
Keputusan SPM 2025 diumum 31 Mac! 413,299 calon bakal terima keputusan
Calon boleh semak di sekolah, secara dalam talian atau melalui SMS bermula 10 pagi
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2025 akan diumumkan pada 31 Mac 2026 (Selasa).
Menurut kenyataan KPM, seramai 413,299 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM Tahun 2025 yang berlangsung di 3,350 pusat peperiksaan di seluruh negara.
Bagi calon sekolah, keputusan peperiksaan boleh diperoleh di sekolah masing-masing mulai pukul 10 pagi pada tarikh berkenaan.
Manakala calon persendirian pula boleh menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) tempat mereka mendaftar bagi mendapatkan keputusan peperiksaan masing-masing.
KPM turut memaklumkan bahawa pihak sekolah perlu memastikan pengurusan penyerahan keputusan peperiksaan kepada calon dilaksanakan secara cekap dan teratur bagi melancarkan proses pengambilan keputusan.
Sementara itu, calon sekolah dan calon persendirian juga boleh membuat semakan keputusan peperiksaan melalui kaedah berikut:
1) Secara dalam talian melalui pautan myresultspm.moe.gov.my untuk mendapatkan slip keputusan peperiksaan SPM Tahun 2025 mulai pukul 10 pagi pada 31 Mac 2026 (Selasa) sehingga pukul 6 petang pada 6 April 2026 (Isnin); dan/atau
2) Secara sistem pesanan ringkas (SMS) untuk mendapatkan ringkasan keputusan peperiksaan SPM Tahun 2025 dengan menaip SPM jarak
Dalam pada itu, KPM turut merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua calon SPM Tahun 2025 atas usaha dan kesungguhan mereka sepanjang menghadapi peperiksaan tersebut.
"Semoga kejayaan yang diraih menjadi pemangkin untuk terus melakar kecemerlangan pada masa hadapan," menurut kenyataan itu.
