Kumpulan peserta dilihat aktif berkongsi idea dan pandangan sepanjang aktiviti dijalankan.
Kumpulan peserta dilihat aktif berkongsi idea dan pandangan sepanjang aktiviti dijalankan.

205 murid, guru Sabah 'berkampung' di Jelajah Literasi Digital TV PSS Borneo

ASYIKIN ASMINASYIKIN ASMIN
23 Apr 2026 01:59pm

Seramai 205 murid dan guru sekolah dari seluruh Sabah 'berkampung' di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengalat bagi meneroka pendidikan media dan dunia penyiaran menerusi Jelajah Literasi Digital TV PSS Borneo 2026.

Program itu merupakan sebahagian daripada Jelajah Borneo yang digerakkan Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama Sinar Bestari, dengan Sabah menjadi lokasi persinggahan terakhir bagi siri jelajah di Borneo.

Penolong Pengarah Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah, Pawasia Baha berkata, program itu menghimpunkan penyertaan daripada 41 sekolah mewakili 11 daerah di negeri ini. 

Pawasia ketika berucap dalam Jelajah Literasi Digital TV PSS Borneo 2026 di SMK Pengalat.
Pawasia ketika berucap dalam Jelajah Literasi Digital TV PSS Borneo 2026 di SMK Pengalat.

Menurutnya, antara daerah yang terlibat ialah Beluran, Pensiangan, Kota Belud, Kota Marudu, Kota Kinabalu, Penampang, Keningau, Papar, Beaufort, Tuaran dan Tambunan.

Beliau berkata, penyertaan itu membuktikan komitmen tinggi pihak sekolah dalam memperkasa literasi digital dan bidang media walaupun sebahagian peserta datang dari kawasan pedalaman serta menanggung sendiri kos pengangkutan dan penginapan.

"Hari ini merupakan giliran negeri Sabah untuk program Jelajah Literasi Digital TV PSS ini dan seramai 205 orang guru serta murid hadir membabitkan 41 sekolah dari 11 daerah.

Artikel Berkaitan:

Pengetua Akademi Pendidikan Sinar Bestari, Meen Tahrin bersama pelajar yang hadir dalam Jelajah Literasi Digital TV PSS Borneo 2026.
Pengetua Akademi Pendidikan Sinar Bestari, Meen Tahrin bersama pelajar yang hadir dalam Jelajah Literasi Digital TV PSS Borneo 2026.

"Sebenarnya semua daerah dijemput, namun kali ini 11 daerah dapat menghantar wakil. Ini sudah cukup membanggakan kerana ada peserta datang dari kawasan pedalaman dan Pantai Timur Sabah," katanya ketika ditemui pada program tersebut.

Pawasia berkata, program TV PSS membuka ruang baharu kepada murid untuk mencungkil bakat dalam bidang media termasuk sebagai wartawan, jurukamera, penulis skrip, pengarah produksi dan pasukan teknikal.

Katanya, pendedahan itu penting kerana ia memberi pilihan kerjaya lebih luas kepada murid selain profesion tradisional seperti doktor, jururawat atau anggota beruniform.

No Image Caption

"Bidang media kini berkembang sangat pesat dan TV PSS menjadi medium terbaik untuk murid berkecimpung serta mengasah bakat mereka sejak di bangku sekolah. Kita mahu lahirkan generasi pelapis yang mampu membawa nama Sabah hingga ke peringkat antarabangsa.

"Pada masa sama, program ini membimbing murid menggunakan media sosial secara beretika dan bertanggungjawab. Kita mahu melahirkan murid yang fasih digital, berakhlak serta mampu menghasilkan kandungan berkualiti dan bermanfaat," katanya.

No Image Caption

Beliau turut memaklumkan bahawa Sabah sebelum ini pernah mencatat kejayaan dalam pertandingan TV PSS peringkat kebangsaan termasuk pengiktirafan kepada guru terbaik, wartawan muda terbaik serta kategori video terbaik.

Menurutnya, pencapaian itu membuktikan potensi besar murid Sabah untuk terus menyerlah sekiranya diberi peluang, pendedahan dan bimbingan berterusan.

 

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp