Budaya FOMO menyebabkan ramai generasi muda mula berasa tertekan untuk sentiasa mengikut trend semasa. Gambar kecil: Nurfatin Amani (kiri) dan Dr Jaharudin (kanan)
Budaya FOMO menyebabkan ramai generasi muda mula berasa tertekan untuk sentiasa mengikut trend semasa. Gambar kecil: Nurfatin Amani (kiri) dan Dr Jaharudin (kanan)

Media sosial dan budaya FOMO: Kesan terhadap kewangan generasi muda

15 Jun 2026 01:49pm

Dalam era digital masa kini, media sosial telah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian masyarakat, terutama bagi golongan muda.

Hampir setiap hari, mereka akan menghabiskan masa melihat pelbagai trend, video viral dan gaya hidup influencer di media sosial.

Ada yang berkongsi video percutian mewah, membeli pakaian berjenama, makanan mahal dan gajet terkini.

Perkara ini secara tidak langsung dapat mewujudkan budaya FOMO atau Fear of Missing Out iaitu perasaan takut ketinggalan sesuatu trend yang sedang popular.

Budaya FOMO menyebabkan ramai generasi muda mula berasa tertekan untuk sentiasa mengikut trend semasa.

Apabila mereka melihat orang lain membeli telefon atau barang baharu, mereka juga ingin memilikinya.

Jika mereka melihat video tentang makanan atau produk yang sedang viral di TikTok, mereka juga ingin membeli dan mencubanya walaupun sebenarnya tidak begitu memerlukan.

Keadaan ini menunjukkan bagaimana media sosial mampu mempengaruhi cara seseorang berfikir dan berbelanja.

Ramai anak muda terutama pelajar berfikir bahawa mereka perlu sentiasa kelihatan up to date supaya tidak dipandang rendah oleh masyarakat sekeliling.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, trend seperti haul, unboxing dan racun TikTok semakin mempengaruhi corak perbelanjaan pengguna.

Selalunya mereka akan membeli sesuatu barang kerana tertarik dengan cara produk itu dipromosikan oleh influencer.

Mereka tidak fikir bahawa barang tersebut adalah keperluan atau bukan.

Mereka hanya ingin memuaskan diri mereka dengan membeli barang tersebut dan ingin kelihatan setanding dengan orang lain.

Akibatnya, ada yang sanggup menghabiskan duit simpanan, duit PTPTN malah berhutang semata-mata untuk mengikuti trend semasa.

Sebagai contoh, ramai yang sanggup membeli pakaian baharu setiap bulan, skincare yang mahal, kopi viral dan aksesori telefon walaupun barang lama masih boleh digunakan dengan baik.

Situasi ini semakin membimbangkan apabila wujudnya kemudahan seperti Buy Now Pay Later (BNPL).

Kemudahan ini akan lebih menggalakkan pengguna terutama golongan muda yang tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk menggunakannya.

Sistem ini mungkin memberi manfaat kepada pengguna yang bijak menggunakannya.

Namun, jika tidak digunakan dengan bijak, ia boleh menyebabkan seseorang terperangkap dalam hutang yang banyak.

Pengguna juga akan mengalami tekanan kewangan kerana tidak mampu membayar komitmen bulanan akibat terlalu ikut kehendak dan gaya hidup di media sosial.

Tambahan pula, budaya menunjuk-nunjuk di media sosial menyebabkan ramai lebih mementingkan imej berbanding kestabilan kewangan.

Ada yang sanggup berhutang semata-mata ingin membeli telefon pintar terkini, pakaian berjenama atau melancong hanya untuk menayang di media sosial.

Perkara ini menyebabkan mereka sukar menyimpan wang, tiada dana kecemasan dan sentiasa hidup dalam tekanan kewangan.

Yang paling membimbangkan, ada individu yang merasa rendah diri apabila mereka tidak mampu untuk mengikuti gaya hidup yang ditayangkan di media sosial.

Dalam perspektif Ekonomi Islam, sikap berbelanja secara berlebihan dan membazir adalah sesuatu yang tidak digalakkan.

Islam mengajar umatnya supaya hidup secara bersederhana dan mengutamakan keperluan berbanding kehendak.

Firman ALLAH SWT dalam Sura al-A’raf ayat 31 bermaksud:

"Makan dan minumlah, tetapi jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya ALLAH tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan."

Ayat ini jelas menyatakan bahawa Islam melarang umatnya membazir kerana boleh memberikan kesan buruk kepada kehidupan seseorang.

Dalam Ekonomi Islam, harta bukanlah untuk ditunjuk-tunjuk, tetapi ia adalah amanah yang perlu diurus dengan baik dan digunakan pada perkara yang berfaedah.

Oleh itu, seseorang Muslim perlu memastikan setiap perbelanjaan dilakukan secara bijak dan tidak berlebihan.

Selain itu, Islam juga menekankan konsep wasatiyyah atau kesederhanaan dalam kehidupan.

Konsep ini mengajar umat Islam supaya tidak terlalu mengejar kemewahan dunia sehingga lupa terhadap tanggungjawab sebenar dalam kehidupan.

Seseorang tidak perlu menunjukkan kemewahan semata-mata untuk mendapat perhatian masyarakat.

Yang penting ialah keberkatan rezeki dan kestabilan kewangan.

Namun begitu, budaya yang wujud di media sosial hari ini menyebabkan ramai yang lebih mementingkan imej dan pengiktirafan daripada orang lain berbanding keadaan kewangan sendiri.

Perkara ini boleh membawa kepada sikap materialistik dan lupa bersyukur dengan apa yang ada.

Di samping itu, Islam juga mengingatkan umatnya agar berhati-hati dengan hutang.

Walaupun hutang dibenarkan dalam Islam, seseorang tidak digalakkan berhutang semata-mata untuk memenuhi kehendak yang tidak penting.

Budaya FOMO menyebabkan ramai orang sanggup berhutang demi mengikuti trend semasa.

Perkara ini boleh mendatangkan kesan yang buruk terhadap kehidupan seseorang dalam jangka panjang seperti tekanan emosi, masalah kewangan dan hubungan kekeluargaan.

Oleh itu, bagi mengatasi budaya FOMO ini, generasi muda perlu melatih diri dalam mengawal penggunaan media sosial dan lebih bijak dalam membuat keputusan.

Mereka perlu bertanya kepada diri sendiri terlebih dahulu adakah barang yang ingin dibeli betul-betul keperluan atau sekadar ingin memuaskan diri sendiri.

Selain itu, amalan membuat bajet bulanan, menyimpan wang dan mengelakkan pembelian impulsif juga sangat penting untuk menjamin kestabilan kewangan pada masa hadapan.

Di samping itu, pendidikan tentang literasi kewangan dan ekonomi islam perlu diperluaskan supaya masyarakat lebih mengetahui cara menguruskan wang dengan baik.

Media sosial sebenarnya memiliki banyak manfaat jika digunakan dengan betul seperti mencari ilmu, mempromosikan perniagaan dan berkongsi perkara bermanfaat.

Namun begitu, pengguna perlu bijak mengawal diri agar tidak terlalu terpengaruh dengan gaya hidup yang ada di media sosial.

Kesimpulannya, budaya FOMO yang berpunca daripada media sosial memberi kesan besar terhadap kewangan generasi muda.

Jika tidak dikawal, budaya ini boleh menyebabkan pembaziran, hutang dan tekanan kewangan.

Oleh itu, generasi muda perlu kembali kepada prinsip Ekonomi Islam yang menekankan kesederhanaan, pengurusan kewangan yang bijak dan keberkatan dalam kehidupan.

Dengan mengamalkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan harian, generasi muda dapat mencapai kehidupan yang lebih stabil, seimbang dan bebas daripada tekanan kewangan.

Maklumat penulis:

1) Mahasiswa Tahun Dua, Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam) dengan Kepujian, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nurfatin Amani Azmi

2) Penyelaras Kursus Pengenalan kepada Ekonomi Islam, UMT, Dr Jaharudin Padli

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp