
Dr Swee Lay Thein, saintis Malaysia pertama menang 'Oscars of Science'! Hebat anak kelahiran Kuantan
Anak kelahiran Kuantan, Pahang, Dr Swee Lay Thein, 74, mencipta sejarah luar biasa apabila menjadi saintis kelahiran Malaysia pertama merangkul anugerah berprestij dunia, Breakthrough Prize in Life Sciences 2026 yang sering digelar sebagai Oscars of Science.
Lebih membanggakan, anugerah bernilai USD$3 juta itu diterima hasil sumbangan besar beliau dalam bidang terapi gen moden yang memberi harapan baharu kepada pesakit penyakit sel sabit (sickle cell disease) dan beta-thalassemia.
Majlis penyampaian anugerah yang berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 18 April lalu menyaksikan Pakar Hematologi itu berkongsi pengiktirafan berprestij tersebut bersama saintis terkenal dari Harvard Medical School, Dr Stuart H Orkin.
Kajian mereka membantu membuka jalan kepada pembangunan Casgevy iaitu terapi CRISPR pertama di dunia yang diluluskan dan dianggap sebagai rawatan fungsional bagi penyakit berkenaan.

Terdahulu, Anugerah Breakthrough Prizes in Life Sciences diwujudkan bagi meraikan keajaiban era sains moden serta kemajuan luar biasa dalam bidang penyelidikan dan inovasi.
Anugerah ini diasaskan bersama oleh Sergey Brin, Priscilla Chan, Mark Zuckerberg, Julia dan Yuri Milner serta Anne Wojcicki yang kini memasuki tahun ke-14 penganjurannya.
Pada tahun ini, sebanyak enam Anugerah Breakthrough diberikan dengan setiap satunya bernilai USD$3 juta.
Berkongsi latar belakang Dr Swee Lay Thein, Sinar Bestari difahamkan kejayaan luar biasa yang diraih itu bermula daripada kisah kehidupan yang cukup sederhana.
Beliau dibesarkan oleh seorang ibu yang tabah membesarkan sembilan orang anak sendirian. Walaupun hidup serba kekurangan, pendidikan sentiasa menjadi keutamaan dalam keluarga mereka.

Minat mendalam terhadap biologi dan biokimia sejak di bangku sekolah mendorong beliau melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Fakulti Perubatan, Universiti Malaya menerusi biasiswa.
Pencapaian itu sekali gus menjadikan beliau satu-satunya individu dalam keluarga yang berjaya memperoleh ijazah universiti ketika itu.
Namun, cita-cita besar beliau tidak terhenti di situ.
Menyedari kekurangan kemudahan perubatan moden di Malaysia sekitar era 1970-an, Dr Swee Lay Thein mengambil keputusan berani berhijrah ke United Kingdom demi mendalami bidang penyelidikan hematologi.

Di sana, beliau membina kerjaya cemerlang sebagai Profesor Hematologi Molekul di King’s College London sebelum meneruskan penyelidikan di Amerika Syarikat.
Kini, beliau berkhidmat sebagai Penyelidik Kanan dan Ketua Sickle Cell Branch di National Institutes of Health (NIH), Amerika Syarikat.
Semoga kejayaannya terus menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk berani bermimpi besar, menghargai pendidikan dan tidak mudah mengalah dalam mengejar cita-cita.
