No Image Caption

Bangunan tempatkan kelas 31 murid SK Binanon, musnah terbakar

ASYIKIN ASMINASYIKIN ASMIN
08 Apr 2026 06:18pm

Sebuah blok bangunan yang menempatkan kelas bagi 31 murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Binanon, Sook, musnah dalam kebakaran pada awal pagi Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, turut dilaporkan musnah ialah dewan mini, bilik komputer, bilik sains dan stor peralatan sukan.

Ketua Balai Bomba dan BBP Sook, Faisal Ahmad berkata, pihaknya hanya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.22 pagi.

Katanya, seramai tiga anggota dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 32 kilometer dari BBP Sook.

"Kejadian berlaku sekitar jam 1 pagi namun disebabkan tiada liputan komunikasi di lokasi menyebabkan maklumat lewat disalurkan kepada pihak bomba.

"Selain itu, akses jalan raya juga tidak boleh dilalui jentera bomba iaitu tidak berturap dan berlumpur menyebabkan kita terpaksa menggunakan kenderaan utiliti dengan perjalanan selama lebih tiga jam untuk ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, memang berlaku kebakaran iaitu melibatkan lima bilik termasuk dua kelas iaitu Tahun Satu dan Tahun Dua musnah sepenuhnya. Pemeriksaan lanjut, tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Keadaan bangunan yang musnah dalam kebakaran di SK Binanon, Sook.
Keadaan bangunan yang musnah dalam kebakaran di SK Binanon, Sook.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan bahawa hanya seramai 31 murid di sekolah tersebut.

"Sekolah ini dikategori sebagai Sekolah Kurang Murid dan kebakaran hanya melibatkan satu blok bangunan sahaja yang menempat murid tersebut.

"Oleh itu, sesi persekolahan berjalan seperti biasa kerana satu lagi blok bangunan boleh menampung kesemua murid tersebut," katanya.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp