
MSU lonjak 'ranking' dalam Asia
Peningkatan 150 anak tangga bukti kecemerlangan akademik, jaringan global dan komitmen kelestarian
Management and Science University (MSU) terus mencipta pencapaian membanggakan apabila melonjak 150 anak tangga dalam Times Higher Education (THE) Asia University Rankings 2026.
Universiti itu kini berada dalam kelompok 251 hingga 300 terbaik Asia berbanding kedudukan 401 hingga 500 pada tahun lalu, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara institusi pengajian tinggi swasta terbaik di rantau ini.
Di peringkat nasional, MSU tersenarai sebagai universiti ke-12 terbaik Malaysia.
Peningkatan ketara ini mencerminkan komitmen berterusan warga MSU dalam memperkukuh kecemerlangan akademik, memperluas jaringan industri serta memperhebat kolaborasi antarabangsa.
Usaha bersepadu ini menyumbang kepada peningkatan impak penyelidikan yang memberi manfaat kepada komuniti melalui pendekatan inovatif dan lestari.
Kejayaan berkenaan melengkapkan prestasi cemerlang MSU dalam penarafan global apabila turut berada dalam kelompok 601 hingga 800 terbaik dunia menerusi THE World University Rankings 2026.
Di peringkat Asia Tenggara pula, MSU menduduki tangga ke-17, sekali gus menonjolkan sumbangan signifikan universiti terhadap pembangunan akademik dan penyelidikan serantau.
Dalam aspek kelestarian, MSU diiktiraf THE Impact Rankings 2025 apabila berada pada kedudukan 101 hingga 200 terbaik dunia dengan skor keseluruhan 85.7 peratus berdasarkan 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Antara pencapaian utama termasuk SDG17 (Perkongsian untuk Matlamat) dengan skor 93 peratus, diikuti SDG1 (Tiada Kemiskinan) dengan skor 85.2 peratus.
MSU juga mencatat prestasi memberangsangkan dalam SDG3 (Kesihatan Baik dan Kesejahteraan), SDG4 (Pendidikan Berkualiti) serta SDG5 (Kesaksamaan Jantina).
Melalui kerjasama strategik dengan lebih 3,000 rakan industri menerusi University Industry Advisory Panel (UIAP), MSU memastikan program yang ditawarkan sentiasa selari dengan keperluan industri semasa dan masa hadapan.
Inisiatif seperti Graduate Employability Skills (GEmS) dan Personal Enrichment Competencies (PEC) turut memperkukuh kemahiran insaniah pelajar.
Selain itu, jaringan global merangkumi lebih 500 institusi pendidikan tinggi di lebih 40 negara membuka peluang mobiliti antarabangsa kepada pelajar, sekali gus memperkukuh kebolehpasaran graduan di peringkat global.