Edescca (kanan, tengah, baju merah) bersama rakan kumpulannya ketika menyertai aktiviti dalam Jelajah Literasi Digital TV PSS Borneo baru-baru ini.
Edescca (kanan, tengah, baju merah) bersama rakan kumpulannya ketika menyertai aktiviti dalam Jelajah Literasi Digital TV PSS Borneo baru-baru ini.

Tempuh lebih 300 km demi sertai Jelajah Literasi Digital TV PSS Borneo

ASYIKIN ASMINASYIKIN ASMIN
29 Apr 2026 12:28pm

Menempuh perjalanan sejauh lebih 300 kilometer (km) demi menuntut ilmu media digital, penyiaran dan komunikasi menjadi pengalaman berharga buat murid Tahun Enam, Nur Imani Farhana Arifudin apabila menyertai Program Jelajah Literasi Digital TVPSS Peringkat Negeri Sabah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengalat, Papar, Sabah. 

Nur Imani yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Jaya Bakti, Beluran berkata, walaupun perjalanan mengambil masa 11 jam namun dia begitu teruja kerana ini kali pertama menyertai program seumpama itu selain berpeluang menimba pengetahuan baharu berkaitan dunia media atau kewartawanan.

Menurutnya, dia bersama rombongan bertolak dari Beluran pada jam 8 pagi Rabu sebelum tiba di Papar kira-kira jam 7 malam.

"Sebenarnya, ini kali pertama saya datang ke Kota Kinabalu dan seterusnya ke Papar bagi menyertai program ini. Saya rasa gembira, seronok dan sangat teruja sebab dapat datang jauh ke sini.

"Sebelum ini saya tidak pernah belajar secara khusus tentang media, jadi hari ini saya dapat tahu sedikit mengenai kewartawanan, rakaman video dan bagaimana berita dihasilkan," katanya ketika ditemui pada program tersebut.

Nur Imani (kiri) dan Edescca
Nur Imani (kiri) dan Edescca

Turut berkongsi pengalaman iaitu murid Tahun Enam dari SK Kampung Bahagia, Pensiangan, Edescca Naey Norman yang sanggup menempuh perjalanan jauh bersama tiga lagi rakannya dan guru pengiring demi menyertai program berkenaan. 

Katanya, rombongan mereka bertolak pada Rabu iaitu sekitar jam 10 pagi dan tiba pada jam 4.30 petang hari yang sama.

Artikel Berkaitan:

"Ini pertama kali saya datang sini. Perjalanan memang jauh, tapi okey sebab datang bersama guru dan rakan.

"Di sini saya belajar bagaimana menjadi wartawan yang betul, termasuk etika kewartawanan. Di sekolah memang ada aktiviti media, jadi program ini membuka lagi minda saya," katanya.

Sementara itu, pelajar Tingkatan Tiga dari SMK Pekan Kota Belud, Nurasmizam Roger berkata, pendedahan secara langsung seperti itu penting kerana murid bukan sahaja melihat kandungan media di telefon pintar, tetapi memahami proses sebenar di sebaliknya.

Menurutnya, sesi berkaitan penghasilan video dan peranan wartawan memberi gambaran lebih jelas mengenai peluang kerjaya dalam industri berkenaan.

Nurasmizam (kiri) dan Zaijanah
Nurasmizam (kiri) dan Zaijanah

"Kita selalu tengok media sosial atau influencer sahaja, tetapi hari ini saya faham wartawan ada etika dan cara kerja yang berbeza.

"Program begini bagus sebab kami dapat belajar secara terus dan tahu bagaimana video atau laporan berita dibuat dengan betul," katanya.

Sementara itu, seorang guru dari SK Mutiara, Kota Kinabalu, Zaijanah Leh berkata, penganjuran program berkenaan wajar diteruskan dan diperluaskan ke lebih banyak daerah agar manfaatnya dapat dinikmati lebih ramai murid di Sabah.

Beliau berkata, TVPSS di sekolah masih memerlukan lebih banyak pendedahan dan bimbingan, justeru inisiatif sedemikian mampu membantu sekolah memperkasa platform media masing-masing.

"Program ini sangat memberi pendedahan terutama kepada murid-murid Sabah. Apa yang mereka pelajari hari ini boleh diaplikasikan semula untuk TVPSS di sekolah masing-masing.

"Saya rasa ini satu usaha yang sangat baik dan saya harap pada masa akan datang ia dapat diperluaskan lagi ke daerah-daerah lain," katanya.

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp