediaan yang perlu dibuat bagi melayakkan diri ke sekolah berkenaan.

Iklan

"Apabila ibu bapa memahami proses permohonan dan syarat kemasukan dengan lebih jelas, mereka dapat membimbing anak-anak membuat persediaan lebih awal sekali gus meningkatkan keyakinan untuk bersaing," katanya.

Sesi taklimat itu dikendalikan barisan penceramah berpengalaman iaitu Kaunselor MRSM Kuala Klawang, Muhammad Azriff Azmi; Kaunselor Kolej Tunku Kurshiah, Noraziah Abdul Aziz; Penolong Kanan Pentadbiran SK KLIA, Noor Lela Hassim dan Kaunselor SK KLIA, Nora Asmawati Jusoh.

Diharapkan usaha PIBG SK KLIA ini dapat membantu lebih ramai murid melangkah ke SBP dan MRSM dengan lebih yakin, sekali gus melahirkan generasi cemerlang, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran pendidikan pada masa hadapan.