
Lebih 800 murid, pelajar terjejas banjir di Beaufort & Sipitang
Lebih 800 murid dan pelajar di Beaufort dan Sipitang terjejas akibat banjir yang melanda di dua daerah tersebut pada Isnin.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata, sebanyak empat sekolah dinaiki air iaitu tiga di Beaufort manakala sebuah lagi sekolah di Sipitang.
"Sekolah yang terkesan banjir iaitu Sekolah Menengah (SM) Saint Paul, Sekolah Kebangsaan (SK) Lago dan SK Batu 60 di Beaufort manakala sebuah lagi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Boon Sindumin, Sipitang.
"Secara keseluruhan, seramai 811 murid dan pelajar yang terkesan," katanya pada Isnin.
Katanya lagi, susulan daripada itu, semua murid dan pelajar terpaksa menjalani sesi pembelajaran secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Sebelum itu, Sipitang dilaporkan dinaiki air banjir sejak Ahad dan terdapat 10 kampung di daerah itu dipantau oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). - Sinar Harian