
MSU cemerlang THE Rankings 2026
Pencapaian dunia pertama MSU dalam Education Studies dan Medical & Health
Management and Science University (MSU) mencatat pencapaian penting apabila kali pertama tersenarai dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings by Subject 2026.
Dua bidang akademik yang diiktiraf ialah Education Studies dan Medical & Health, masing-masing berada dalam kelompok 501 hingga 600 terbaik dunia.
Di peringkat Malaysia pula, Education Studies berada di kedudukan ke-6 manakala Medical and Health di kedudukan ke-11, sekali gus menonjolkan daya saing MSU dalam landskap pendidikan tinggi negara.
Penarafan THE menilai universiti merentasi 11 bidang subjek utama dengan 148 disiplin, menggunakan metodologi sama seperti penarafan keseluruhan tetapi dengan pelarasan metrik mengikut keutamaan setiap bidang.
Dalam THE World University Rankings 2026, MSU di kelompok 601 hingga 800 dunia, meningkat berbanding kelompok 801 hingga 1,000 pada tahun 2025.
Seiring fokus strategik pembangunan mampan, MSU turut menyerlah dalam THE Impact Rankings 2025, berada dalam kelompok 101 hingga 200 dunia, menekankan peranannya sebagai pemangkin impak sosial dan alam sekitar.
Menariknya, Kementerian Pendidikan Tinggi memberi penarafan ‘Excellent Status for Emerging University, Tier 5’ dan MSU diiktiraf memiliki kadar kebolehpasaran graduan 99 peratus antara tertinggi di Malaysia.
Usaha kecemerlangan MSU dipandu oleh penanda aras utama seperti pengantarabangsaan, kerelevanan industri, minda job creator, kelestarian komuniti, penyelidikan, pembelajaran sepanjang hayat serta laluan pendidikan fleksibel.
Ia turut membabitkan tenaga akademik berkelayakan tinggi dan profesor pelawat antarabangsa menyokong kurikulum holistik, menyampaikan pengalaman pembelajaran berimpak. Integrasi TVET dengan kurikulum akademik konvensional memperkukuh kompetensi pelajar melalui latihan industri, penglibatan komuniti, keusahawanan kreatif dan pendedahan global.
Semua program dibangunkan melalui libat urus rapat dengan lebih 3,000 rakan industri menerusi University Industry Advisory Panel (UIAP). Inisiatif seperti Graduate Employability Skills (GEmS) dan Personal Enrichment Competencies (PEC) memperkukuh kemahiran insaniah pelajar.
Untuk rekod, rangkaian kerjasama dengan lebih 500 institusi di 40 negara menyediakan peluang mobiliti masuk dan keluar, termasuk pengajian luar negara dan latihan industri antarabangsa, meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Ringkasan AI
- MSU terenarai dalam Times Higher Education World University Rankings by Subject 2026 untuk pertama kali dalam bidang Education Studies dan Medical & Health
- Berada dalam kelompok 501 hingga 600 terbaik dunia untuk dua bidang akademik tersebut
- Di Malaysia, Education Studies MSU di kedudukan ke-6 dan Medical and Health di kedudukan ke-11
- MSU menonjol dalam THE Impact Rankings 2025, berada dalam kelompok 101 hingga 200 dunia, menekankan peranannya dalam impak sosial dan alam sekitar
- Memiliki kadar kebolehpasaran graduan 99 peratus yang termasuk antara tertinggi di Malaysia
