
Lepas raya, terus ‘lawan’ bahang: Murid kembali sekolah dalam cuaca makin mencabar
Keterujaan kembali ke sekolah selepas cuti Aidilfitri masih terasa, namun bagi sebahagian murid, ada satu 'ujian' lain yang menanti iaitu cuaca panas semakin membahang.
Seawal pagi, suasana sudah terasa berbeza. Perhimpunan berlangsung dalam keadaan murid mula berpeluh, manakala menjelang tengah hari, bilik darjah bertukar menjadi ruang yang kurang selesa untuk sesi pembelajaran. Dalam keadaan ini, fokus menjadi cabaran utama.
Bagi Aiman, 13, murid Tingkatan Satu di Selangor, pengalaman kembali ke sekolah kali ini agak menguji.
“Baru dua waktu belajar dah rasa penat. Kadang-kadang pening sikit sebab panas,” katanya ringkas.
Hakikatnya, situasi ini bukan sekadar dirasai secara individu. Berdasarkan pemantauan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), suhu harian di negara ini kini boleh mencecah lebih 35 darjah Celsius, malah berpotensi melepasi 37 darjah Celsius dalam keadaan tertentu tahap yang dikategorikan sebagai sangat panas dan berisiko kepada kesihatan.
Susulan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil langkah proaktif dengan mengeluarkan garis panduan kepada semua institusi pendidikan. Antaranya termasuk menangguhkan aktiviti luar jika suhu melebihi 35 darjah Celsius serta memastikan murid sentiasa mendapat bekalan air mencukupi.
Lebih penting, KPM turut menetapkan bahawa sesi persekolahan boleh ditunda atau ditutup sementara sekiranya suhu mencecah lebih 37 darjah Celsius secara berterusan, bergantung kepada keadaan semasa dan nasihat pihak berkuasa.
Langkah ini selari dengan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengingatkan bahawa cuaca panas melampau boleh meningkatkan risiko strok haba serius apabila suhu badan meningkat secara mendadak dan boleh menjejaskan fungsi organ.

Kanak-kanak dikenal pasti sebagai antara golongan berisiko tinggi kerana mereka lebih cepat mengalami dehidrasi dan kurang keupayaan mengawal suhu badan. Antara tanda awal yang perlu diberi perhatian termasuk pening, sakit kepala, keletihan melampau dan kurang tumpuan semuanya boleh menjejaskan proses pembelajaran di dalam kelas.
Dalam pada itu, guru turut memainkan peranan penting dalam memastikan kebajikan murid terjaga. Seorang guru sekolah rendah, yang mahu dikenali sebagai Cikgu Farah berkata, pendekatan pengajaran kini perlu lebih fleksibel.
“Kita faham keadaan murid. Jadi, saya akan beri ruang untuk mereka minum air dengan kerap dan selitkan aktiviti ringan supaya mereka tidak terlalu letih,” katanya.
Apa yang menjadikan situasi ini lebih mencabar ialah waktunya murid baru sahaja kembali daripada cuti panjang. Proses menyesuaikan diri dengan jadual pembelajaran sudah mencabar, ditambah pula dengan tekanan fizikal akibat cuaca panas.
Namun, di sebalik cabaran ini, terserlah nilai kebersamaan dalam komuniti sekolah. Ada murid berkongsi air, guru yang sentiasa mengingatkan pelajar menjaga kesihatan dan ibu bapa yang menyediakan bekalan air tambahan setiap hari.
Bagi mengurangkan risiko strok haba, beberapa langkah pencegahan boleh diamalkan:
- Minum air secukupnya walaupun tidak berasa haus
- Elakkan aktiviti luar pada waktu puncak panas
- Pakai pakaian yang ringan dan menyerap peluh
- Kenali tanda awal seperti pening dan loya
- Segera berehat di tempat teduh jika tidak sihat
Realitinya, cuaca panas ini bukan lagi isu bermusim tetapi semakin menjadi kebiasaan. Dalam keadaan sedemikian, kehadiran murid ke sekolah selepas cuti perayaan bukan sekadar meneruskan pembelajaran tetapi juga satu bentuk ketahanan dalam menghadapi cabaran persekitaran.
Di sebalik buku teks dan papan putih, ada satu lagi realiti yang perlu dihadapi belajar dalam dunia yang semakin panas.

- Keterujaan kembali ke sekolah selepas cuti Aidilfitri terganggu oleh cuaca panas yang membahang. Suhu harian di Malaysia boleh mencecah lebih 35 darjah Celsius, berisiko kesihatan dan menyebabkan fokus murid terganggu. KPM mengeluarkan garis panduan seperti menangguhkan aktiviti luar dan menyediakan bekalan air mencukupi. Cuaca panas melampau meningkatkan risiko strok haba, terutamanya pada kanak-kanak. Guru dan komuniti sekolah bekerjasama menjaga kebajikan murid dengan pendekatan pengajaran fleksibel dan bekalan air tambahan.
