
Kos sara hidup meningkat: Peranan ekonomi Islam dari individu hingga global sebagai jalan penyelesaian
Isu kenaikan kos sara hidup semakin membimbangkan masyarakat pada hari ini. Harga barang keperluan asas seperti makanan, minyak masak, sewa rumah dan pengangkutan terus meningkat saban tahun. Keadaan ini memberi tekanan besar khususnya kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Ramai rakyat terpaksa mengikat perut, membuat lebih daripada satu pekerjaan dan berhutang demi meneruskan kehidupan harian. Dalam situasi ini, ekonomi Islam dilihat mampu menawarkan penyelesaian yang lebih adil dan menyeluruh kerana sistem ini bukan sahaja menitikberatkan keuntungan, malah menekankan kesejahteraan manusia serta keadilan sosial.
Ekonomi Islam ialah sistem ekonomi yang berasaskan al-Quran dan Sunnah. Sistem ini menolak penindasan, riba, monopoli dan pembaziran yang menjadi antara faktor utama kepada ketidakseimbangan ekonomi dunia hari ini.
Prinsip ekonomi Islam mengajar manusia supaya mencari rezeki secara halal, mengurus kewangan dengan baik dan membantu golongan yang memerlukan. Oleh itu, dalam menangani isu kos sara hidup, penyelesaian melalui ekonomi Islam perlu dilaksanakan dari peringkat individu sehinggalah ke peringkat global.
Di peringkat individu, Islam menekankan amalan kesederhanaan dalam perbelanjaan. Sikap boros dan berbelanja melebihi kemampuan menjadi antara punca ramai masyarakat mengalami masalah kewangan walaupun mempunyai pendapatan tetap.
Islam mengajar umatnya supaya mengutamakan keperluan berbanding kehendak. Firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’, ayat 27 menjelaskan bahawa orang yang boros ialah saudara syaitan.
Oleh itu, masyarakat perlu mengamalkan gaya hidup sederhana dan bijak merancang kewangan. Selain itu, individu juga perlu mengelakkan hutang yang tidak perlu.
Pada masa kini, ramai yang terjebak dengan hutang kad kredit, pinjaman peribadi dan pembelian secara ansuran hanya untuk memenuhi gaya hidup. Dalam ekonomi Islam, hutang dibenarkan tetapi tidak digalakkan jika membawa kemudaratan kepada diri sendiri.
Pengurusan kewangan yang baik seperti menyimpan, membuat bajet bulanan dan mengutamakan sumber pendapatan halal mampu membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup.
Seterusnya, ekonomi Islam turut menekankan konsep zakat dan sedekah dalam membantu masyarakat. Zakat bukan sekadar ibadah, tetapi juga mekanisme ekonomi untuk mengagihkan kekayaan secara lebih adil. Apabila zakat dikutip dan diagihkan dengan berkesan, golongan miskin dan memerlukan dapat dibantu dari segi makanan, pendidikan, tempat tinggal dan modal perniagaan.
Hal ini dapat mengurangkan jurang kaya dan miskin dalam masyarakat. Sebagai contoh, institusi zakat di Malaysia telah memainkan peranan penting dalam membantu rakyat yang terkesan akibat kenaikan harga barang dan ketidaktentuan ekonomi.
Bantuan kewangan, bakul makanan serta bantuan pendidikan yang diberikan mampu mengurangkan beban hidup penerima. Jika sistem zakat diperkasakan secara lebih menyeluruh dan telus, kesan kenaikan kos sara hidup dapat dikurangkan dengan lebih efektif.
Di samping itu, institusi kewangan Islam juga memainkan peranan penting dalam menangani masalah ekonomi masyarakat. Sistem perbankan Islam yang bebas riba menawarkan alternatif yang lebih adil berbanding sistem kewangan konvensional. Riba atau faedah yang tinggi sering menyebabkan pengguna terperangkap dalam beban hutang yang sukar diselesaikan.
Dalam ekonomi Islam, transaksi kewangan perlu berasaskan keadilan dan perkongsian risiko antara pihak terlibat. Sebagai contoh, pembiayaan Islam seperti murabahah, musyarakah dan ijarah membantu individu serta usahawan mendapatkan modal tanpa unsur penindasan.
Ini memberi peluang kepada masyarakat untuk meningkatkan taraf hidup melalui perniagaan dan pekerjaan. Selain itu, institusi kewangan Islam juga boleh menawarkan skim pembiayaan mikro kepada peniaga
kecil agar mereka mampu menjana pendapatan sendiri walaupun dalam keadaan ekonomi yang mencabar. Dalam konteks masyarakat pula, ekonomi Islam menggalakkan budaya tolong-menolong dan kerjasama.
Semangat kejiranan dan tanggungjawab sosial perlu diperkukuhkan supaya masyarakat dapat saling membantu ketika menghadapi kesusahan. Konsep wakaf misalnya mampu menjadi instrumen penting dalam membantu rakyat.
Harta wakaf boleh digunakan untuk membina sekolah, hospital, rumah kebajikan dan pusat perniagaan yang memberi manfaat kepada masyarakat secara berterusan.
Jika diurus dengan baik, institusi wakaf mampu membantu mengurangkan beban kerajaan dalam menyediakan kemudahan awam. Malah, keuntungan daripada aset wakaf boleh digunakan untuk membantu golongan miskin dan meningkatkan peluang pekerjaan. Ini membuktikan bahawa ekonomi Islam bukan sekadar teori, tetapi mempunyai mekanisme praktikal dalam menyelesaikan masalah ekonomi semasa.
Di peringkat negara dan global pula, ekonomi Islam menawarkan sistem ekonomi yang lebih stabil dan beretika. Krisis ekonomi dunia yang berlaku hari ini banyak berpunca daripada sistem kapitalis yang terlalu mengejar keuntungan tanpa memikirkan kebajikan manusia. Ketidakseimbangan ekonomi menyebabkan segelintir pihak menguasai kekayaan dunia manakala sebahagian besar masyarakat hidup dalam kemiskinan.
Ekonomi Islam menolak monopoli dan penindasan dalam perdagangan. Islam menegaskan bahawa kekayaan tidak boleh berlegar dalam kalangan golongan tertentu sahaja. Oleh itu, kerajaan perlu menggubal dasar ekonomi yang lebih adil seperti mengawal kenaikan harga barang, memastikan peluang pekerjaan mencukupi dan membantu perusahaan kecil serta sederhana.
Selain itu, kerjasama ekonomi antara negara Islam juga perlu diperkukuhkan. Negara-negara Islam mempunyai sumber semula jadi, tenaga kerja dan pasaran yang besar. Namun begitu, kelemahan dari segi kerjasama ekonomi menyebabkan banyak negara Islam masih bergantung kepada kuasa ekonomi luar.
Jika kerjasama perdagangan, pelaburan dan kewangan Islam diperkasakan, negara-negara Islam mampu membina sistem ekonomi yang lebih kukuh dan stabil. Kesimpulannya, isu kenaikan kos sara hidup bukanlah masalah yang boleh dipandang ringan kerana ia memberi kesan langsung terhadap kesejahteraan rakyat.
Ekonomi Islam menawarkan penyelesaian yang menyeluruh melalui pengurusan kewangan berhemah, pengagihan kekayaan yang adil, sistem kewangan bebas riba serta semangat kebajikan dalam masyarakat.
Penyelesaian ini perlu dilaksanakan secara bersama oleh individu, masyarakat, institusi dan kerajaan agar kesejahteraan ekonomi dapat dicapai. Jika prinsip ekonomi Islam benar-benar diamalkan, masalah kos sara hidup dapat dikurangkan dan kehidupan masyarakat akan menjadi lebih seimbang, adil serta harmoni.