
Ekonomi digital halal: Peluang baharu dan cabaran memelihara syariah dalam dunia moden
Dalam dunia yang semakin dipacu oleh teknologi, cara manusia berurus niaga juga berubah dengan begitu pantas.
Jika dahulu perniagaan hanya berlaku di kedai fizikal, kini segalanya berada di hujung jari daripada membeli makanan, pakaian, membayar bil hinggalah kepada urusan kewangan.
Kehidupan masyarakat moden kini sangat bergantung kepada platform digital yang menjadikan segala urusan lebih mudah dan cepat.
Namun di sebalik kemudahan tersebut, timbul satu persoalan penting yang semakin mendapat perhatian masyarakat Islam: sejauh mana ekonomi digital hari ini benar-benar mematuhi prinsip ekonomi Islam?
Ekonomi digital halal merujuk kepada aktiviti ekonomi secara atas talian yang dijalankan mengikut prinsip syariah Islam.
Ia melibatkan pelbagai sektor seperti e-dagang, perbankan digital Islam, pelaburan patuh syariah, pembayaran tanpa tunai dan penggunaan teknologi kewangan atau fintech yang bebas daripada unsur riba, gharar (ketidakpastian melampau) dan masyir (perjudian).
Konsep ini bukan sekadar menggunakan label 'halal', tetapi membawa nilai yang lebih besar seperti keadilan, ketelusan, amanah dan keberkatan dalam setiap transaksi.
Dalam ekonomi Islam, keuntungan bukanlah matlamat utama semata-mata, sebaliknya keseimbangan antara keuntungan dan tanggungjawab sosial turut diberikan perhatian.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, perkembangan ekonomi digital di Malaysia amat memberangsangkan.
Menurut laporan State of the Global Islamic Economy Report 2024, perbelanjaan pengguna Muslim global dalam sektor halal telah melebihi USD 2 trilion dan dijangka terus meningkat pada masa akan datang.
Keadaan ini menunjukkan bahawa ekonomi Islam kini semakin diterima sebagai satu sistem ekonomi yang mampu berkembang seiring kemajuan dunia moden.
Perkembangan ini juga membuka peluang besar kepada usahawan Muslim, khususnya perusahan kecil dan sederhana (PKS).
Jika dahulu seseorang memerlukan modal yang besar untuk membuka kedai atau memasarkan produk, kini mereka hanya memerlukan telefon pintar dan akses internet untuk memulakan perniagaan.
Platform seperti Shopee, TikTok Shop, Facebook dan Instagram telah menjadi platform utama kepada ramai usahawan muda untuk menjana pendapatan.
Situasi ini memberi peluang kepada golongan belia dan mahasiswa untuk turut terlibat dalam bidang keusahawanan tanpa memerlukan kos operasi yang tinggi.
Fenomena ini sebenarnya selari dengan prinsip Islam yang menggalakkan umatnya bekerja keras dan berniaga secara halal.
Rasulullah SAW sendiri merupakan seorang peniaga yang berjaya dan menitikberatkan sifat amanah serta jujur dalam urusan perniagaan.
Selain sektor perniagaan, perkembangan ekonomi digital halal juga dapat dilihat dalam institusi kewangan Islam.
Kini semakin banyak bank Islam menawarkan perkhidmatan digital seperti perbankan atas talian, aplikasi mudah alih, pembayaran QR dan dompet digital patuh syariah.
Kemudahan ini bukan sahaja mempercepatkan urusan pengguna, malah membantu meningkatkan akses kewangan kepada masyarakat yang sebelum ini kurang mendapat perkhidmatan perbankan.
Melalui teknologi digital, masyarakat di kawasan luar bandar juga berpeluang menggunakan perkhidmatan kewangan Islam tanpa perlu hadir ke cawangan bank secara fizikal.
Dalam masa yang sama, kemunculan fintech Islam turut membawa perubahan besar dalam sektor kewangan.
Antara contoh inovasi yang semakin berkembang ialah platform pembiayaan mikro Islam, crowdfunding patuh syariah dan pelaburan digital Islam.
Perkembangan ini menunjukkan bahawa ekonomi Islam bukan lagi dilihat sebagai sistem tradisional, tetapi mampu bergerak seiring dengan kemajuan teknologi moden.
Bahkan, ekonomi Islam mempunyai potensi besar untuk menjadi alternatif kepada sistem ekonomi konvensional yang sering dikaitkan dengan masalah hutang berlebihan, ketidakadilan dan eksploitasi.
Walau bagaimanapun, perkembangan ekonomi digital halal juga tidak terlepas daripada pelbagai cabaran.
Antara cabaran utama ialah memastikan setiap transaksi digital benar-benar mematuhi syariat.
Dalam dunia digital yang sangat terbuka, pelbagai bentuk penipuan, manipulasi harga, iklan mengelirukan dan transaksi tidak telus boleh berlaku tanpa disedari pengguna.
Ada juga sesetengah platform yang menggunakan unsur spekulasi dan ketidakpastian yang bertentangan dengan prinsip ekonomi Islam.
Oleh sebab itu, pemantauan daripada pihak berautoriti Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) amat penting bagi memastikan ekosistem ekonomi digital halal terus terpelihara.
Selain itu, tahap literasi digital dalam kalangan masyarakat juga masih menjadi cabaran besar.
Tidak semua pengguna mempunyai pengetahuan yang mencukupi mengenai transaksi digital dan keselamatan siber.
Golongan warga emas dan masyarakat luar bandar misalnya masih berdepan kesukaran untuk menggunakan aplikasi digital secara berkesan.
Keadaan ini boleh menyebabkan mereka mudah terdedah kepada penipuan dalam talian serta tertinggal daripada peluang ekonomi digital.
Bukan itu sahaja, pengguna muslim juga perlu mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap konsep 'halal tayyiban' dalam kehidupan seharian.
Islam bukan sahaja menuntut sesuatu itu halal dari sudut hukum, tetapi juga baik, bersih dan tidak memudaratkan.
Dalam konteks ekonomi digital, pengguna perlu lebih berhati-hati sebelum membuat pembelian atau pelaburan secara atas talian.
Mereka perlu memastikan produk yang dibeli jelas sumbernya, transaksi dilakukan secara telus dan tidak melibatkan unsur penindasan terhadap mana-mana pihak.
Di samping itu, sikap pengguna yang terlalu obses terhadap budaya berbelanja secara berlebihan juga perlu dikawal.
Kemudahan membeli-belah secara digital kadangkala mendorong masyarakat untuk berbelanja mengikut kehendak dan bukan keperluan.
Islam mengajar umatnya supaya bersedarhana dalam perbelanjaan dan mengelakkan pembaziran.
Oleh itu, perkembangan ekonomi digital perlu diseimbangkan dengan nilai-nilai Islam agar masyarakat tidak terjebak dengan budaya konsumtif yang melampau.
Kerajaan Malaysia melalui pelbagai dasar seperti Pelan Induk Industri Halal dan Dasar Ekonomi Digital Negara telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam memperkukuh ekonomi digital halal.
Pelbagai bantuan dan latihan turut disediakan kepada usahawan kecil bagi membantu mereka memanfaatkan teknologi digital.
Malaysia juga sering diiktiraf sebagai antara negara peneraju dalam industri halal.
Dengan kekuatan sistem kewangan Islam dan infrastruktur digital yang semakin berkembang, negara mempunyai potensi besar untuk menjadi hab ekonomi digital halal dunia.
Kesimpulannya, ekonomi digital halal merupakan satu peluang besar kepada umat Islam untuk terus maju dalam era teknologi moden tanpa mengabaikan prinsip syariah.
Perkembangan ini bukan sahaja membuka ruang ekonomi baru kepada masyarakat, malah membantu memperkukuh sistem ekonomi Islam di peringkat global.
Namun, kejayaan ekonomi digital halal memerlukan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan, institusi kewangan, usahawan dan pengguna sendiri.
Tanpa kesedaran dan tanggungjawab bersama, perkembangan teknologi boleh membawa lebih banyak mudarat berbanding manfaat.
Jika dimanfaatkan dengan betul, ekonomi digital halal mampu menjadi pemacu kepada pembangunan ekonomi yang lebih adil, mampan dan diberkati.
Dalam dunia yang semakin mencabar ini, ekonomi Islam perlu terus berkembang sebagai satu sistem yang bukan sahaja moden dan kompetitif, tetapi juga membawa kesejahteraan kepada seluruh masyarakat.
Maklumat penulis:
1. Mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Fatinnatasha Fazari Muhammad Nazri
2) Penyelaras Kursus Pengenalan kepada Ekonomi Islam, UMT, Dr Jaharudin Padli
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my