Inilah kumpulan pelajar SMK King George V yang berjaya membangunkan EnviroGard, inovasi pemantauan kualiti udara yang meraih pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Inilah kumpulan pelajar SMK King George V yang berjaya membangunkan EnviroGard, inovasi pemantauan kualiti udara yang meraih pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

EnviroGard ciptaan pelajar SMK King George V raih emas, anugerah khas & tersenarai antara 10 projek terbaik

07 Jul 2026 02:05pm

Pencemaran udara merupakan antara cabaran alam sekitar yang semakin membimbangkan di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Episod jerebu yang berulang, pelepasan asap daripada kawasan perindustrian, pembakaran terbuka serta pertambahan jumlah kenderaan di jalan raya telah menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara.

Apa yang lebih membimbangkan, pencemaran udara sering kali tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Namun, kesannya terhadap kesihatan manusia boleh berlaku dalam jangka masa panjang, termasuk menyebabkan penyakit pernafasan, asma dan masalah kardiovaskular.

Menyedari hakikat tersebut, sekumpulan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King George V, Negeri Sembilan mengambil inisiatif menghasilkan satu inovasi yang mampu membantu masyarakat memantau tahap kualiti udara dengan lebih berkesan.

Bagi mereka, usaha menangani isu pencemaran udara tidak seharusnya dipikul oleh kerajaan atau pihak berkuasa semata-mata. Sebaliknya, generasi muda juga mempunyai peranan penting dalam mencari penyelesaian yang mampu memberi manfaat kepada komuniti. 

No Image Caption

Berbekalkan semangat itu, lahirlah Environmental Air Risk Guidance and Alert Device (EnviroGard), sebuah sistem pemantauan kualiti udara berasaskan Internet of Things (IoT) yang dibangunkan oleh Nicson Yap Yong Ze, Ray Shaman Kelvin Shaman dan Ahmad Rifaie Yahaya di bawah bimbingan guru penasihat mereka, Gan Hoon.

Menurut Nicson Yap, matlamat utama pembangunan EnviroGard bukan sekadar mengukur bacaan kualiti udara, malah membantu masyarakat memperoleh maklumat yang tepat dan pantas sebelum sesuatu keadaan menjadi lebih berbahaya.

Artikel Berkaitan:

"Sistem ini direka bagi mengesan pelbagai parameter penting yang berkaitan dengan pencemaran udara dan keselamatan persekitaran. Antaranya termasuk zarah halus PM2.5, karbon monoksida (CO), metana, asap, hidrogen, suhu serta kelembapan secara masa nyata.

"Semua bacaan yang diperoleh akan dihantar terus ke platform IoT untuk tujuan pemantauan. Pada masa yang sama, sistem akan mengaktifkan amaran melalui buzzer dan notifikasi sekiranya bacaan yang direkodkan melebihi paras yang telah ditetapkan.

"Pendekatan ini membolehkan pengguna mendapatkan maklumat awal mengenai keadaan udara di persekitaran mereka dan mengambil langkah berjaga-jaga dengan lebih cepat,” katanya kepada Sinar Bestari.

Lalui pelbagai cabaran

Berkongsi pengalaman sepanjang pembangunan projek tersebut, Nicson Yap berkata, mereka banyak mempelajari bahawa inovasi bukan sekadar menghasilkan produk yang boleh berfungsi.

Sebaliknya kata beliau, inovasi yang sebenar ialah apabila sesuatu ciptaan mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi masyarakat dan memberikan impak positif kepada kehidupan seharian.

"Kami melalui pelbagai cabaran sepanjang membangunkan EnviroGard. Antaranya termasuk menguji ketepatan sensor, membina sistem pengaturcaraan, mereka bentuk perumah menggunakan pencetak 3D serta memastikan semua komponen dapat berfungsi dengan baik sebagai satu sistem yang lengkap.

"Setiap kegagalan yang dihadapi menjadi pengalaman berharga untuk kami menambah baik projek sehingga mencapai hasil yang diinginkan," katanya. 

No Image Caption

Raih pelbagai anugerah

Kesungguhan dan usaha berterusan pasukan itu akhirnya membuahkan hasil yang membanggakan apabila EnviroGard dipilih sebagai antara 10 projek terbaik dalam Pertandingan Inovasi, Sains dan Teknologi (PISTEK) Peringkat Kebangsaan baru-baru ini.

Lebih membanggakan, inovasi tersebut turut meraih Pingat Emas serta Best Innovation and Invention Award dalam pertandingan World Youth STEM Invention Innovation (WYSII) 2025 di Medan, Indonesia.

Bagi Nicson dan rakan-rakannya, kejayaan sebenar bukan terletak pada jumlah anugerah yang dimenangi, tetapi pada potensi EnviroGard untuk memberi manfaat kepada masyarakat serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan memantau kualiti udara.

Mereka percaya pendidikan STEM perlu melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga mampu mengenal pasti masalah di sekeliling mereka dan berusaha mencari penyelesaian yang praktikal.

"Setiap isu yang berlaku dalam masyarakat boleh menjadi titik permulaan kepada satu inovasi yang memberi impak besar. 

No Image Caption

"EnviroGard membuktikan bahawa idea daripada pelajar sekolah juga mampu berkembang menjadi penyelesaian yang relevan untuk komuniti," katanya lagi.

Dalam masa sama, mereka berharap lebih ramai pelajar berani melibatkan diri dalam bidang penyelidikan, reka cipta dan inovasi tanpa rasa takut untuk mencuba perkara baharu.

Menurut Nicson, setiap inovasi hebat bermula dengan satu persoalan yang mudah dan keinginan untuk mencari jawapan kepada sesuatu masalah.

"Jika lebih ramai anak muda menggunakan ilmu untuk menyelesaikan masalah masyarakat, Malaysia mampu melahirkan kumpulan inovator hebat yang menyumbang kepada negara," ujarnya.

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp