Hafazan adalah satu proses memelihara ayat ALLAH dalam ingatan, tetapi pembentukan akhlak memerlukan pendidikan hati, bimbingan rohani dan suasana tarbiah yang berterusan. Foto hiasan. Gambar kecil: Kamarul Azuan Shah
Hafazan adalah satu proses memelihara ayat ALLAH dalam ingatan, tetapi pembentukan akhlak memerlukan pendidikan hati, bimbingan rohani dan suasana tarbiah yang berterusan. Foto hiasan. Gambar kecil: Kamarul Azuan Shah

Huffaz dan cabaran membina akhlak

09 Jun 2026 10:10am

Masyarakat masa kini amat menghormati dan menyanjung tinggi golongan huffaz kerana kemuliaan mereka sebagai penghafaz al-Quran.

Mereka dihormati, disanjung dan menjadi simbol harapan umat Islam untuk melahirkan generasi yang dekat dengan agama. 

Tidak sedikit ibu bapa yang meletakkan impian besar agar anak-anak mereka menjadi hafiz al-Quran kerana melihatnya sebagai jalan kemuliaan dunia dan akhirat.

Bahkan institusi tahfiz juga berkembang pesat di seluruh negara sebagai tanda meningkatnya kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pendidikan al-Quran.

Namun begitu, kebelakangan ini masyarakat semakin dikejutkan dengan pelbagai isu melibatkan sebahagian kecil pelajar tahfiz dan penghafaz al-Quran yang terlibat dalam masalah disiplin, akhlak dan sosial.

Ada yang terjebak dengan pergaduhan, buli, pergaulan bebas malah sebahagiannya terpalit dengan pengaruh media sosial yang melampau.

Situasi ini akhirnya menimbulkan pelbagai persepsi negatif sehingga ada yang mula mempertikaikan keberkesanan pendidikan tahfiz dalam membentuk sahsiah pelajar.

Persoalannya, adakah menghafaz al-Quran sahaja sudah cukup untuk membentuk akhlak manusia?

Hakikatnya, persoalan ini perlu dilihat secara matang dan adil. Menghafaz al-Quran sememangnya satu kemuliaan besar namun proses membentuk akhlak manusia memerlukan perjalanan tarbiah yang panjang, konsisten dan menyeluruh.

Artikel Berkaitan:

Hafazan semata-mata tidak mencukupi jika jiwa tidak benar-benar dibimbing untuk memahami, menghayati dan hidup bersama nilai-nilai al-Quran.

ALLAH SWT berfirman:

"Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang paling lurus." - (Surah al-Isra’: 9)

Ayat ini menunjukkan bahawa al-Quran bukan sekadar untuk dibaca atau dihafaz tetapi menjadi petunjuk kehidupan yang membentuk cara berfikir, bertindak dan berakhlak.

Malangnya sebahagian masyarakat hari ini terlalu menumpukan kepada pencapaian hafazan sehingga terlupa bahawa tujuan utama al-Quran diturunkan adalah untuk membentuk manusia yang bertakwa dan berjiwa ihsan.

Tidak dinafikan, ramai pelajar tahfiz hari ini berdepan tekanan yang besar.

Jadual pembelajaran yang padat, sasaran hafazan yang tinggi serta harapan ibu bapa dan institusi kadangkala memberi tekanan emosi kepada pelajar.

Ada pelajar yang menghafaz demi memenuhi impian keluarga, ada yang mengejar pencapaian akademik dan ada juga yang terlalu fokus kepada bilangan juzuk sehingga kurang ruang untuk memahami makna dan penghayatan ayat yang dihafaz.

Lebih membimbangkan, pelajar tahfiz hari ini juga hidup dalam dunia digital yang sangat mencabar.

Telefon pintar, media sosial, hiburan tanpa batas serta pengaruh budaya moden memberi kesan besar kepada pembentukan emosi dan identiti remaja.

Walaupun mereka menghafaz al-Quran, mereka tetap manusia biasa yang sedang melalui fasa remaja dengan pelbagai cabaran jiwa dan perasaan.

Ramai masyarakat sering terlupa bahawa seseorang yang menghafaz al-Quran tidak secara automatik menjadi sempurna.

Hafazan adalah satu proses memelihara ayat ALLAH dalam ingatan, tetapi pembentukan akhlak memerlukan pendidikan hati, bimbingan rohani dan suasana tarbiah yang berterusan.

Sebab itu ada individu yang mampu membaca dan menghafaz al-Quran dengan baik tetapi masih bergelut mengawal emosi, menjaga adab dan membina hubungan sesama manusia.

ALLAH SWT turut menegur golongan yang membaca wahyu tetapi gagal mengambil pengajaran daripadanya melalui firman-Nya:

"Maka adakah mereka tidak mentadabburi al-Quran atau hati mereka telah terkunci?" - (Surah Muhammad: 24)

Ayat ini memberikan peringatan bahawa hubungan dengan al-Quran tidak boleh terbatas pada bacaan dan hafalan sahaja.

Al-Quran perlu ditadabburi, difahami dan dihayati sehingga mampu melembutkan hati manusia. Tanpa penghayatan, hafazan mungkin hanya tinggal di lisan, tetapi belum benar-benar meresap ke dalam jiwa.

Dalam masa yang sama, institusi pendidikan tahfiz juga perlu memainkan peranan lebih besar dalam membina keseimbangan antara akademik, hafazan dan pembangunan insan.

Pendidikan tahfiz tidak boleh terlalu berorientasikan peperiksaan atau pencapaian semata-mata. Pelajar juga perlu diberikan ruang untuk pembangunan emosi, komunikasi, adab sosial dan pengukuhan spiritual secara sihat.

Guru pula bukan sekadar penyemak hafazan tetapi perlu menjadi murabbi yang membimbing jiwa pelajar.

Rasulullah SAW sendiri mendidik para sahabat dengan penuh kasih sayang, hikmah dan sentuhan hati. Baginda tidak hanya mengajar ayat al-Quran, tetapi membina manusia.

Saidatina Aisyah RA apabila ditanya tentang akhlak Rasulullah SAW, beliau menjawab:

"Akhlak Baginda ialah al-Quran." - (Riwayat Muslim)

Hadis ini sangat mendalam maknanya. Rasulullah SAW menjadi gambaran hidup kepada nilai-nilai al-Quran.

Justeru, ukuran kejayaan pendidikan al-Quran bukan hanya pada banyaknya hafazan tetapi sejauh mana al-Quran berjaya melahirkan insan yang rendah hati, menjaga amanah, menghormati ibu bapa, beradab terhadap guru dan membawa rahmat kepada masyarakat. 

Masyarakat juga perlu berhenti meletakkan harapan yang terlalu sempurna terhadap golongan huffaz sehingga setiap kesilapan kecil terus dijadikan bahan kecaman dan penghinaan.

Mereka juga manusia yang sedang belajar memperbaiki diri. Kadangkala tekanan masyarakat yang terlalu cepat menghukum menyebabkan sebahagian pelajar tahfiz mengalami tekanan jiwa dan hilang keyakinan diri.

Apa yang lebih penting ialah bagaimana keluarga, sekolah dan masyarakat bersama-sama membina suasana yang mendekatkan generasi muda kepada ruh al-Quran.

Rumah perlu menjadi tempat lahirnya kasih sayang dan tarbiah. Sekolah pula perlu menjadi tempat membina adab dan keperibadian, bukan sekadar pusat mengejar pencapaian.

Dalam masa yang sama, masyarakat juga perlu menjadi pendukung yang memberi bimbingan, bukan hanya menunggu ruang untuk menghukum.

Hakikatnya umat Islam hari ini tidak kekurangan generasi yang mampu menghafaz ayat al-Quran. Namun, umat sangat memerlukan generasi yang hidup dengan nilai al-Quran.

Generasi yang bukan sahaja lancar membaca wahyu tetapi lembut tutur katanya, bersih hatinya, menjaga amanah, menghormati manusia dan takut kepada ALLAH SWT.

Kerana pada akhirnya, al-Quran tidak diturunkan hanya untuk dihafaz di kepala tetapi untuk dihidupkan dalam jiwa dan akhlak manusia.

Apabila al-Quran benar-benar hidup dalam hati, maka lahirlah manusia yang bukan sahaja bijak berbicara tentang agama, tetapi turut memancarkan akhlak Islam dalam setiap tindakan dan kehidupannya.

Maklumat penulis:

Guru Bidang Al-Quran & Bahasa, Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan Lenggong, Perak, Kamarul Azuan Shah Mohd Mashuti 

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp