
Jalan raya bukan tempat rekreasi
Jalan raya merupakan kemudahan logistik yang membolehkan kita bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Dalam era masa kini, ia menjadi laluan utama kenderaan bermotor serta mempunyai syarat penggunaan berdasarkan jenis kenderaan, masa dan undang-undang pengangkutan yang berkaitan.
Dalam perkembangan kebelakangan ini, fungsi jalan raya bukan lagi terhad kepada pergerakan individu dan barangan. Jalan raya turut menjadi sebahagian daripada rangkaian perkhidmatan penghantaran dan pembelian secara digital. Pada masa yang sama, perubahan corak rekreasi masyarakat menyebabkan semakin ramai memilih aktiviti berbasikal ataupun berkonvoi sebagai sebahagian daripada gaya hidup dan aktiviti sosial. Aktiviti berbasikal sememangnya baik dari sudut kesihatan kerana dapat meningkatkan kecergasan dan memantapkan aktiviti fizikal. Begitu juga aktiviti berkonvoi yang boleh memberikan kepuasan minda serta memperkukuh jaringan persahabatan dan sosial.
Namun begitu, manfaat tersebut tidak seharusnya menyebabkan aspek keselamatan peserta dan pengguna jalan raya lain diketepikan. Aktiviti rekreasi yang menggunakan jalan raya awam memerlukan kerangka peraturan, pengurusan risiko dan penguatkuasaan yang jelas, sama ada melibatkan berbasikal, konvoi motosikal mahupun kereta secara beramai-ramai.
Dalam acara sukan atau kejohanan tertentu, aspek keselamatan biasanya diberikan perhatian melalui kawalan trafik oleh polis, marshal, pelan keselamatan serta kesiapsiagaan pasukan kesihatan. Perlindungan insurans dan persediaan menghadapi kemungkinan kemalangan juga perlu disediakan. Namun, bagi aktiviti rekreasi yang tidak dianjurkan secara formal, perkara ini mungkin tidak diberikan perhatian yang sama. Keadaan ini perlu dipandang serius kerana kemalangan yang melibatkan aktiviti konvoi bukan lagi sesuatu yang boleh dianggap sebagai risiko kecil.
Antara contoh kemalangan yang melibatkan konvoi kenderaan bermotor adalah seperti yang dilaporkan pada awal Julai lalu. Dalam kemalangan yang berlaku di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) itu, ia telah melibatkan lebih 30 motosikal yang dipercayai bergerak secara konvoi. Empat penunggang motosikal maut manakala 20 lagi mengalami kecederaan. Siasatan awal polis mendapati kejadian bermula apabila sebuah motosikal dipercayai merempuh bahagian belakang sebuah kereta sebelum terjatuh dan menyebabkan beberapa penunggang lain gagal mengelak.
Satu lagi kemalangan ialah pada tahun lalu yang melibatkan konvoi 15 motosikal di Lebuhraya Utara-Selatan di Seremban mengorbankan tiga pelajar kolej dan menyebabkan dua lagi cedera parah. Sebuah kereta dan lori turut terlibat dalam kemalangan tersebut. Dua kejadian ini memberikan gambaran bahawa risiko aktiviti konvoi bukan sahaja ditanggung oleh peserta, tetapi juga boleh melibatkan pengguna jalan raya lain yang tidak mempunyai kaitan dengan aktiviti berkenaan. Apabila sekumpulan kenderaan bergerak dalam jumlah yang besar dan pada jarak yang rapat, satu kesilapan atau pelanggaran kecil berpotensi mencetuskan kemalangan berantai. Dalam konteks kesihatan awam, keselamatan jalan raya sewajarnya tidak dipandang ringan.
Hak untuk berekreasi dan menjalani gaya hidup sihat tidak seharusnya mengatasi hak pengguna lain untuk menggunakan jalan raya dengan selamat. Mereka yang sedang berekreasi mungkin berada dalam keadaan emosi yang lebih santai dan teruja, tetapi jalan raya tetap dikongsi bersama pengguna lain yang mempunyai tujuan dan tahap keperluan berbeza.
Aktiviti rekreasi merupakan aktiviti yang mempunyai manfaat kesihatan malah masyarakat perlu digalakkan menjalani kehidupan yang aktif dan sihat. Persoalannya ialah di mana dan bagaimana aktiviti tersebut perlu dilaksanakan. Jalan raya awam mempunyai fungsi utama untuk pergerakan manusia dan barangan, bukannya sebagai ruang rekreasi tanpa kawalan atau sebarang peraturan.
Syor untuk mengatasi masalah ini adalah dengan mewujudkan kerangka peraturan yang lebih jelas, termasuk pertimbangan terhadap permit atau lesen bagi aktiviti rekreasi tertentu serta pengenalpastian zon yang sesuai untuk berbasikal dan berkonvoi. Penganjur pula perlu bertanggungjawab menyediakan pelan keselamatan, perlindungan insurans serta pasukan keselamatan dan kesihatan yang bersesuaian dengan skala aktiviti.
Di pihak berkuasa, penyediaan polisi yang telus serta memperbanyakkan kemudahan rekreasi, terutama untuk golongan muda, perlu diberikan keutamaan. Tempat rekreasi yang menyokong gaya hidup sihat dan pencegahan penyakit kronik juga boleh diintegrasikan dengan pembangunan kawasan tarikan pelancong. Kita tidak seharusnya memilih antara gaya hidup sihat dengan keselamatan.
Kedua-duanya boleh dicapai sekiranya aktiviti rekreasi dirancang dengan baik dan dilaksanakan di tempat yang sesuai. Jalan raya dibina untuk menghubungkan kita dari satu tempat ke tempat yang lain. Ia bukan ruang rekreasi tanpa batasan. Jika kita mahu menggalakkan gaya hidup sihat, maka sediakanlah ruang yang selamat untuk masyarakat berekreasi. Kesihatan perlu dipelihara, tetapi keselamatan semua pengguna jalan raya juga wajib diutamakan.
Maklumat penulis:
Pensyarah, Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Malina Osman
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my