Gambar hiasan
Gambar hiasan

Mendepani kenaikan kos sara hidup: Peranan ekonomi Islam dalam meringankan beban masyarakat

13 Jun 2026 01:20pm

Kini, isu peningkatan kos sara hidup kini mendapat perhatian dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Hal ini dikatakan demikian kerana harga barang keperluan harian, kos pengangkutan dan kos perbelanjaan meningkat sejajar dengan peningkatan kos sara hidup.

Kesannya, masyarakat akan menghadapi tekanan dalam menguruskan kewangan mereka. Antara golongan yang paling terkesan ialah golongan B40 dan M40 kerana pendapatan

mereka berada pada tahap yang sama dan tidak berubah. Keadaan ini akan menyebabkan sesetengah masyarakat akan menghadapi kesukaran dalam memenuhi keperluan asas mereka dan akan menjejaskan taraf hidup mereka.

Persoalannya, adakah terdapat satu ekonomi yang mampu menangani masalah ini agar masyarakat tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup ini?

Dalam konteks ini, ekonomi Islam tampil sebagai satu alternatif bagi mewujudkan prinsip keadilan dan kebajikan sosial dalam Kalangan masyarakat. Ekonomi Islam ini juga berpotensi membantu meringankan beban masyarakat setempat dalam menjalankan kehidupan seharian.

Terdapat beberapa instrumen yang digunakan dalam ekonomi Islam seperti zakat, wakaf dan larangan riba. Hal ini bertujuan untuk mewujudkan kesejahteraan ekonomi yang lebih menyeluruh. Hal ini bertepatan dengan firman ALLAH SWT dalam Surah Al-Hasyr ayat 7 yang bermaksud: "Supaya harta itu tidak hanya beredar dalam kalangan orang-orang kaya sahaja di antara kamu."

Ayat ini menunjukkan bahawa Islam menitikberatkan pengagihan kekayaan secara adil dalam masyarakat agar setiap golongan dapat menikmati manfaat ekonomi secara seimbang. Antara faktor-faktor yang menyebabkan peningkatan kos sara hidup ialah inflasi. Inflasi merujuk kepada peningkatan harga barang dan perkhidmatan secara berterusan.

Kesan, inflasi akan menyebabkan pengguna perlu membelanjakan lebih banyak wang dalam memenuhi keperluan asas mereka seperti makanan, pakaian dan pengangkutan. Hal ini akan menyebabkan kuasa beli masyarakat merosot dan akan menjejaskan taraf hidup mereka.

Dalam perspektif ekonomi, masalah ini boleh menjejaskan kehidupan masyarakat sekiranya tidak ditangani dengan baik. Oleh itu, Islam menekankan kepada pengagihan bantuan dan sumber ekonomi secara adil.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, amalan riba dalam sistem kewangan juga merupakan faktor yang menyebabkan peningkatan kos sara hidup. Situasi ini terjadi apabila pinjaman yang dikenakan faedah menyebabkan jumlah hutang meningkat dan kadar bayaran balik juga akan menjadi lebih tinggi.

Terdapat juga sesetengah peminjam yang menggunakan pendapatan isi rumah untuk membayar hutang berbanding memenuhi keperluan asas mereka. Kesannya, masyarakat juga akan berdepan tekanan kewangan dalam jangka masa yang panjang.

Di samping itu, kenaikan kos sara hidup juga disebabkan oleh ketidaksamaan agihan pendapatan dalam masyarakat. Terdapat sesetengah golongan berpendapatan rendah menghadapi kesukaran dalam memenuhi keperluan hidup manakala segelintir pihak yang menguasai sebahagian besar kekayaan. Peningkatan jurang pendapatan akan menyebabkan manfaat pertumbuhan ekonomi tidak dapat dinikmati secara menyeluruh.

Kesannya, golongan berpendapatan rendah lebih terdedah kepada kesan kenaikan kos sara hidup. Sehubungan dengan itu, ekonomi Islam memainkan peranan yang penting dalam menangani masalah kenaikan kos sara hidup ini dengan mengambil beberapa pendekatan yang berasaskan prinsip keadilan. Pendekatan ini bertujuan untuk membantu meringankan beban mayarakat dan mewujudkan kesejahteraan ekonomi yang lebih seimbang.

Dalam ekonomi Islam, zakat berperanan sebagai instrumen pengagihan semula kekayaan bagi membantu golongan yang memerlukan. Zakat yang dikutip daripada golongan yang berkemampuan akan diagihkan kepada asnaf seperti fakir dan miskin dalam memenuhi keperluan asas mereka.

Selain daripada itu, bantuan dalam bentuk wang, makanan atau perubatan juga dapat mengurangkan beban yang ditanggung oleh penerima. Melalui sistem zakat, jurang ekonomi antara golongan kaya dan miskin dapat dikurangkan. Ekonomi Islam juga melarang sebarang amalan riba kerana ia boleh mendorong kepada penindasan dan ketidakadilan dalam urusan kewangan.

Sebaliknya, sistem kewangan Islam menggalakkan transaksi yang berasaskan perkongsian untung dan rugi serta aktiviti ekonomi yang produktif. Pendekatan ini membantu mengurangkan beban hutang yang berlebihan dan memberi peluang kepada masyarakat untuk mengurus kewangan secara lebih stabil.

Dengan ketiadaan unsur riba, kesejahteraan ekonomi dapat dipertingkatkan dan tekanan kewangan dapat dikurangkan. Wakaf merupakan satu lagi instrumen penting dalam ekonomi Islam yang dapat meringankan kos kehidupan masyarakat. Melalui wakaf, aset atau harta disumbangkan untuk kegunaan umum seperti pembinaan sekolah, hospital dan kemudahan awam.

Dengan ini, kemudahan ini membolehkan masyarakat menikmati perkhidmatan yang berkualiti dan selesa pada kos yang lebih rendah atau secara percuma. Oleh itu, wakaf bukan sahaja memberi manfaat kepada penerima secara langsung, malah membantu mengurangkan perbelanjaan hidup masyarakat dalam jangka panjang.

Namun, terdapat beberapa cabaran pelaksanaan Ekonomi Islam dalam mengurangkan kos sara hidup. Salah satu cabarannya ialah kurang kefahaman dalam kalangan masyarakat.

Terdapat segelintir masyarakat kurang faham walaupun ekonomi Islam menawarkan pelbagai penyelesaian terhadap masalah kos sara hidup. Ramai juga yang melihat ekonomi Islam hanya tertumpu kepada ibadah seperti zakat semata-mata sedangkan skopnya meliputi sistem kewangan, pembangunan ekonomi dan pengagihan kekayaan. Kekurangan pengetahuan ini menyebabkan pelaksanaan prinsip ekonomi Islam tidak dapat dimanfaatkan secara optimum.

Cabaran seterusnya ialah ketidakcekapan dalam pengurusan dan agihan zakat. Walaupun zakat berperanan dalam membantu golongan miskin dan mengurangkan kesan ketidaksamaan pendapatan, namun kelemahan dari sistem agihan menyebabkan bantuan tidak sampai kepada golongan yang memerlukan.

Apabila berlaku peningkatan kos sara hidup, bantuan yang tidak mencukupi akan menyukarkan masyarakat dalam menampung keperluan harian. Kesimpulannya, kenaikan kos sara hidup merupakan cabaran yang memberi kesan besar kepada kesejahteraan masyarakat. Dalam hal ini, ekonomi Islam menawarkan pendekatan yang lebih adil dan seimbang dalam membantu meringankan beban rakyat melalui prinsip keadilan dan kebajikan sosial.

Walaupun masih berdepan dengan pelbagai cabaran dan rintangan namun ekonomi Islam tetap berpotensi dalam menjadi solusi yang berkesan dalam mewujudkan kehidupan masyarakat yang lebih sejahtera.

Oleh itu, penghayatan terhadap nilai wasatiyyah, keadilan dan ihsan dalam ekonomi Islam perlu diperkukuhkan dalam kalangan masyarakat agar setiap urusan kewangan dilaksanakan secara lebih berhemah dan beretika.

Amalan ini bukan sahaja membantu mengawal perbelanjaan individu, malah turut menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi keluarga serta kestabilan masyarakat secara menyeluruh selaras dengan prinsip ekonomi Islam.

Maklumat penulis

1. Mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Rosmawati Ghani

2. Pensyarah, Dr Jaharudin Padli

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp