
Tak perlu lagi menunggang tanpa lesen - 60,000 pelajar bakal nikmati MyB2S
Kira-kira 60,000 pelajar di seluruh negara bakal menikmati peluang mendapatkan lesen motosikal menerusi Program Khas MyLesen B2 Sekolah (MyB2S) 2026 yang diperkenalkan kerajaan dengan peruntukan RM18.5 juta.
Inisiatif itu dilihat mampu memberi kelegaan kepada ramai keluarga terutama di luar bandar yang bergantung kepada motosikal sebagai pengangkutan utama anak-anak ke sekolah.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, program tersebut diwujudkan susulan kebimbangan terhadap ramai pelajar yang masih menunggang motosikal tanpa lesen sah.
Menurut beliau, selain membantu mengurangkan beban kewangan ibu bapa, program itu juga bertujuan meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan generasi muda.
"Kerajaan menanggung kos yang tinggi bagi setiap pelajar terlibat. Jika dibuat sendiri di luar program ini, kos mendapatkan lesen lebih mahal dan perlu ditanggung sepenuhnya oleh ibu bapa," katanya ketika melancarkan Program MyB2S Peringkat Kebangsaan pada Isnin.
Hadir sama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli.

Anthony berkata, di Johor sahaja seramai 8,200 pelajar dikenal pasti bakal menerima manfaat program itu termasuk 1,500 pelajar di Johor Jaya.
Beliau turut berharap pelajar yang terpilih memanfaatkan peluang tersebut dengan menghadiri semua sesi latihan dan ujian sehingga tamat.
Menurutnya, statistik semasa menunjukkan lebih 65 peratus kematian akibat nahas jalan raya melibatkan penunggang serta pembonceng motosikal, majoritinya berusia bawah 30 tahun.
"Kes kemalangan pula banyak berlaku ketika waktu pergi dan pulang dari sekolah atau tempat kerja," katanya.
Program MyB2S merupakan pelengkap kepada Program MyLesen B2 yang diperkenalkan sejak 2023 dan dijangka terus membantu lebih ramai pelajar mendapatkan lesen memandu secara sah serta selamat. - Bernama