
Rezeki pelajar Tingkatan 6, bakal terima elaun sebanyak RM250 sama seperti Matrikulasi
Berita baik buat pelajar Tingkatan Enam apabila kerajaan kini sedang memperhalusi cadangan pemberian elaun sebanyak RM250, sama seperti yang dinikmati pelajar program Matrikulasi ketika ini.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, cadangan tersebut selari dengan langkah pengambilalihan sistem pendidikan prauniversiti membabitkan pelajar Tingkatan Enam dan Matrikulasi oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), yang sebelum ini berada di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Menurut beliau, keputusan dasar untuk menyamaratakan elaun telah pun dibuat, namun pelaksanaannya masih dalam peringkat penelitian.
"Elaun Tingkatan Enam dengan Matrikulasi, saya setuju untuk disamakan. Kita tengah teliti kerana keputusan dasar telah dibuat, cuma hanya kaedah pelaksanaan sedang dibincangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi dialog sempena program ramah mesra bersama warga Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Pusat Tingkatan Enam di IPG Kampus Temenggong Ibrahim, Johor.
Terdahulu, Perdana Menteri menjawab persoalan pelajar Tingkatan Enam mengenai ketiadaan elaun seperti pelajar Matrikulasi, sedangkan kedua-duanya berada pada tahap pendidikan prauniversiti. Pelajar turut ingin mengetahui kelebihan apabila Tingkatan Enam diletakkan di bawah KPT.
Ketika ini, pelajar Matrikulasi menerima Bantuan Sara Hidup Pelajar Matrikulasi (BHSP) sebanyak RM250 sebulan.
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan bahawa pelajar Tingkatan Enam wajar diletakkan di bawah KPT kerana ia merupakan sebahagian daripada kategori pasca persekolahan.
Sehubungan itu, beliau berkata, kemudahan termasuk pemberian biasiswa kepada pelajar prauniversiti seperti Tingkatan Enam dan Matrikulasi perlu disalurkan dengan lebih menyeluruh bagi memastikan kebajikan pelajar terus terpelihara.
