
37 tahun menabur bakti, Cikgu Mohd Fauzi tinggalkan legasi gemilang di SMK Kota Kemuning
Perkhidmatan selama 37 tahun empat bulan dalam dunia pendidikan bukanlah satu tempoh yang singkat.
Sepanjang tempoh itu, pelbagai cabaran dan rintangan telah ditempuhi dengan penuh kesabaran dan kecekalan demi memastikan anak bangsa mendapat pendidikan terbaik serta membina masa depan yang lebih gemilang.
Bagi Pengetua Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor, Mohd Fauzi Zailan, bidang pendidikan akan sentiasa terpahat dalam jiwa meskipun beliau kini melangkah ke fasa persaraan.
"Saya sayang dengan dunia pendidikan, banyak perkara baik yang telah membentuk diri saya sepanjang bergelar pendidik.

"Apa-apa pun, saya tetap bersedia menghulurkan sumbangan jika diperlukan kerana pendidikan sudah menjadi darah daging saya.
"Jika guru-guru ada masalah atau perlukan pertolongan, maklumkan pada saya, insya-ALLAH saya bantu setakat yang termampu," katanya ketika ditemu bual Sinar Bestari pada Khamis.
Cikgu Mohd Fauzi diraikan dalam satu majlis persaraan penuh gilang-gemilang yang berlangsung di Dataran Ilmu SMK Kota Kemuning, dengan kehadiran warga sekolah, rakan pendidik serta tetamu jemputan.
Majlis yang mengangkat tema James Bond itu diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik, antaranya tayangan trailer yang memasukkan wajah pengetua menggunakan AI sebagai watak utama, montaj perjalanan kerjaya beliau, bacaan biodata dengan tajuk Misi, Aspirasi dan Inspirasi, ucapan akhir pengetua serta persembahan khas daripada guru dan pelajar.

Antara persembahan yang mencuri tumpuan termasuk Gendang 24 Perayaan, alunan saksofon lagu Rasputin bersama penari, nyanyian pelajar serta sesi penyampaian cenderamata sebagai tanda penghargaan atas jasa dan bakti beliau.
Sepanjang menerajui SMK Kota Kemuning sejak tahun 2021 hingga 2026, beliau berjaya membentuk hala tuju sekolah dengan pendekatan kepimpinan yang tersusun, berwawasan dan berteraskan nilai kemanusiaan, sekali gus memperkukuh budaya kecemerlangan dalam kalangan warga sekolah.
Di bawah bimbingannya, sekolah ini bukan sahaja mencapai prestasi akademik yang membanggakan, malah turut cemerlang dalam pembentukan sahsiah pelajar, penglibatan kokurikulum serta pengurusan organisasi yang lebih sistematik dan berimpak tinggi.

"Walaupun hanya lima tahun saya berkhidmat sebagai pengetua di sini, namun terlalu banyak kenangan manis yang akan saya simpan.
"Terima kasih kepada semua guru dan pelajar yang sentiasa memberi sokongan padu sepanjang saya memimpin sekolah ini.
"Saya doakan semua terus berjaya dalam kerjaya dan kehidupan, serta kekal komited dalam melaksanakan amanah mendidik generasi akan datang," ujarnya.

Mengakhiri ucapan, Cikgu Mohd Fauzi turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Guru kepada seluruh warga pendidik di Malaysia, khususnya guru-guru SMK Kota Kemuning.
"Semoga semua guru terus tabah menghadapi cabaran dunia pendidikan, sabar melayani karenah pelajar dan sentiasa berusaha menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.
"Bagi guru-guru muda, teruskan belajar dan menambah baik diri agar kehendak pendidikan masa kini dapat dipenuhi tanpa mengabaikan etika dan adab sebagai seorang pendidik," katanya.

INFO
Pencapaian dan Anugerah
- Anugerah Kualiti PPD Klang 2024: Emas (Kategori Kepimpinan Pengetua)
- Anugerah Perkhidmatan Cemerlang: 1997, 2009 dan 2025
- Anugerah Kualiti JPN Selangor: 2005



