
228 pelajar SPM Putrajaya raih semua A, KPM umum 'hadiah' khas untuk sekolah
Seramai 228 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dari Wilayah Persekutuan Putrajaya yang memperoleh keputusan semua A diraikan dalam Majlis Apresiasi Kecemerlangan SPM dan Anugerah Inspirasi Madani di Dewan Seri Siantan, Perbadanan Putrajaya pada Isnin.
Majlis berprestij itu disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang turut menzahirkan penghargaan kepada warga pendidik, ibu bapa serta pelajar atas komitmen luar biasa dalam memastikan kecemerlangan pendidikan terus diperkasa.
Hadir sama ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Wan Hashim Wan Rahim; Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad; Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan), Megat Sany Megat Ahmad Supian serta Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Mohd Nadimin Abdul Aziz.

Selain meraikan kecemerlangan pelajar, majlis itu turut menyaksikan penyampaian Anugerah Inspirasi Madani kepada 28 sekolah di Putrajaya atas pencapaian membanggakan dalam bidang akademik, literasi, numerasi dan peperiksaan.
Dalam perkembangan sama, KPM turut mengumumkan beberapa inisiatif baharu bagi memperkukuh ekosistem pendidikan negara termasuk sumbangan smartboard, naik taraf bilik guru, pembiayaan Sudut Sasterawan Negara serta pelaksanaan Program Sukan untuk Gadis Remaja (SUGAR).

Inisiatif itu dilihat sebagai langkah berterusan kementerian dalam menyediakan persekitaran pembelajaran lebih kondusif, moden dan inklusif kepada murid serta guru di seluruh negara.
Majlis berkenaan menjadi simbol penghargaan terhadap usaha gigih pelajar dan sekolah dalam mencipta kecemerlangan sekali gus membuktikan pendidikan berkualiti terus menjadi keutamaan negara selaras aspirasi Malaysia Madani.