Alumni MRSM berjaya ikuti PhD berkembar, ikuti tip yang dikongsikan di sebalik kejayaan itu

Iklan
Untitled design (2)

Perkongsian mengenai kejayaan dalam menuntut ilmu sudah pastinya satu cerita yang mampu menarik perhatian warga maya kerana tersimpan seribu pengalaman dan kisah inspirasi untuk dijadikan teladan.

Iklan
Iklan

Kaunselor Majlis Amanah Rakyat (MARA), Dr Zulkifli Hussain, sekali lagi membuat perkongsian di Facebook miliknya mengenai kejayaan bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Rabiatul Aliah Mahmud, yang boleh dijadikan contoh kepada masyarakat.

Iklan

Rabiatul Aliah adalah bekas pelajar MRSM Balik Pulau (MRSMBP) yang berjaya mengikuti pengajian doktor falsafah (PhD) berkembar di Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Osaka, Jepun.

Iklan

Melalui perkongsian itu, Rabiatul Aliah yang dilahirkan di Sungai Petani, Kedah, turut berkongsi beberapa tip untuk pelajar yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dan PhD.

Ikuti perkongsian penuh daripada Dr Zulkifli mengenai kejayaan Rabiatul Aliah dan tip yang dikongsikan pelajar berkenaan sebagai sumber inspirasi kepada pembaca GPSBestari.

****************

RABIATUL ALIAH BINTI MAHMUD BEKAS PELAJAR MRSM BALIK PULAU IKUTI PHD BERKEMBAR (INTERNATIONAL DUAL DOCTORATE PROGRAM) DI UNIVERSITI SAINS MALAYSIA & UNIVERSITI OSAKA JEPUN.

Lagi kisah membanggakan diraih pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). Terinspirasi sungguh apabila mendapat perkongsian ini.

Kali ini saya berkongsi pula, kisah srikandi yang turut melalui perjalanan PhD berkembar, Rabiatul Aliah Mahmud, yang dilahirkan di Sungai Petani, Kedah, dan merupakan anak keempat daripada lima adik-beradik.

Bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim (SMK) (2008-2010) dari Tingkatan 1-3, kemudian menyambung persekolahan di MRSM Balik Pulau (MRSMBP) (2011-2012). Merupakan Lembaga Disiplin Pelajar (LDP) dan meraih keputusan 7A, 2B SPM 2012.

Meneruskan pengajian dalam Asasi Sains di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam selama satu tahun. Memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia di UniKL MICET pada tahun 2018.

Seterusnya menyambung pengajian Ijazah Sarjana Sains (Kejuruteraan Kimia) di School of Chemical Engineering, Universiti Sains Malaysia (USM), Nibong Tebal pada 2020. Kini membuat ‘Double Degree’ Doktor Falsafah dalam bidang Kejuruteraan Kimia di USM, Malaysia dan Osaka University, Jepun.

Meminati bidang penyelidikan bermula dengan pensyarahnya iaitu Prof Datuk Ir Dr Abdul Rahman Mohamed. Sewaktu pengajian ijazah sarjana muda, beliau telah ditaja sepenuhnya menggunakan geran pensyarahnya dan dihantar ke Osaka University, Jepun, selama setahun bagi mempelajari ‘computational studies’. Kemudian ditawarkan membuat Double Degree, di mana beliau akan mendapat dua PhD daripada USM dan Osaka University.

Rabiatul Aliah turut berkongsi tip kepada mereka yang ingin melanjutkan pengajian Sarjana/PhD:

1) Kuatkan semangat

Liku-liku dalam dunia penyelidikan sangat sukar, kita akan sentiasa diduga dengan pelbagai masalah. Oleh itu, ambil masa berehat sebentar dan fikir jalan yang terbaik. Jangan mudah mengalah dan teruskan apa yang sudah kita mulai.

2) Hubungan yang baik dengan penyelia

Tidak dinafikan ini tip yang terbaik. Hubungan yang baik dengan penyelia (supervisors) akan banyak membantu memudahkan perjalanan kajian kita. Apabila ada masalah yang muncul, jangan pernah memendam seorang diri. Sebaiknya berbincanglah dengan berhemah bersama penyelia, mereka mampu memberi pendapat dalam menyelesaikan masalah yang kita hadapi. Mereka juga mahukan kita menghabiskan pengajian dalam masa yang ditetapkan dan memudahkan urusan kita.

3) Ambil peluang yang ada

Tidak salah untuk mencuba. Sekiranya ada peluang, tanya pada diri adakah kita mampu dan ‘grab the chance’. Setelah berada di jalan yang kita pilih, buatlah sehabis baik. Peluang tidak akan sentiasa ada, jadi bersyukur jika diberi peluang untuk membuat sesuatu yang terbaik untuk masa depan kita.

4) Kawan yang memahami

Dunia penyelidikan sangatlah sunyi dan penat. Disebabkan itu, kawan-kawan yang baik dan memahami sangat penting. Apabila penat, merekalah tempat kita mengadu dan berkongsi pendapat. Bercuti atau berehat bersama mereka ataupun keluarga memang sangat-sangat membantu untuk membuat kita kembali bersemangat. Otak juga perlu rehat dan hidup juga perlu diteruskan.

5) Hargai setiap detik sepanjang pengajian

Tidak kira detik bahagia ataupun duka. Semuanya adalah kenangan indah. ‘Enjoy the journey’.

Sekalung tahniah kepada Rabiatul Aliah binti Mahmud, Prof Datuk Ir Dr Abdul Rahman Mohamed dan Professor Morikawa atas usaha merealisasikan impian ini. Semoga usaha ini memberi inspirasi kepada anak-anak muda untuk terus berusaha memperoleh kejayaan.