Pelajar yang menyertai bengkel ini khusyuk mendengar perkongsian daripada tenaga pengajar mengenai teknik asas videografi.
Pelajar yang menyertai bengkel ini khusyuk mendengar perkongsian daripada tenaga pengajar mengenai teknik asas videografi.

Celik media, bijak berkarya

QURRATUL AINA QUDDUSQURRATUL AINA QUDDUS
25 May 2026 01:15pm

Dalam era digital yang semakin berkembang, pendedahan tentang etika media menjadi antara perkara yang perlu diterapkan kepada pelajar sejak di bangku sekolah.

Program Bengkel Fotografi dan Videografi Sinar Bestari dilihat berjaya membuka mata pelajar tentang tanggungjawab dalam menghasilkan kandungan media yang beretika dan berkualiti.

Guru Penyelaras TV PSS SMK Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor, Fatimah Abd Mutalib berkata, kemahiran teknikal seperti mengambil gambar atau merakam video boleh dipelajari di pelbagai platform.

Fatimah
Fatimah

Bagaimanapun, ujarnya perkongsian berkaitan etika dalam dunia fotografi dan videografi ini masih kurang diberi perhatian.

"Pengisian seperti ini dianggap sangat bermakna kerana mampu membentuk murid menjadi pengamal media yang lebih berhemah dan bertanggungjawab.

"Selain memberi ilmu baharu, program seperti ini turut membantu murid memahami peranan media dalam menyampaikan maklumat secara positif kepada masyarakat," katanya.

Lagipun katanya, pendedahan sebegini dilihat mampu menyemai minat murid terhadap dunia penyiaran dan penghasilan kandungan kreatif.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, Fatimah mengharapkan Sinar Bestari dapat memperluaskan lagi program seumpama itu ke lebih banyak sekolah di seluruh negara.

"Antara cadangan penambahbaikan ialah memberi fokus kepada latihan suntingan video dan penyediaan peralatan atau gajet bagi membantu pasukan TV PSS meningkatkan kualiti penerbitan mereka," kata guru itu lagi.

Juruvideo Kreatif Sinar Harian merangkap tenaga pengajar untuk videografi, Muhammad Ikhwan Muhammad Azahari memastikan tugasan berkumpulan pelajar disunting mengikut tema yang diberikan.
Juruvideo Kreatif Sinar Harian merangkap tenaga pengajar untuk videografi, Muhammad Ikhwan Muhammad Azahari memastikan tugasan berkumpulan pelajar disunting mengikut tema yang diberikan.

REAKSI

1) "Memang rasa seronok sebab bengkel ini banyak membantu saya memahami asas videografi dan fotografi yang boleh digunakan ketika menjalankan tugas TV PSS sekolah. Bengkel ini sangat bermanfaat untuk saya belajar cara menggunakan kamera dan teknik rakaman dengan betul.

"Walaupun ada beberapa perkara yang masih sukar kerana baru belajar, saya rasa lebih yakin sekarang. Kalau ada lagi selepas ini, memang mahu sertai lagi sebab banyak ilmu baharu yang boleh dipelajari." -Ng Kenwyn, 15.

2) "Sejak melangkah masuk ke bilik seminar, saya sudah rasa teruja kerana dapat menyertai Bengkel Fotografi dan Videografi Sinar Bestari. Banyak ilmu asas baharu yang saya pelajari sepanjang program ini.

"Apa yang membuatkan bengkel ini lebih menarik iaitu cara tenaga pengajar memberikan tunjuk ajar dengan begitu teliti dan mudah difahami.

"Saya berharap ilmu yang dipelajari ini dapat dikongsikan bersama rakan-rakan lain di sekolah dan berharap agar kakak dan abang Sinar Bestari dapat datang lagi ke sekolah bagi mengadakan bengkel seperti ini pada masa akan datang." - Nafhah Sahla Ahmad Dzulfirdaus, 16.

Dari kiri Ng Kenwyn, Nafhah Sahla dan Nur Fitrah Qumairah.
Dari kiri Ng Kenwyn, Nafhah Sahla dan Nur Fitrah Qumairah.

3) "Bagi saya, pengalaman menyertai bengkel ini memang sangat menyeronokkan kerana banyak ilmu baharu dapat dipelajari, terutama dalam bidang fotografi dan videografi.

"Kalau ada lagi program akan datang, saya memang mahu sertai semula. Cuma saya harap tempoh waktu bengkel ini dapat dipanjangkan kerana sesi hari ini terasa sekejap.

"Selain itu, mungkin boleh tambah lagi jumlah peserta sebab saya difahamkan ramai pelajar lain juga berminat untuk menyertainya." - Nur Fitrah Qumairah Roslan, 16.

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp