
Hutang kahwin yang membebankan: Antara tuntutan masyarakat dan prinsip ekonomi Islam
Perkahwinan merupakan satu ibadah yang dituntut dalam Islam dan menjadi asas kepada pembentukan sebuah keluarga yang harmoni. Namun begitu, trend perkahwinan pada masa kini semakin berubah apabila sesetengah pasangan sanggup berbelanja besar dan berhutang semata-mata untuk mengadakan majlis yang mewah.
Keinginan untuk memenuhi kehendak masyarakat, mengikut trend semasa serta menjaga imej kelurga menyebabkan ramai pasangan memulakan alam rumah tangga dengan beban kewangan yang tinggi. Persoalannya, adakah amalan ini selari dengan prinsip ekonomi Islam yang menekankan kesederhanaan dan pengurusan kewangan yang berhemah?
Pada masa kini, kos perkahwinan semakin meningkat. Perbelanjaan untuk sewaan dewan, katering, pelamin, pakaian pengantin, jurugambar dan hantaran boleh mencecah puluhan ribu ringgit. Keadaan ini menyebabkan sesetengah pasangan memilih untuk membuat pinjaman peribadi atau menggunakan kad kredit bagi menampung kos majlis.
Lebih membimbangkan, terdapat pasangan yang masih belum mempunyai simpanan yang kukuh tetapi sanggup berhutang demi memastikan majlis perkahwinan berlangsung mengikut kehendak mereka. Fenomena ini berlaku kerana wujudnya tekanan sosial dalam masyarakat. Ramai beranggapan bahawa majlis perkahwinan yang besar dan mewah melambangkan status serta kejayaan seseorang.
Akibatnya, pasangan pengantin berasa perlu memenuhi jangkaan keluarga dan masyarakat walaupun terpaksa menanggung beban kewangan yang berat. Dalam era media sosial, tekanan ini menjadi semakin ketara apabila majlis perkahwinan sering dibandingkan dengan majlis orang lain yang kelihatan lebih mewah dan sempurna.
Media sosial juga memainkan peranan besar dalam membentuk persepsi masyarakat terhadap perkahwinan. Paparan gambar dan video majlis yang mewah di pelbagai platform menyebabkan ramai pasangan ingin meniru gaya yang sama. Mereka beranggapan bahawa majlis yang sederhana tidak cukup menarik atau tidak mendapat perhatian.
Akibatnya, perbelanjaan yang sepatutnya boleh dikawal menjadi semakin meningkat sehingga ada yang sanggup berhutang untuk memenuhi kehendak tersebut. Budaya ini bukan sahaja memberi tekanan kepada bakal pengantin, malah boleh mewujudkan persaingan yang tidak sihat dalam masyarakat.
Walaupun hutang dibenarkan dalam Islan bagi memenuhi keperluan tertentu, Islam tidak menggalakkan seseorang berhutang untuk tujuan kemewahan atau berlebih-lebihan.
Hutang yang tidak dirancang dengan baik boleh memberi kesan negatif kepada kehidupan pasangan selepas berkahwin. Sebahagian besar pendapatan bulanan mungkin terpaksa digunakan untuk membayar hutang sehingga menyukarkan mereka menyimpan wang, membeli aset atau memenuhi keperluan keluarga.
Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh menimbulkan tekanan kewangan yang akhirnya memberi kesan kepada keharmonian rumah tangga. Kesan hutang kahwin tidak hanya melibatkan aspek kewangan samata-mata.
Tekanan akibat komitmen hutang yang tinggi boleh menjejaskan emosi dan hubungan suami isteri. Terdapat pasangan yang terpaksa menangguhkan rancangan penting seperti membeli rumah, menyambung pelajaran atau mempunyai simpanan kecemasan kerana masih dibebani hutang perkahwinan.
Lebih membimbangkan, masalah kewangan sering menjadi antara faktor yang menyumbang kepada konflik dalam rumah tangga. Oleh itu, keputusan untuk berhutang demi majlis perkahwinan perlu dipertimbangkan dengan teliti.
Ekonomi Islam menekankan konsep pengurusan kewangan yang seimbang dan bertanggungjawab. Setiap individu digalakkan berbelanja mengikut kemampuan serta mengelakkan pembaziran.
Firman ALLAH SWT dalam Surah al-Furqan ayat 67 menjelaskan bahawa orang beriman tidak berlebih-lebihan dalam perbelanjaan dan tidak pula bersikap kedekut,sebaliknya mengambil jalan pertengahan antara kedua-duanya. Prinsip ini menunjukkan bahawa Islam mengutamakan kesedarhanaan dalam setiap aspek kehidupan termasuk urusan perkahwinan.
Selain itu, Allah SWT turut mengingatkan umat Islam agar tidak melakukan pembaziran kerana perbuatan tersebut mendatangkan kesan yang buruk kepada individu dan masyarakat. Perbelanjaan yang terlalu tinggi untuk majlis yang berlangsung hanya beberapa jam tidak semestinya menjamin kebahagiaan rumah tangga.
Sebaliknya, wang tersebut boleh digunakan untuk tujuan yang lebih bermanfaat seperti simpanan kecemasan, pendidikan anak-anak atau pembelian rumah pada masa hadapan.
Dalam konteks ekonomi Islam, setiap perbelanjaan perlu membawa manfaat dan tidak dilakukan semata-mata untuk menunjuk-nunjuk atau memenuhi kehendak manusia. Rasulullah SWT juga menggalakkan perkahwinan yang mudah dan tidak membebankan. Perkahwinan yang diberkati bukanlah perkahwinan yang paling mahal, tetapi perkahwinan yang dipermudahkan urusannya.
Malangnya, nilai imi semakin dilupakan apabila sesetengah pihak lebih mementingkan kemewahan berbanding keberkatan. Akibatnya, tujuan sebenar perkahwinan sebagai satu ibadah dan pembentukan institusi keluarga yang kukuh semakin terpinggir.
Bagi mengatasi masalah ini, pendidikan kewangan perlu diberikan kepada bakal pengantin sebelum mereka mendirikan rumah tangga. Mereka perlu memahami kepentingan merancang perbelanjaan, menyediakan bajet dan mengutamakan keperluan berbanding kehendak. Selain itu, keluarga juga memainkan peranan penting dalam memastikan majlis perkahwinan tidak menjadi beban kepada pasangan.
Sokongan keluarga untuk mengadakan majlis yang sederhana mampu mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh bakal pengantin. Masyarakat juga perlu mengubah persepsi bahawa kemewahan merupakan ukuran kejayaan sesebuah majlis perkahwinan. Hakikatnya, kebahagiaan rumah tangga tidak bergantung kepada nilai wang yang dibelanjakan semasa majlis berlangsung.
Sebaliknya, bergantung kepada persefahaman, tanggungjawab dan kebijaksanaan pasangan dalam dalam menguruskan kehidupan selepas berkahwin. Majlis yang sederhana tidak mengurangkan nilai atau kemeriahan sesuatu perkahwinan. Malah, ia lebih selari dengan tuntutan Islam yang mengutamakan kesederhanaan dan keberkatan.
Kesimpulannya, hutang kahwin yang membebankan boleh dianggap bertentangan dengan semangat ekonomi Islam yang menekankan kesederhanaan, tanggunggjawab dan kesejahteraan kewangan. Perkahwinan seharusnya mejadi titik permulaan kepada kehidupan yang diberkati, bukannya permulaan masalah kewangan yang berpanjangan.
Dengan mengamalkan prinsip kesederhanaan dan berbelanja mengikut kemampuan, masyarakat dapat membina keluarga yang lebih stabil serta selari dengan tuntutan Islam.
Perubahan ini perlu bermula daripada diri sendiri, keluarga dan masyarakat agar budaya berhutang demi kemewahan dapat dikurangkan demi kesejahteraan generasi akan datang.
Maklumat penulis:
1. Mahasiswa Kursus Pengenalan kepada Ekonomi Islam Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nurul Fatihah Muhamad Radzi
2. Pensyarah, Dr Jaharudin Padli