
Generasi berhutang: Di mana nilai ekonomi Islam dalam kehidupan belia?
Dalam era moden yang dipenuhi dengan kemajuan teknologi dan gaya hidup digital, golongan belia hari ini berhadapan dengan cabaran kewangan yang semakin membimbangkan.
Kemudahan pembelian secara dalam talian, penggunaan kad kredit, pinjaman peribadi serta skim “Buy Now Pay Later” (BNPL) telah menjadikan budaya berhutang semakin normal dalam kehidupan masyarakat, khususnya generasi muda.
Walaupun kemudahan ini membantu memenuhi keperluan harian, namun tanpa kawalan yang baik, ia mampu menjerumuskan belia ke dalam krisis kewangan yang serius. Isu hutang dalam kalangan belia bukan lagi perkara kecil.
Kini, ramai anak muda mula menanggung hutang seawal usia belasan tahun atau ketika masih menuntut di institusi pengajian tinggi. Ada yang berhutang untuk membeli telefon pintar, motosikal, pakaian berjenama dan memenuhi gaya hidup semasa.
Lebih membimbangkan apabila terdapat belia yang sanggup membuat pinjaman hanya untuk memenuhi kehendak dan trend media sosial. Fenomena ini menunjukkan bahawa sebahagian generasi muda semakin jauh daripada prinsip pengurusan kewangan yang dianjurkan dalam ekonomi Islam.
Islam tidak melarang umatnya berhutang, namun agama menekankan bahawa hutang perlu dilakukan secara berhemah, amanah dan hanya apabila benar-benar diperlukan. Dalam Islam, hutang merupakan tanggungjawab yang besar dan wajib diselesaikan.
Ekonomi Islam mengajar umatnya supaya mengamalkan kehidupan yang sederhana serta mengelakkan pembaziran.
Firman ALLAH SWT dalam Surah al-Isra’, ayat 27 menjelaskan bahawa golongan yang membazir ialah saudara syaitan. Namun realitinya hari ini, ramai belia lebih cenderung mengejar gaya hidup mewah walaupun kemampuan kewangan mereka terbatas.
Keinginan untuk kelihatan hebat di media sosial menyebabkan ada yang sanggup berhutang demi memenuhi tuntutan gaya hidup moden. Generasi Z atau Gen Z merupakan golongan yang paling terdedah dengan budaya perbelanjaan digital.
Kewujudan aplikasi e-dagang seperti Shopee, TikTok Shop dan pelbagai platform pembayaran ansuran menjadikan proses membeli-belah terlalu mudah dan pantas. Hanya dengan beberapa klik, pembelian boleh dibuat tanpa perlu memikirkan kemampuan kewangan sebenar. Situasi ini menyebabkan sebahagian belia semakin cenderung berbelanja mengikut kehendak berbanding keperluan.
Tambahan pula, trend “healing”, gaya hidup mewah dan budaya mengikut pempengaruh media sosial sedikit sebanyak memberi tekanan kepada Gen Z untuk sentiasa tampil sempurna di mata masyarakat. Ramai belia merasakan mereka perlu memiliki telefon pintar terkini, pakaian berjenama dan sering menikmati gaya hidup mewah demi mendapatkan pengiktirafan sosial.
Akibatnya, ada yang sanggup berhutang demi menjaga imej dan status sosial walaupun hakikatnya berada dalam keadaan kewangan yang tidak stabil. Selain itu, kurangnya ilmu pengurusan kewangan turut menjadi punca masalah hutang dalam kalangan belia. Sebahagian anak muda tidak memahami cara mengurus pendapatan, membuat simpanan atau merancang perbelanjaan dengan baik.
Mereka mudah terpengaruh dengan promosi jualan murah, diskaun besar-besaran dan kemudahan bayaran ansuran tanpa benarbenar menilai kemampuan diri. Dalam konteks ekonomi Islam, pengurusan kewangan yang baik amat dititikberatkan. Islam menggalakkan umatnya berbelanja mengikut keperluan dan bukan mengikut kehendak sematamata.
Prinsip wasatiyyah atau kesederhanaan perlu diamalkan agar kehidupan menjadi lebih seimbang. Sikap terlalu boros dan gemar berhutang boleh membawa kepada tekanan emosi, konflik keluarga serta masalah sosial yang lain. Islam juga sangat menitikberatkan soal amanah dalam mengurus hutang.
Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa roh seorang mukmin tergantung kerana hutangnya sehingga hutang tersebut dilangsaikan. Hadis ini menunjukkan bahawa hutang bukan perkara yang boleh dipandang ringan.
Namun begitu, masih ramai belia mengambil mudah tentang pembayaran hutang sehingga ada yang culas dan gagal menjelaskan tanggungjawab mereka. Kesan hutang terhadap kehidupan belia juga tidak boleh dipandang ringan.
Ramai anak muda mengalami tekanan mental akibat gagal mengurus hutang dengan baik. Ada yang terpaksa bekerja lebih masa, menangguhkan perkahwinan dan menghadapi kesukaran untuk menyimpan wang bagi masa depan. Lebih menyedihkan apabila terdapat individu yang diisytiharkan muflis pada usia muda akibat beban hutang yang tidak terkawal.
Situasi ini seharusnya menjadi peringatan kepada masyarakat bahawa masalah hutang bukan sekadar isu kewangan, tetapi juga melibatkan aspek moral dan nilai kehidupan. Generasi muda perlu dididik supaya memahami bahawa kebahagiaan tidak diukur melalui kemewahan atau kemampuan memiliki pelbagai barangan moden.
Sebaliknya, kebahagiaan sebenar datang daripada kehidupan yang tenang, stabil dan bebas daripada beban hutang yang melampau. Bagi menangani isu ini, pendidikan kewangan berasaskan ekonomi Islam perlu diperkasakan sejak di bangku sekolah lagi.
Belia harus didedahkan dengan ilmu pengurusan wang, kepentingan menabung, bahaya riba serta cara membuat keputusan kewangan yang bijak. Institusi pendidikan dan keluarga memainkan peranan penting dalam membentuk sikap kewangan yang sihat dalam kalangan generasi muda.
Selain itu, institusi kewangan Islam juga perlu lebih aktif mendidik masyarakat tentang kepentingan kewangan patuh syariah. Pelbagai produk kewangan Islam yang lebih adil dan bebas riba perlu diperkenalkan secara meluas kepada belia.
Dalam masa yang sama, pihak kerajaan dan media juga perlu menjalankan kempen kesedaran tentang bahaya budaya berhutang secara berlebihan. Islam turut menekankan konsep qanaah iaitu sikap merasa cukup dengan apa yang dimiliki.
Sekiranya nilai ini diterapkan dalam kehidupan, masyarakat tidak akan mudah terpengaruh dengan budaya menunjuk-nunjuk dan berbelanja secara berlebihan. Belia perlu memahami bahawa kehidupan yang sederhana bukan tanda kegagalan, sebaliknya ia merupakan satu bentuk kebijaksanaan dalam mengurus kewangan. Belia hari ini merupakan aset penting negara pada masa hadapan.
Sekiranya generasi muda terus dibelenggu masalah hutang, ia bukan sahaja memberi kesan kepada individu, malah boleh menjejaskan kestabilan ekonomi negara.
Oleh itu, semua pihak perlu berganding bahu bagi membentuk masyarakat yang lebih celik kewangan dan memahami nilai ekonomi Islam dengan lebih mendalam. Dalam dunia serba moden hari ini, generasi muda tidak boleh sekadar celik teknologi, tetapi juga perlu celik kewangan.
Tanpa pegangan nilai ekonomi Islam yang kukuh, budaya berhutang boleh menjadi barah yang menjejaskan masa depan generasi akan datang. Kesimpulannya, budaya berhutang dalam kalangan belia semakin membimbangkan dan memerlukan perhatian segera daripada semua pihak. Kemajuan teknologi dan kemudahan kewangan tidak seharusnya menyebabkan generasi muda hanyut dalam gaya hidup yang melampau.
Prinsip ekonomi Islam yang menekankan kesederhanaan, tanggungjawab dan pengurusan kewangan yang bijak perlu dijadikan panduan dalam kehidupan. Generasi muda perlu sedar bahawa kebebasan kewangan bukanlah tentang memiliki segala yang diingini, tetapi kemampuan mengurus kehidupan dengan tenang tanpa dibebani hutang yang tidak perlu.
Maklumat penulis
1. Mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nur Nasiroh Mohamad Yusuf
2. Pensyarah Kursus Pengenalan Kepada Ekonomi Islam UMT, Dr Jaharudin Padli