
Konsep celik kewangan berasaskan syariah untuk golongan belia
Masalah kewangan sering membelenggu golongan belia masa kini. Sebagai seorang belia atau remaja, kita sering gagal merancang kewangan dengan baik akibat sering terjerat dengan gaya hidup orang lain yang mereka lihat di laman sosial.
Trend yang membimbangkan ini akan menyebabkan kebanyakkan orang terjerat dengan hutang seawal usia 20-an akibat daripada gaya hidup (fear of missing out) FOMO dan skim “Beli Sekarang, Bayar Kemudian” (Buy Now Pay Later).
Disebabkan perkara ini, kita sering membeli barang menggunakan nafsu semata-mata tanpa memikirkan sama kita memerlukan barang tersebut ataupun tidak. Dalam sudut kewangan Islam, semua perkara ini perlu difikirkan bukan sekadar bijak dalam menyimpan wang, tetapi menguruskan amanah yang dikurniakan oleh ALLAH SWT iaitu rezeki untuk mencapai kebahagiaan di dunia mahupun di akhirat kelak.
Islam tidak melarang umatnya untuk menjadi kaya, tetapi Islam mengajarkan kita tentang cara untuk mencari dan membelanjakan harta yang kita miliki dengan beretika.
Terdapat satu formula yang diperkenalkan oleh Islam dalam membelanjakan harta yang kita miliki iaitu formula Fiqh Al-Aulawiyyat. Formula ini mengajarkan kita tentang cara untuk membuat hierarki bagi barang keperluan harian kita.
Yang pertama, Dharuriyyat (Asas/Darurat). Barangan ini amat diperlukan oleh semua orang kerana ianya merupakan barangan asas atau ruji yang tidak boleh diabaikan. Contoh barangan yang diperlukan adalah makanan, tempat tinggal, komitmen bulanan yang tetap seperti sewa rumah dan bil utiliti. Kesemua perkara ini amat diperlukan untuk kelangsungan hidup. Yang kedua, Hajiyyat (Keselesaan).
Ini merupakan perkara kedua terpenting selepas barangan asas kerana keselesaan terhadap sesuatu barangan akan menentukan seberapa baik tahap emosi kita dalam kehidupan seharian. Contohnya, kereta yang jimat minyak untuk pergi ke tempat kerja.
Seandainya kereta yang dibeli itu memudahkan urusan harian kita, kita akan menjadi lebih bersemangat untuk pergi mencari rezeki. Seandainya kita hanya mementingkan jenama kenderaan yang mewah namun terpaksa menanggung beban kos sara hidup yang tinggi, ia akan membunuh emosi secara perlahan-lahan tanpa kita sedar. Perkara terakhir dalam formula ini ialah Tahsiniyyat (Kemewahan).
Jujur dari sudut hati yang dalam, manusia normal mana yang tidak tergoda oleh godaan kemewahan yang ada di dunia ini. Namun, Islam telah mengajarkan kita untuk mengelakkan diri daripada terjerat dengan kemewahan dunia semata-mata dengan cara berhemat dalam membelanjakann harta kita. Contoh barangan mewah seperti barangan berjenama atau percutian mewah.
Islam tidak mengharamkan perkara ini tetapi Islam meletakkan perkara ini sebagai perkara terakhir yang perlu diambil kira dalam membelanjakan harta kita. Ini kerana, barangan mewah merupakan barangan yang mahal dan tidak boleh dibelanjakan dengan kerap.
Seandainya barangan asas dan juga barangan yang memberi kita keselesaan telah mencukupi, barulah kita boleh memikirkan untuk membelanjakan wang kita untuk barangan mewah.
Golongan belia juga perlu mengelakkan diri daripada terlibat dengan hutang yang terdapat unsur riba’ di dalamnya. Pengurusan hutang tanpa rizab ini akan membebaskan kita daripada jerat yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar.
Kita perlu memahami perbezaan antara hutang keperluan seperti pendidikan dengan hutan kehendak seperti hutang kad kredit yang kebanyakkannya digunakan untuk membeli barangan mewah. Perkara ini amat penting bagi mengelakkan kita terjerat dengan masalah hutang yang banyak apabila meningkat dewasa. Hutang yang terlampau banyak akan mendatangkan masalah bukan sahaja terhadap mental kita malahan kesihatan. Kita terpaksa kerja setengah mati untuk melangsaikan hutang yang sedia ada.
Ini kerana, sebagai seorang muslim kita mestilah melangsaikan hutang yang ada kerana terdapat Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah SWT telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah dia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Kemudian, hendaklah dia bertakwa kepada Allah Tuhannya dan janganlah dia mengurangkan sesuatu pun daripada hutang itu.”
Surah al-Baqarah (282)
Sesiapa sahaja yang memandang remeh soal hutang ini akan dibinasakan hidupnya seperti sabda Rasullah SAW:
Maksudnya: “Sesiapa yang mengambil harta orang lain dengan niat untuk membayarnya kembali, maka Allah SWT akan membantunya melunaskan hutang itu. Tetapi sesiapa yang mengambil harta tersebut dengan niat untuk tidak membayarnya, maka Allah akan membinasakannya.”
Riwayat al-Bukhari
Oleh itu, jelaslah bahawa kita sewajarnnya berfikir jauh sebelum melakukan sesuatu hutang agar hidup sentiasa tenang tanpa perlu bersusah-payah memikirkan cara untuk melangsaikan hutang yang bertimbun. Dalam sebuah hadis lagi yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA yang meriwayatkan bahwa Nabi SAW bersabda:
“Roh seorang mukmin akan tergantung (tertahan daripada dihisab) disebabkan hutangnya, sehinggalah hutang tersebut dilangsaikan bagi pihaknya.”
Sebagai seorang mukmin yang sejati, janganlah kita hanya mementingkan kehendak semata-mata sehingga sanggup terjun ke gaung kebinasaan iaitu dibelenggu hutang.
Dalam ekonomi Islam, kekayaan tidak mengalir dari satu arah sahaja. Hakikatnya, sebahagian rezeki kita juga terdapat hak orang lain. Disebabkan itu, Islam mengajar kita untuk sentiasa bersedekah untuk memperoleh keberkatan dalam rezeki kita.
Percayalah bahawa bersedekah tidak akan membuat kita miskin, malahan akan menjadikan kita lebih kaya. Keberkatan dalam rezeki yang kita miliki akan menjadikan kita lebih tenang dan bersyukur dengan rezeki yang sedia ada.
Terdapat ramai orang kaya di seluruh dunia yang masih tidak dapat merasai nikmat tenang walaupun mereka sebenarnya sudah mampu memiliki hampir segalanya di dunia ini. Ini kerana, mereka masih tidak dapat keberkatan dalam rezeki yang mereka miliki. Tanpa keberkatan, duit setinggi gunung Everest sekalipun tidak akan cukup.
Oleh itu, Islam mengajarkan kita untuk bersedekah dan juga mengeluarkan zakat. Contohnya, zakat pendapatan yang hanya perlu dikeluarkan 2.5% daripada pendapatan kita.
Jumlah itu sangat kecil jika dibandingkan dengan kegembiraan yang dapat kita berikan kepada golongan asnaf yang benar benar memerlukannya.
Namun, masih terdapat segelintir masyarakat Muslim yang enggan membayar zakat. Perkara ini amat membimbangkan dan menyedihkan kerana mereka masih tidak sedar tentang kelebihan perkara ini.
Sebagai penutup, golongan belia seperti kita hendaklah sedar sejak sekarang agar kita tidak tersalah langkah dalam mengurus harta yang sedia ada. Kita mesti percaya bahawa celik kewangan cara Islam adalah benteng terbaik untuk menguatkan diri kita dalam menghadapi cabaran ekonomi alaf baru yang penuh liku.
Kerajaan dan pihak berwajib perlu mengadakan beberapa kempen untuk memberi kesedaran terhadap golongan belia tentang betapa pentingnya untuk mengubah corak pemikiran daripada hidup hanya ingin terlihat kaya semata-mata kepada seorang mukmin yang hidupnya berteraskan cara Islam yang pasti akan membawa kepada ketenangan jiwa dan diredhai ALLAH SWT.
Dan perkara inilah yang diidamkan oleh semua orang iaitu pengakhiran yang baik seperti di dalam semua cerita yang kita tonton.
Maklumat penulis:
1. Mahasiswa tahun dua, Program Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam) dengan kepujian, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Abdul Rahim Razman
2. Penyelaras Kursus Pengenalan Ekonomi Islam, UMT, Dr Jaharudin Padli