Mohd Shukri (kanan) bersama Mohd Shafry merakam detik bersejarah selepas meterainya MoU di antara MSU dengan UTM pada awal Julai.
Mohd Shukri (kanan) bersama Mohd Shafry merakam detik bersejarah selepas meterainya MoU di antara MSU dengan UTM pada awal Julai.

MSU, UTM perkasa inovasi pendidikan

Kerjasama strategik buka peluang penyelidikan, pembangunan bakat dan program dwi ijazah berteraskan AI serta teknologi

13 Jul 2026 10:15am

Management and Science University (MSU) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh komitmen dalam memacu kecemerlangan pendidikan tinggi negara.

Usaha itu menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang memberi tumpuan kepada kerjasama strategik bidang pendidikan, penyelidikan, inovasi, pemindahan teknologi dan pembangunan bakat.

Majlis pemeteraian berlangsung pada 7 Julai lalu, disempurnakan Presiden dan Pengasas MSU, Profesor Tan Sri Datuk Wira Dr Mohd Shukri Ab Yajid bersama Naib Canselor UTM, Profesor Ts Dr Mohd Shafry Mohd Rahim.

Kerjasama itu sekali gus membuka lembaran baharu dalam hubungan strategik antara dua institusi pendidikan tinggi yang berkongsi aspirasi bagi memperkukuh kecemerlangan akademik, memperluas penyelidikan berkualiti serta melahirkan modal insan berdaya saing selaras keperluan masa hadapan negara.

Menerusi persefahaman itu, MSU dan UTM memfokuskan beberapa bidang strategik berimpak tinggi, termasuk pembangunan kecerdasan buatan (AI), hospital maya dan keselamatan siber yang kini antara pemacu utama transformasi digital dalam sektor pendidikan serta industri.

Selain itu, kedua-dua universiti turut meneroka peluang melaksanakan program dwi ijazah yang memperluas pengalaman pembelajaran di samping meningkatkan kebolehpasaran graduan peringkat nasional dan antarabangsa.

Kerjasama ini juga merangkumi pelaksanaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) secara kolaboratif, penerbitan bersama dalam jurnal berimpak tinggi serta program pertukaran pelajar, pensyarah dan penyelidik bagi mengukuhkan perkongsian kepakaran antara kedua-dua institusi.

Kolaborasi itu mencerminkan komitmen berterusan MSU dan UTM dalam memperkasa ekosistem pendidikan tinggi negara, khususnya menerusi penyelidikan serta inovasi rentas disiplin yang membuka lebih banyak peluang kepada pelajar dan penyelidik untuk terlibat dalam projek berimpak tinggi.

Artikel Berkaitan:

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp