
'Hati-hati buat keputusan selepas SPM, jangan ulangi kesilapan saya' - Teme Abdullah
Bagi peminat novel, nama Teme Abdullah bukan sekadar nama biasa.
Karya-karyanya seperti Pelukis Jalanan, Arkitek Jalanan, Impian Jalanan dan Signature Jalanan bukan sahaja mudah difahami, malah menyentuh hati, mengangkat tema perjuangan hidup, impian dan cabaran generasi muda.
Selain menulis novel, Teme yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Bina dari United Kingdom merupakan seorang pelukis berbakat dan arkitek tersohor di London.
Baru-baru ini, Teme memuat naik hantaran di Facebook tentang keputusannya meraih 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tetapi di sebalik kejayaan itu terselit satu pengajaran besar buat semua lepasan peperiksaan berkenaan.
"Saya bukan tiba-tiba tunjuk result. Apa yang saya nak sampaikan ialah, tindakan kita selepas SPM itu lebih penting daripada keputusan peperiksaan itu sendiri. SPM tidak menjamin. Jangan ulangi silap saya,” kongsi anak kelahiran Selangor ini.
Menurut Teme, walaupun layak memohon hampir semua biasiswa, kesilapan kecil menyebabkan peluangnya hilang.
"Dipendekkan cerita, saya dapat scholarship ijazah architecture ke United Kingdom. Namun, ada kesilapan yang saya buat, yang mengakibatkan saya hilang kesemuanya. Saya terpaksa jadi pelukis jalanan buat beberapa tahun.
"Lepas SPM, kita terdedah dengan alam dewasa yang sebenar. Kita perlu buat pilihan besar. Tak ada orang pantau kita kat universiti. Nak tidur 24 jam tak pegi kelas pun tak ada siapa yang marah. Time ni lah jiwa remaja kita teruji. Lagi mencabar dalam keadaan tiada pemantauan.
"Instead of menjadi pelajar yang baik, saya banyak menyimpang. Saya berniaga, belajar agama (tidak salah, cuma pembahagian masa dan keutamaan saya yang salah), saya banyak cuba benda baru. Saya jadi tak nak study. Merasa diri dah besar, saya banyak buat keputusan pramatang.
"Saya terlupa tujuan dan tanggungjawab sebenar. Saya kurang satu point sahaja dalam peperiksaan terakhir sebelum layak ke United Kingdom. Scholarship saya dibatalkan, rayuan ditolak. Bila apply universiti dalam negara pula, hampir tiada universiti yang menerima result A-Level saya. Semuanya minta keputusan SPM," katanya.
Akibatnya, Teme terpaksa memulakan semula perjalanan akademiknya dari awal, mengambil beberapa tahun tambahan untuk menamatkan Ijazah Seni Bina. Namun, dia menerima semua itu sebagai pengajaran dan bertekad memperbetulkan kesilapan.
"Apa yang saya nak kongsi, hati-hati membuat keputusan di alam dewasa. SPM bukan penamat, bukan penentu segalanya. Ya, alhamdulillah saya berjaya 'kejar' balik, terbang ke UK dengan biaya sendiri, bekerja sambil belajar, jadi pelukis jalanan. Macam-macam cabaran saya lalui termasuk kata-kata kurang enak daripada orang terdekat.
"Tapi kalian tak perlu lalui semua itu. Jika berusaha, tak give up dan serahkan kepada ALLAH, insya-ALLAH ada jalan keluar. Take your time untuk bersedih, tapi ingat, gagal sekali tak bermakna gagal selamanya," kongsinya.
Pengalaman Teme Abdullah menjadi pengajaran berharga bahawa kejayaan bukan hanya bergantung pada keputusan peperiksaan, tetapi juga usaha, kesabaran dan keputusan yang dibuat selepas itu.
