
Dua pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang cemerlang, rangkul Johan dan Naib Johan MTHQK 1447H/2026M
Penyertaan dua pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang dalam Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 1447H/2026M nyata membuahkan kejayaan apabila mereka berjaya meraih tempat teratas dalam kategori yang dipertandingkan.
Wan Syimir Muhaimin Wan Ahmad Sadaba muncul Johan Kategori Hafazan Juzuk 1–20 (Lelaki), manakala Nur Asiah Maisarah Abu Bakar pula dinobatkan sebagai Naib Johan Kategori Hafazan Juzuk 1–10 Al-Quran dan Tarannum Mujawwad (Perempuan).
Lebih membanggakan, kedua-dua pelajar turut menerima pengiktirafan pra syahadah, masing-masing bagi Kategori Syahadah Al-Quran 1–20 Juzuk (Wan Syimir Muhaimin) dan Kategori Syahadah Al-Quran 1–15 Juzuk (Nur Asiah Maisarah).
Kejayaan ini membuktikan kecekalan, disiplin dan kecintaan mereka terhadap al-Quran yang menjadi asas kekuatan dalam mencapai kecemerlangan di peringkat kebangsaan.
Untuk rekod, MTHQK 1447H/2026M merupakan acara tahunan berprestij di Malaysia yang bertujuan memperkukuh syiar Islam serta membudayakan al-Quran dalam kalangan masyarakat.
Majlis yang berlangsung selama enam hari bermula 13 hingga 18 April 2026 di Dewan Arena, Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu itu membawa tema ‘Al-Falah Pemacu Malaysia Madani’, dengan fokus meningkatkan penghayatan al-Quran, menyemarakkan budaya membaca dan menghafaz al-Quran di peringkat kebangsaan.
