Seni kulinari bukan sekadar masakan, lebih banyak IPT tawar program seni kulinari

Iklan
Untitled (41)

Bercakap mengenai seni kulinari, pasti ramai yang tergambar aktiviti memasak di dapur tetapi tahukah anda bahawa bidang ini sebenarnya merangkumi aspek yang lebih luas.

Iklan
Iklan

Seni kulinari adalah kursus dalam bidang masakan, penyediaan makanan, pastri dan kek serta aktiviti-aktiviti yang menonjolkan tatacara atau kemahiran menyediakan masakan bermula daripada persiapan sehingga penyediaan hidangan di dalam pinggan.

Iklan

Pendidikan seni kulinari menyediakan peluang kepada pelajar bagi mengasah kemahiran masakan melalui kaedah hands-on dengan persekitaran dan peralatan dapur yang lengkap.

Iklan

Program ini juga membolehkan pelajar mengaplikasikan pengetahuan, kefahaman dan kemahiran dalam industri perkhidmatan makanan dengan pendedahan pengetahuan sanitasi di dalam perkhidmatan makanan, nutrisi, teori makanan, penyajian makanan dan minuman, perancangan menu, penyediaan roti dan pastri, operasi perkhidmatan makanan komersial, kawalan kos makanan dan minuman serta pengurusan sumber manusia.

Pendidikan bidang seni kulinari di negara ini semakin banyak ditawarkan di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) awam atau swasta yang bertujuan melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran, sama ada untuk pasaran kerja atau bekerja sendiri.

Bidang ini juga menjanjikan peluang pekerjaan yang pelbagai dan tidak terhad sebagai cef semata-mata. Graduan seni kulinari boleh menceburi kerjaya sebagai usahawan dan bidang katering, pastri atau pembuatan kek, menjadi pengkritik makanan, cef selebriti, cef eksekutif dan cef penyelidikan serta pembangunan di mana-mana syarikat yang menghasilkan makanan.

Minggu ini GPSBestari kongsikan beberapa IPT dalam negara yang menawarkan program pengajian dalam bidang seni kulinari supaya menjadi rujukan kepada pembaca di luar sana.

Universiti Teknologi Mara (UiTM)

UiTM adalah antara universiti yang menawarkan program pengajian dalam bidang seni kulinari merangkumi peringkat diploma, ijazah dan sarjana.

Beberapa kampus UiTM yang menawarkan program ini ialah UiTM cawangan Pulau Pinang Kampus Permatang Pauh, cawangan Selangor Kampus Puncak Alam, cawangan Terengganu Kampus Dungun dan UiTM Shah Alam.

Syarat am kemasukan lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau yang diiktiraf setaraf dengannya oleh Kerajaan Malaysia dengan mendapat lima kepujian termasuk Bahasa Melayu dan lulus Sejarah.

Management & Science University (MSU)

MSU adalah antara universiti swasta yang turut menjadi pilihan ramai pelajar untuk menyambung pengajian dalam bidang seni kulinari.

Selain program Diploma Seni Kulinari, MSU turut menawarkan program Diploma Seni Patisserie. Kedua-dua program berkenaan ditawarkan di peringkat ijazah sarjana muda.

Beberapa cawangan MSU College juga menawarkan program Diploma Seni Kulinari iaitu di MSU College Shah Alam, Kota Bharu, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Terengganu.

Syarat kelayakan untuk menyambung pengajian Diploma Seni Kulinari di MSU ialah mendapat sekurang-kurangnya tiga kredit atau satu kredit dalam SPM dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3.

Universiti Taylor's

Selain menawarkan program Diploma Seni Kulinari, Universiti Taylor’s turut menyediakan beberapa program pengajian peringkat diploma lanjutan dan ijazah sarjana muda dengan kerjasama Academie de Toulouse, Perancis.

Syarat kemasukan lulus SPM dengan kredit tiga mata pelajaran termasuk Bahasa Melayu dan Sejarah.

UNITAR International University

UNITAR menawarkan program Diploma Seni Kulinari di kampus Petaling Jaya dengan tempoh pengajian dua tahun setengah.

Syarat kemasukan mendapat sekurang-kurangnya kredit tiga mata pelajaran di peringkat SPM atau SKM Tahap 3.

UOW Malaysia KDU University College

IPT ini menawarkan Diploma dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang seni kulinari dan juga Diploma Latihan Chef Profesional dengan kerjasama International Hotel Management Institute, Lucerne, Switzerland.

Syarat kemasukan mendapat sekurang-kurangnya kredit tiga mata pelajaran di peringkat SPM / O-Levels / UEC atau yang setara dengannya.

Universiti Sunway

Diploma Seni Kulinari ditawarkan di universiti ini membabitkan tempoh pengajian selama dua tahun.

Diploma ini mendapat akreditasi dari Le Cordon Bleu dan setelah menamatkan program ini, graduan dianugerahkan dua sijil; satu dari Universiti Sunway dan satu lagi dari Le Cordon Bleu, sebuah institusi terkemuka dalam bidang masakan dan perhotelan.

Syarat kemasukan ke program ini mendapat sekurang-kurangnya kredit tiga mata pelajaran di peringkat SPM/SPMV/O-Levels.

INTI International University and Colleges

IPT ini menawarkan Diploma Seni Kulinari di cawangan Subang, Nilai dan Sabah membabitkan tempoh pengajian selama dua tahun.

Syarat kemasukannya mendapat sekurang-kurangnya kredit tiga mata pelajaran di peringkat SPM/SPMV/O-Levels atau SKM Tahap 3.

Food Institute of Malaysia (FIM)

FIM menawarkan program Diploma Seni Kulinari serta Diploma Pastri dan Bakeri membabitkan tempoh pengajian selama dua tahun setengah.

Syarat kemasukan mendapat sekurang-kurangnya kredit tiga mata pelajaran di peringkat SPM atau SKM Tahap 3.

Kolej Universiti BERJAYA

Universiti ini menawarkan program Diploma Seni Kulinari dan Diploma Patisserie sebagai pilihan kepada pelajar yang ingin mendalami kemahiran meraka dalam kedua-dua bidang berkenaan.

Syarat kemasukan ialah SPM / O-Levels / UEC atau yang setara dengan sekurang-kurangnya kredit tiga mata pelajaran.

Politeknik dan Kolej Komuniti

Politeknik dan Kolej Komuniti juga antara IPT yang menawarkan program Diploma Seni Kulinari.

Syarat kemasukannya lulus Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah di peringkat SPM dan mendapat kepujian dalam Bahasa Melayu serta dua lagi subjek lain.