Jelajah Literasi Digital TV PSS Borneo di SMK Pengalat melabuhkan tirainya dengan penuh kejayaan. Para peserta pulang dengan wajah ceria dan pengalaman bermakna.
Jelajah Literasi Digital TV PSS Borneo di SMK Pengalat melabuhkan tirainya dengan penuh kejayaan. Para peserta pulang dengan wajah ceria dan pengalaman bermakna.

Jelajah Literasi Digital TV PSS tembusi Borneo, beri pendedahan dunia media dan kewartawanan

ASYIKIN ASMINASYIKIN ASMIN
29 Apr 2026 03:32pm

Murid dan pelajar di Borneo khususnya Sabah, Sarawak dan Labuan terus diberi perhatian dalam usaha memperkasa literasi digital, termasuk mereka yang berada di kawasan pedalaman menerusi Program Jelajah Literasi Digital TV PSS.

Program julung kali diadakan di Borneo itu dianjurkan Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan lebih ramai murid mendapat pendedahan berkaitan media, kewartawanan dan penggunaan teknologi secara beretika.

Penolong Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan KPM, Azatus Sakhia Shakir Mashkor berkata, jelajah berkenaan bermula di Labuan sebelum diteruskan ke Sarawak dan berakhir di Sabah, dengan penyertaan kira-kira 600 murid dari 100 sekolah bagi ketiga-tiga wilayah tersebut.

"Program ini kita bermula di Wilayah Persekutuan Labuan, kemudian bergerak ke Sarawak dan akhirnya di Sabah. Secara keseluruhan, lebih kurang 600 murid serta hampir 100 sekolah menyertai program ini.

"Kita memilih Borneo kerana sebelum ini, jelajah sama sudah dilaksanakan di Semenanjung. Jadi kali ini kita mahu melebarkan sayap ke Borneo supaya semua murid mendapat peluang sama dan celik digital selaras perkembangan teknologi masa kini," katanya ketika ditemui pada Program Jelajah Literasi Digital TV PSS Peringkat Negeri Sabah yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengalat, Papar, Sabah pada Khamis.

Azatus Sakhia
Azatus Sakhia

Menurut beliau, pemilihan Borneo juga dibuat bagi memastikan pembangunan pendidikan digital dapat dirasai secara lebih menyeluruh tanpa mengira lokasi, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Katanya, program itu memberi fokus kepada pembentukan keyakinan diri, keterampilan serta kemahiran komunikasi murid menerusi pendedahan kepada dunia kewartawanan dan penggunaan teknologi secara beretika.

Artikel Berkaitan:

"Kita mahu semua murid diberi pendedahan mengenai kewartawanan, bagaimana membentuk murid yang berani, berketerampilan dan pada masa sama menguasai kemahiran digital.

"Malah sepanjang program ini, ada murid sekolah rendah seawal usia sembilan tahun sudah menunjukkan minat yang tinggi untuk menyertai sesi sebegini," katanya.

Azatus Sakhia berkata, kekangan capaian internet di sesetengah kawasan pedalaman terutama di Sabah dan Sarawak bukan alasan untuk murid tercicir daripada mendapat ilmu berkaitan teknologi dan media digital.

Justeru, katanya, pihak kementerian 'turun padang' bagi membawa sendiri pendedahan tersebut kepada murid supaya bakat dan potensi mereka terus dapat dicungkil dan seterusnya digilap.

"Kita turun ke sini kerana tidak semestinya apabila capaian internet terhad, murid tidak boleh diasah kemahiran mereka. Yang penting, kita beri pendedahan tentang penggunaan teknologi dan menghasilkan bahan sumber yang beretika.

"Insya-ALLAH program seperti ini akan terus diperluaskan di Borneo pada masa akan datang supaya lebih ramai murid dan pelajar mendapat manfaat," katanya.

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp