
90 peratus kemudahan, peralatan SK Bawang K9 rosak teruk akibat banjir
Hampir 90 peratus kemudahan dan peralatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bawang K9, Tangkarason di Sabah, rosak sepenuhnya susulan bencana banjir yang melanda baru-baru ini.
Menteri Pendidikan Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, kerosakan yang dialami sekolah itu sekali gus memberi kesan besar terhadap kelangsungan sesi persekolahan yang sepatutnya bermula minggu ini.
"Penilaian awal mendapati, sekolah ini memerlukan segera 200 set meja dan kerusi murid, 30 set meja dan kerusi guru serta lima set meja dan kerusi untuk bahagian pentadbiran.
"Kemudahan pengajaran dan pembelajaran bagi sembilan kelas turut terjejas dan memerlukan papan putih serta Smart TV baharu. Keseluruhan buku teks termasuk stor bekalan buku teks telah musnah, manakala 30 laptop dan lapan set komputer untuk kegunaan pelajar juga tidak dapat digunakan lagi.
"Selain itu, kerosakan turut melibatkan bilik pusat sumber, tandas serta bilik mesyuarat sekolah. Sebanyak 10 tangki simpanan air juga dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus banjir," katanya selepas melakukan lawatan di sekolah itu pada Isnin.

Beliau berkata, situasi itu memerlukan tindakan segera dan penyelarasan yang pantas bagi memastikan proses pemulihan dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan akses pendidikan murid-murid.
Sehubungan itu, James menyeru Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah agar menyalurkan bantuan dengan kadar segera bagi membolehkan kerja-kerja pemulihan dan penggantian aset dilaksanakan secepat mungkin.
"Saya juga menggesa semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) supaya memaklumkan dengan segera kepada pihak kementerian sekiranya berlaku kejadian seumpama ini di kawasan masing-masing agar tindakan awal dapat diambil dan bantuan dapat disalurkan tanpa kelewatan.
"Kelangsungan pendidikan anak-anak Sabah adalah tanggungjawab bersama dan mesti sentiasa menjadi keutamaan," katanya.
Ringkasan AI
- Hampir 90 peratus kemudahan dan peralatan di SK Bawang K9 rosak teruk akibat banjir
- Kerosakan mempengaruhi kelangsungan sesi persekolahan yang sepatutnya bermula minggu ini
- Sekolah itu memerlukan 200 set meja dan kerusi murid, 30 set untuk guru, dan lima set untuk pentadbiran
- Peralatan pengajaran seperti papan putih, Smart TV, buku teks, 30 laptop, dan lapan set komputer turut musnah
- Menteri James Ratib menyeru JPN Sabah agar menyalurkan bantuan segera untuk pemulihan