Interaksi bersama komuniti setempat dalam jerayawara 'Cool Lah - Tambahlah Bintang!', yang menekankan kepentingan amalan penggunaan tenaga secara bijak serta meningkatkan kesedaran pengguna terhadap kecekapan tenaga dalam kehidupan harian.
Interaksi bersama komuniti setempat dalam jerayawara 'Cool Lah - Tambahlah Bintang!', yang menekankan kepentingan amalan penggunaan tenaga secara bijak serta meningkatkan kesedaran pengguna terhadap kecekapan tenaga dalam kehidupan harian.

'Cool Lah - Tambahlah Bintang!' perkukuh pendidikan kesedaran tenaga

30 Mar 2026 11:36am

Dalam berdepan cabaran perubahan iklim dan peningkatan penggunaan tenaga elektrik, kesedaran masyarakat terhadap kecekapan tenaga menjadi semakin penting.

'Cool Lah - Tambahlah Bintang!' diperkenalkan sebagai satu inisiatif kesedaran dan pendidikan yang bertujuan membantu rakyat Malaysia memahami serta mengamalkan penggunaan penyaman udara yang lebih cekap tenaga dalam kehidupan seharian.

Inisiatif ini dilaksanakan oleh EcoKnights sebagai rakan pelaksana dari sektor pertubuhan bukan kerajaan dan merupakan sebahagian kerjasama antara United Nations Environment Programme - United for Efficiency (U4E) dan Suruhanjaya Tenaga.

Pelaksanaannya turut menyokong usaha serantau di bawah ASEAN Cool Initiative, yang memfokuskan kepada penyejukan cekap tenaga dan mampan.

Sebagai sebahagian daripada program kesedaran awam, 'Cool Lah - Tambahlah Bintang!' memberi tumpuan kepada pendidikan pengguna mengenai pelaksanaan Penarafan Bintang Kecekapan Tenaga Penyaman Udara Baharu melalui Standard Prestasi Tenaga Minima (MEPS) 2026-2029 di Malaysia.

No Image Caption

Di bawah jadual penarafan bintang baharu, kecekapan tenaga penyaman udara berasaskan Cooling Seasonal Performance Factor (CSPF) telah ditingkatkan bagi memastikan hanya peralatan yang memenuhi tahap minimum yang ditetapkan dibenarkan berada di pasaran.

Penambahbaikan ini dibuat selaras dengan pengetatan kriteria penarafan bintang bagi mencerminkan kemajuan teknologi dan peningkatan piawaian kecekapan tenaga semasa.

Artikel Berkaitan:

Melalui pendekatan pendidikan yang mudah difahami seperti jerayawara di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Terengganu, pengguna diperkenalkan kepada penarafan bintang tenaga sebagai panduan membuat pilihan peralatan elektrik yang lebih cekap.

Selain aspek teknologi, inisiatif ini turut menekankan peranan tingkah laku pengguna melalui penggunaan penyaman udara secara berhemah.

Amalan ini bukan sahaja membantu mengurangkan penggunaan tenaga dan kos elektrik, malah menyokong hala tuju negara ke arah kecekapan tenaga yang lebih menyeluruh.

Sesi pendidikan bersama pelajar sekolah melalui program 'Cool Lah - Tambahlah Bintang!', yang bertujuan memupuk kesedaran dan amalan kecekapan tenaga sejak usia muda dalam menyokong kelestarian alam sekitar.
Sesi pendidikan bersama pelajar sekolah melalui program 'Cool Lah - Tambahlah Bintang!', yang bertujuan memupuk kesedaran dan amalan kecekapan tenaga sejak usia muda dalam menyokong kelestarian alam sekitar.

Selain menyasarkan pengguna umum, 'Cool Lah - Tambahlah Bintang!' turut memberi penekanan kepada pendidikan belia sebagai usaha dalam membentuk masyarakat yang lebih peka tenaga.

Pendekatan ini dilaksanakan melalui aktiviti pendidikan dan program jerayawara sekolah yang membantu pelajar memahami hubungan antara penggunaan tenaga, perubahan iklim dan tanggungjawab individu.

Sebagai pelengkap kepada usaha pendidikan ini, inisiatif Cool-Lah turut merangkumi Cabaran Cool-Lah, sebuah pertandingan kreatif dalam talian yang dianjurkan oleh EcoKnights dan Malaysia Energy Literacy Programme (MELP) serta disokong oleh UNEP-U4E.

Pertandingan ini menggunakan platform DELIMa selaras dengan peranan MELP sebagai rakan strategik DELIMa.

Selain itu, pertandingan ini memberi peluang kepada pelajar untuk menyuarakan idea dan pandangan mereka mengenai kecekapan tenaga dan penggunaan penyaman udara secara bertanggungjawab.

Melalui 'Cool Lah - Tambahlah Bintang!', orang ramai didedahkan kepada kepentingan memahami Penarafan Bintang Kecekapan Tenaga Penyaman Udara Baharu melalui MEPS 2026-2029.
Melalui 'Cool Lah - Tambahlah Bintang!', orang ramai didedahkan kepada kepentingan memahami Penarafan Bintang Kecekapan Tenaga Penyaman Udara Baharu melalui MEPS 2026-2029.

Melalui gabungan inisiatif kesedaran dan pendidikan, program kesedaran awam serta penglibatan belia, 'Cool Lah - Tambahlah Bintang!' diharapkan dapat mencetuskan perbincangan yang lebih meluas dalam kalangan masyarakat tentang kepentingan kecekapan tenaga.

Amalan penggunaan tenaga yang bijak perlu bergerak seiring dengan piawaian nasional yang ditetapkan oleh kerajaan serta teknologi cekap tenaga yang diperkenalkan oleh pengeluar penyaman udara.

Dalam masa yang sama, pembentukan kesedaran dan amalan kecekapan tenaga perlu bermula sejak usia muda, bukan sahaja melalui sistem pendidikan formal tetapi juga dalam kehidupan harian di rumah.

Pendedahan awal kepada amalan penggunaan tenaga secara bijak, seperti memahami fungsi peralatan elektrik dan mengamalkan penggunaan yang berhemah, dapat membentuk tabiat yang berkekalan hingga dewasa.

Amalan kecekapan tenaga yang disyorkan ini boleh menyokong pelaksanaan piawaian nasional serta membantu pengguna dalam penggunaan penyaman udara secara lebih cekap tenaga.
Amalan kecekapan tenaga yang disyorkan ini boleh menyokong pelaksanaan piawaian nasional serta membantu pengguna dalam penggunaan penyaman udara secara lebih cekap tenaga.

Apabila pendidikan ini diperkukuh di sekolah dan disokong oleh amalan di rumah, ia mampu melahirkan generasi yang lebih peka tenaga serta berupaya membuat keputusan yang lebih bertanggungjawab terhadap penggunaan sumber.

Pembinaan masyarakat yang sedar dan bertanggungjawab terhadap penggunaan tenaga memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk kerajaan, industri, pertubuhan masyarakat sivil dan rakyat.

'Cool Lah - Tambahlah Bintang!' merupakan sebahagian daripada usaha bersama untuk menyokong pembentukan warganegara yang lebih peka tenaga demi masa depan Malaysia yang lebih mampan.

Untuk maklumat lanjut mengenai 'Cool Lah - Tambahlah Bintang!', hubungi Nabila Shohimi (nabila@ecoknights.org.my) atau layari laman web https://ecoknights.org.my/coollah-campaign/.

 

Ringkasan AI
  • Kesedaran kecekapan tenaga semakin penting kerana perubahan iklim dan peningkatan penggunaan tenaga elektrik. Inisiatif 'Cool-Lah Tambahlah Bintang' diperkenalkan untuk mendidik tentang penggunaan penyaman udara yang cekap tenaga. Program ini dilaksanakan oleh EcoKnights dengan kerjasama UNEP dan Suruhanjaya Tenaga serta disokong oleh usaha ASEAN Cool Initiative. Pendekatan pendidikan melalui jerayawara dan cabaran kreatif dalam talian memfokuskan kepada pendidikan belia dan masyarakat umum. Inisiatif ini bertujuan membentuk masyarakat yang sedar dan bertanggungjawab terhadap penggunaan tenaga.
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp