
PdPR diteliti menyeluruh, keputusan ambil kira kepentingan murid, guru dan ibu bapa
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan meneliti secara menyeluruh pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi memastikan sebarang keputusan yang dibuat mengambil kira kepentingan semua pihak khususnya warga pendidik, ibu bapa serta murid.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, kementerian komited memastikan langkah yang diambil tidak menjejaskan proses pembelajaran murid supaya sesi pendidikan dapat terus berjalan dengan lancar.
Menurutnya, KPM akan membuat keputusan terbaik demi kesejahteraan semua pihak yang terlibat dalam ekosistem pendidikan.
“Kita di pihak KPM akan memastikan keputusan yang dibuat adalah yang terbaik untuk warga pendidik, ibu bapa dan anak-anak.
“Namun begitu, semua pihak perlu menunggu keputusan serta pengumuman rasmi daripada Kabinet berkaitan dasar bekerja dari rumah (BDR) yang dijangka diumumkan minggu hadapan sebelum sebarang ulasan lanjut dapat diberikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Berbuka Puasa bersama Ahli Parlimen Taiping di Taman Tasik Taiping, di sini pada Ahad.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad sebelum ini memaklumkan KPM akan mengadakan perbincangan khusus pada minggu depan bagi memperhalusi mekanisme pelaksanaan BDR termasuk PdPR dalam kalangan pelajar sekolah serta penjawat awam kementerian berkenaan sekiranya dasar tersebut diputuskan untuk dilaksanakan.
- Kementerian Pendidikan Malaysia meneliti pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah
- Timbalan Menteri Pendidikan komited tidak menjejaskan proses pembelajaran murid
- Keputusan akan mengambil kira kepentingan warga pendidik, ibu bapa serta murid
- Keputusan terbaik demi kesejahteraan semua pihak dalam ekosistem pendidikan akan dibuat
- Perbincangan khusus akan diadakan untuk memperhalusi mekanisme pelaksanaan jika dasar bekerja dari rumah dilaksanakan