
'Walaupun autisme, saya tetap berharap Daniel diberi peluang sambung belajar di UIAM' - Bapa
Tiada yang lebih menggembirakan hati ibu bapa selain melihat anak kesayangan mereka berjaya dalam pelajaran.
Lebih-lebih lagi apabila kejayaan itu hadir selepas melalui pelbagai cabaran dan ujian sepanjang perjalanan hidup.
Begitulah perasaan yang dirasai oleh pasangan suami isteri, Mohd Zaim Al-Amin Kamaruddin, 59, dan Norfaizah Md Jaafar, 54, apabila anak mereka, Daniel Zarfaiez Firdaus Mohd Zaim Al-Amin, 18, memperoleh keputusan yang membanggakan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Apa yang menjadikan pencapaian ini lebih menyentuh hati adalah kerana Daniel merupakan seorang anak autisme yang sejak kecil lagi perlu melalui proses pembelajaran yang penuh cabaran.
Menurut Zaim Al-Amin ketika berkongsi dengan Sinar Bestari, Daniel menduduki lapan mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris (BI), Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik, Sains, Prinsip Perakaunan dan Ekonomi.
"Keputusan bagi semua mata pelajaran yang didudukinya sangat membanggakan. Antaranya BI (A+) dan Sains (A).
"Saya dan isteri sangat bangga dengan pencapaian Daniel. Kami nampak sendiri bagaimana dia berusaha bersungguh-sungguh walaupun perjalanan pembelajarannya tidak semudah pelajar lain," katanya penuh syukur.
Lebih menyentuh hati, Zaim Al-Amin menyimpan satu harapan besar untuk masa depan anaknya itu.
"Saya berharap Daniel dapat melanjutkan pengajian dalam bidang BI di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
"Dia perlukan english environment untuk terus berkembang. Kebetulan pula saya dan dua orang anak saya yang lain juga merupakan alumni UIAM," katanya yang juga bapa kepada Daniellia Zainisya (31), Hilmi Firdaus (29), Daniellia Zetrisya (27) dan Iqmal Firdaus (25).

Dikesan autisme sejak usia lima tahun
Mengimbas kembali perjalanan Daniel, Zaim Al-Amin mengakui anaknya mula menunjukkan tanda-tanda autisme ketika berusia lima tahun.
Ketika di tadika, Daniel tidak bergaul dengan rakan-rakan lain dan sering berada dalam dunianya sendiri.
Dia tidak bergaul langsung dengan kawan-kawan di tadika. Proses pembelajarannya juga memang penuh dengan cabaran.
Malah, antara perkara yang sering membuatkan mereka sebagai ibu bapa berasa kecewa apabila Daniel tidak menyiapkan kerja sekolah yang diberikan oleh guru.
"Ramai kawan-kawan sarankan agar kami hantar Daniel ke sekolah khas. Tapi kami enggan kerana kami rasa kes dia tidak sama. Kami bimbang jika dimasukkan ke sekolah itu, dia mungkin akan lebih tertekan," ujarnya.
Dalam masa yang sama, kesibukan pasangan suami isteri itu yang menjalankan perniagaan menyebabkan mereka tidak dapat memberi bimbingan sepenuhnya di rumah.
"Kami berdua sibuk meniaga dan tidak banyak masa untuk membimbingnya.
"Apa yang kami boleh buat hanyalah mendaftarkan Daniel ke kelas tuisyen bagi subjek-subjek yang dia lemah. Selain itu, kami sentiasa memberi semangat dan ‘pep talk’ supaya dia tidak mudah putus asa," katanya.
Bagi Zaim Al-Amin, antara perkara paling penting dalam membimbing anak autisme ialah membantu mereka memahami diri sendiri.
Katanya, ibu bapa perlu menjelaskan kepada anak bahawa mereka mungkin berbeza daripada orang lain, namun itu tidak bermakna mereka kurang.
"Rahsia kejayaan Daniel ialah kami cuba beri kefahaman kenapa dia tidak sama seperti kawan-kawan lain.
"Kami yakinkan dia bahawa dia istimewa, bukan kurang," katanya.
Menurutnya lagi, kebanyakan anak autisme sebenarnya mempunyai kelebihan tersendiri jika ibu bapa berjaya mengenal pasti potensi tersebut.
"Contohnya Daniel, dia sangat obses dengan BI. Mungkin anak autisme lain pula berbakat dalam muzik, melukis atau bidang lain. Ibu bapa kena perhatikan minat anak dan bantu kembangkan bakat tersebut," ujarnya.

Kepentingan kad OKU untuk masa depan anak
Dalam pada itu, Zaim Al-Amin turut berkongsi kepentingan kesedaran dalam kalangan ibu bapa terhadap anak autisme.
Beliau menjelaskan bahawa autisme merupakan salah satu keadaan yang layak untuk didaftarkan bagi Kad Orang Kurang Upaya (OKU) di bawah kategori OKU Pembelajaran di Malaysia.
"Kad OKU sebenarnya mempunyai banyak keistimewaan.
"Namun masih ramai ibu bapa yang ragu-ragu untuk memohon kerana bimbang akan stigma masyarakat terhadap anak mereka. Kebimbangan tersebut tidak sepatutnya menjadi penghalang kerana terdapat pelbagai manfaat yang boleh membantu masa depan anak.
"Misalnya dalam permohonan ke universiti melalui UPU, terdapat laluan khas untuk empat kategori iaitu OKU, B40, atlet dan Orang Asli. Ini sebenarnya peluang yang sangat baik untuk membantu anak-anak seperti Daniel melanjutkan pelajaran," jelasnya.

Sebagai seorang bapa, Zaim Al-Amin hanya mempunyai satu impian besar buat anaknya.
Beliau berharap Daniel dapat melanjutkan pengajian ke Asasi Bahasa Inggeris di UIAM, sebelum menyambung ke peringkat ijazah.
"Saya berdoa Daniel dapat sambung belajar nanti dan diberi peluang menjadi pensyarah atau bekerja dengan mana-mana institusi berkaitan bahasa kelak. Doakan kejayaan dia ya," katanya penuh harapan.