Terdapat ramai penghafaz al-Quran pada masa kini yang akhirnya tidak dapat mengingati semula ayat-ayat yang pernah dihafaz kerana kurang melakukan murajaah atau ulangan bacaan. Foto: Canva
Terdapat ramai penghafaz al-Quran pada masa kini yang akhirnya tidak dapat mengingati semula ayat-ayat yang pernah dihafaz kerana kurang melakukan murajaah atau ulangan bacaan. Foto: Canva

Bukan sekadar cepat khatam, ini nasihat Dr Muhammad Lukman

16 Mar 2026 04:04pm

Setiap tahun, malah hampir setiap bulan, kita sering mendengar berita mengenai kejayaan para pelajar yang berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran dalam tempoh tertentu.

Pencapaian tersebut sememangnya membanggakan kerana menghafaz keseluruhan al-Quran bukanlah sesuatu yang mudah.

Ia menuntut kesungguhan, disiplin yang tinggi, pengorbanan masa dan tenaga daripada para pelajar.

Di sebalik kejayaan itu, pastinya ada rahsia yang diamalkan oleh mereka sehingga mampu menamatkan hafazan dengan baik. Namun, persoalan yang sering timbul ialah sejauh mana hafazan itu benar-benar kekal dalam ingatan selepas mereka menamatkan pengajian.

Pendakwah terkenal tempatan, Dr Muhammad Lukman Ibrahim, yang juga pensyarah dalam bidang pengajian al-Quran di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), menjelaskan bahawa menamatkan hafazan al-Quran dengan cepat sememangnya satu perkara yang baik dan mulia.

Namun begitu, beliau mengingatkan ibu bapa agar tidak menjadikan tempoh cepat menamatkan hafazan sebagai satu-satunya penanda aras kejayaan seorang hafiz atau hafizah.

Menurutnya, terdapat ramai penghafaz al-Quran pada masa kini yang akhirnya tidak dapat mengingati semula ayat-ayat yang pernah dihafaz kerana kurang melakukan murajaah atau ulangan bacaan.

Foto: Canva
Foto: Canva

Artikel Berkaitan:

"Ramai pelajar saya di universiti merupakan lepasan sekolah atau maahad tahfiz. Namun ketika di dalam kuliah, apabila saya membaca satu ayat dan bertanya daripada surah manakah ayat tersebut, mereka terpinga-pinga walaupun sebenarnya pernah menghafaz keseluruhan al-Quran," katanya menerusi satu perkongsian di Facebook.

Keadaan itu, jelasnya, menunjukkan bahawa hafazan tanpa ulangan yang konsisten boleh menyebabkan ayat-ayat al-Quran mudah dilupakan.

Sebahagian besar hafazan telah dilupakan

Beliau turut berkongsi pengalaman bertemu dengan seorang hafiz yang pernah memperoleh syahadah, iaitu pengiktirafan setelah berjaya mengulang bacaan al-Quran sebanyak 40 kali di hadapan guru serta lulus peperiksaan hafazan.

Namun setelah bekerja dalam bidang yang tidak berkaitan dengan al-Quran, individu tersebut mengakui bahawa sebahagian besar hafazannya telah dilupakan kerana tidak lagi mengulang bacaan secara konsisten.

Selain itu, terdapat juga kaedah hafazan pantas yang pernah dipopularkan sebelum ini seperti menghafaz al-Quran dalam tempoh enam bulan, tiga bulan atau bahkan satu bulan.

Kaedah tersebut biasanya menuntut pelajar menghafaz hampir sepanjang hari bagi mengejar gelaran hafiz.

Namun menurut Dr Muhammad Lukman, apabila beliau bertemu dengan sebahagian daripada pelajar tersebut dan bertanyakan ayat-ayat awal surah, ada antara mereka yang tidak mampu mengingatinya semula.

Justeru, beliau menegaskan bahawa matlamat utama dalam menghafaz al-Quran bukanlah sekadar mengejar gelaran atau tempoh masa yang singkat, tetapi memastikan hafazan itu terus hidup dalam ingatan melalui ulangan yang berterusan.

Foto: Canva
Foto: Canva

"Saya tidak memberi tekanan kepada anak-anak yang saya hantar ke sekolah tahfiz untuk segera khatam 30 juzuk. Apa yang lebih penting ialah mereka mengikuti silibus pembelajaran dan istiqamah melakukan ulangan hafazan," katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa dalam tradisi ulama silam, perkara yang paling ditekankan bukanlah kepantasan menghafaz, tetapi konsistensi dalam mengulang bacaan.

Ada yang menetapkan jadual khatam al-Quran setiap tiga hari, seminggu atau sebulan dan amalan itu dilakukan secara berterusan sepanjang hayat.

Pendekatan tersebut menjadikan hafazan al-Quran benar-benar sebati dalam diri, bukan sekadar dihafaz untuk tempoh tertentu sahaja.

Foto: Canva
Foto: Canva

Sehubungan itu, beliau menyeru agar ibu bapa dan masyarakat memahami bahawa kejayaan sebenar seorang hafiz bukan hanya diukur melalui kepantasan menamatkan hafazan, tetapi sejauh mana mereka mampu memelihara dan mengulang ayat-ayat suci tersebut sepanjang kehidupan.

 

 

Ringkasan AI
  • Kesungguhan, disiplin tinggi, pengorbanan masa dan tenaga diperlukan untuk menghafaz al-Quran
  • Terdapat pelajar yang cepat menamatkan hafazan tetapi akhirnya lupa kerana kurang ulangan
  • Dr Muhammad Lukman Ibrahim menekankan pentingnya ulangan berterusan untuk memastikan hafazan kekal di ingatan
  • Kaedah hafazan pantas menuntut pelajar menghafaz sepanjang hari tetapi tidak menjamin kekalnya hafazan
  • Matlamat menghafaz al-Quran adalah memastikan ayat-ayat suci itu terus hidup dalam ingatan, bukan hanya mengejar gelaran atau tempoh masa yang singkat
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp