Bagi Nurhayatul, kejayaan sebenar bukan sekadar trofi dan gelaran, sebaliknya apabila setiap inovasi memberi makna kepada kehidupan murid.
Bagi Nurhayatul, kejayaan sebenar bukan sekadar trofi dan gelaran, sebaliknya apabila setiap inovasi memberi makna kepada kehidupan murid.

Nurhayatul diiktiraf Wiki Impact 100 Changemakers in Malaysia 2025! Hebat graduan UPM

27 Feb 2026 10:55pm

Dari makmal kecil di Universiti Putra Malaysia (UPM) ke pentas pengiktirafan antarabangsa, nama Nurhayatul Nira Ramli kini terpahat sebagai antara pendidik dan inovator pendidikan awal kanak-kanak paling berpengaruh.

Graduan Master Sains Psikologi Pendidikan UPM itu diiktiraf sebagai Wiki Impact 100 Changemakers in Malaysia 2025 susulan kejayaannya membangunkan inovasi 'Kit Bijak Wang: Anak Bijak Cerdik Duit', alat bantu mengajar berasaskan permainan yang memperkenalkan literasi kewangan kepada kanak-kanak.

Hasil kajiannya diterbitkan dalam jurnal berimpak tinggi dan menjadi rujukan pembuat dasar dalam memperkukuh pendidikan kewangan awal negara.

Beliau turut menerima Outstanding Educator Award 2025, dilantik sebagai Advokat Program Sekolah Global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta diundang sebagai pembentang antarabangsa dalam International Digital Education Conference (IDEC) 2025 di Goethe University, Frankfurt.

Sebelum itu, beliau dinobatkan Asia Best Teacher of the Year (Preschool) sempena Education Conclave 2024 serta memenangi Pingat Emas Pertandingan STEMADANI 2024.

Namun di sebalik deretan anugerah, perjalanan Nurhayatul sarat ujian peribadi.

Ketika mengikuti pengajian sarjana mod penyelidikan di UPM, beliau berdepan tekanan hebat sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila suami tidak bekerja dan anak-anak mengikuti PdPR, sedangkan beliau perlu menyiapkan penyelidikan.

"Sebagai ibu, isteri, pendidik dan pelajar pada masa yang sama, ada ketika saya rasa sangat terbeban dan tertekan. Tetapi saya sedar, saya tidak boleh biarkan diri tenggelam dalam emosi itu terlalu lama," katanya ketika ditemui di Majlis Konvokesyen UPM ke-49.

Beliau bangkit menyusun semula rutin hidup dengan disiplin menggunakan perancang harian, membahagikan tugas rumah secara teamwork bersama anak-anak dan berpaut pada kekuatan spiritual.

Artikel Berkaitan:

"Saya belajar, ketenangan datang apabila hubungan kita dengan ALLAH terjaga. Dari situ, barulah datang idea dan kekuatan," katanya lagi.

Sumber kekuatan lain hadir daripada pesanan ringkas tetapi keramat daripada ibunya: jaga tidur, rehat yang cukup dan jangan panik mengejar apa-apa.

"Hidup kena tenang, jangan terburu-buru," pesan ibu, ujar beliau, membentuk peribadinya sebagai pendidik yang tenang tetapi fokus.

Bagi Nurhayatul, kejayaan sebenar bukan sekadar trofi dan gelaran, sebaliknya apabila setiap inovasi memberi makna kepada kehidupan murid.

"Setiap senyuman murid ketika belajar menggunakan kit itu adalah bukti bahawa perubahan sedang berlaku, walaupun bermula di ruang kelas yang kecil," katanya. - Portal UPM

 

 

Ringkasan AI
  • Nurhayatul Nira Ramli diiktiraf sebagai pendidik dan inovator pendidikan awal kanak-kanak yang berpengaruh
  • Beliau menghasilkan "Kit Bijak Wang: Anak Bijak Cerdik Duit", alat bantu mengajar literasi kewangan untuk kanak-kanak
  • Nurhayatul menerima Outstanding Educator Award 2025 dan diundang sebagai pembicara di International Digital Education Conference (IDEC) 2025
  • Beliau juga menang Asia Best Teacher of the Year (Preschool) 2024 dan Pingat Emas Pertandingan STEMADANI 2024
  • Nurhayatul mengatasi tekanan dengan disiplin, pembahagian tugas, dan kekuatan spiritual semasa menjalani pengajian sarjananya di UPM
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp