smkami4
smkami4

SMK Agama Miri perkasa program keagamaan, tawar pelbagai khidmat untuk komuniti

Nor Azma  Muhamat Laila
22 Jul 2022 09:22am
A
A
A

Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Miri (SMKAMi), Sarawak yang mengamalkan budaya adab dulu baru ilmu boleh berbangga dengan pencapaian cemerlang dalam setiap bidang diceburi sehingga menjadi sebutan dalam kalangan masyarakat di bumi kenyalang itu.

Mempunyai pelbagai ‘wow factor’ terutama membabitkan aspek keagamaan serta sumbangan kepada komuniti setempat, SMKAMi pernah mencipta sejarah apabila mencatat rekod bacaan al-Quran paling lama bagi kategori sekolah-sekolah di Malaysia menerusi program Sederap Bersama al-Quran (SBQ).

SBQ adalah acara tahunan SMKAMi yang dimulakan sejak 20 tahun lalu dan impaknya budaya al-Quran di sekolah berkenaan telah membentuk adab serta akhlak yang tinggi dalam kalangan pelajar.

Selain itu, kecemerlangan SMKAMi dalam aspek keagamaan diteruskan apabila pernah dinobatkan sebagai johan Mahrajan Luhgowi Wal Qur'ani Peringkat Kebangsaan 2021 dan Naib Johan Kebangsaan Qiraat Sab'ah Bittarannum 2022.

Kejayaan yang dicipta SMKAMi itu juga mendorong pihak sekolah untuk menyertai Anugerah Sekolah S.M.A.R.T (ASSSB) di bawah kategori Sekolah Menengah – Bandar.

Tidak hanya memberi tumpuan kepada kecemerlangan sekolah, guru dan murid dalam aspek akademik, SMKAMi turut prihatin menghulurkan khidmat bakti kepada masyarakat menerusi penubuhan Pusat Pelupusan al-Quran di sekolah berkenaan.

Dengan penubuhan pusat itu, menjadikan SMKAMi sebagai sekolah pertama di Sarawak yang menyediakan perkhidmatan pelupusan al-Quran.

Pusat berkenaan ditubuhkan hasil wakaf masyarakat berjumlah RM9,800 dan dibuka penggunaannya kepada komuniti manakala ahli jawatankuasa dalam kalangan pelajar berperanan membuat pelupusan dengan membakarnya di tempat yang disediakan.

Pelajar ini akan dibimbing oleh guru penasihat dan pihak sekolah turut mendapat kerjasama Masjid Assyakirin, Bintulu, Sarawak untuk proses menghanyutkan abu di laut dalam.

Dalam pada itu, Skuad Tukang Pusat Sumber Sekolah (PSS) dan Skuad Simen turut ditubuhkan supaya pelajar didedahkan dengan kemahiran bertukang untuk menjadikan mereka seorang yang berkemahiran tinggi dalam segala aspek bagi menghadapi cabaran di masa hadapan.

Kemahiran yang dimiliki turut digunakan untuk membina dan membangunkan sudut-sudut keceriaan di PSS dan kawasan sekitar sekolah serta membantu masyarakat yang memerlukan.

Keunikan yang dimiliki SMKAMi itu juga memboleh sekolah berkenaan dipilih sebagai Johan PSS Negeri Sarawak 2019-2020 dan Johan PSS Peringkat Kebangsaan 2021.

Artikel berkaitan

Guru dan murid SK Kampung Baharu, Jerantut, berganding bahu menyertai ASSSB

Penyertaan ASSSB SK Sungai Bagian, hasil kecemerlangan murid

Anugerah Sekolah S.M.A.R.T Sinar Bestari, hargai inisiatif seluruh warga sekolah capai pelbagai kecemerlangan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan