Syed Mohammed Idid (belakang, kiri) dan isteri tidak pernah jemu memberi dorongan serta sokongan padu kepada kedua-dua anak mereka untuk terus melakar kejayaan dalam setiap pertandingan yang diceburi.
Syed Mohammed Idid (belakang, kiri) dan isteri tidak pernah jemu memberi dorongan serta sokongan padu kepada kedua-dua anak mereka untuk terus melakar kejayaan dalam setiap pertandingan yang diceburi.

Dua puteri melakar nama di pentas dunia... 'Inilah hadiah paling indah buat seorang ayah'

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
05 Aug 2026 10:29am

Menyaksikan kejayaan anak-anak mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa sememangnya menjadi impian setiap ibu bapa.

Bagi Syed Mohammed Idid Syed Ahmed Idid, 58, detik itu bukan sahaja menjadi kenyataan, malah meninggalkan kenangan yang akan terpahat seumur hidup.

Kejayaan dua puterinya, Sheriffah Nur Auliya, 12, dan Sheriffah Nur Ayra, 10, dalam 15th Bali International Choir Festival (BICF) 2026 di Denpasar, Bali bukan sekadar membawa pulang kemenangan, tetapi menjadi bukti bahawa usaha, disiplin dan pengorbanan mampu membuahkan hasil yang membanggakan. 

No Image Caption

Lebih bermakna, kedua-dua mereka bergabung dalam satu pasukan koir Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail (1), Kuala Lumpur yang dikenali sebagai Les Chanteurs, sekali gus mencipta kenangan istimewa apabila adik-beradik itu yang berkongsi pentas dan kejayaan di peringkat antarabangsa.

Berkongsi dengan Sinar Bestari, Syed Mohammed Idid berkata, kejayaan itu tidak datang dengan mudah kerana anak-anak bersama rakan sepasukan telah menjalani latihan sejak tahun lalu tanpa mengenal penat dan lelah.

"Les Chanteurs dibahagi kepada Les Chanteurs Senior dan Les Chanteurs Advance. Masing-masing berjaya meraih Gold 1 sekali gus menjadikan Malaysia membawa pulang dua pengiktirafan Gold 1 daripada festival ini.

"Gold 1 merupakan pengiktirafan asas dalam kelompok anugerah emas yang diberikan berdasarkan penilaian profesional juri antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

"Ia hanya dianugerahkan kepada koir yang mencapai standard artistik, teknikal dan persembahan menarik. Dua anugerah Gold 1 ini membuktikan bahawa bakat muda Malaysia bukan sahaja mampu bersaing, malah mampu berdiri sebaris dengan koir terbaik dunia," katanya.

No Image Caption

Beliau berkata, kejayaan itu turut diserikan dengan persembahan penuh bersemangat menerusi dua lagu, Singkap Siaga dan Nara yang berjaya memukau para juri serta penonton.

Namun bagi Syed Mohammed Idid, kemenangan itu hanyalah sebahagian daripada kisah yang lebih besar.

"Kisah sebenar bukanlah tentang kemenangan di pentas pertandingan, sebaliknya kisah sebenar berlaku apabila anak-anak Malaysia turun dari pentas, berkongsi lagu, budaya dan persahabatan dengan rakan-rakan dari Indonesia dan Korea Selatan.

"Di situlah saya menyaksikan kemenangan yang sebenar. Bukan kemenangan yang diukur oleh markah, tetapi kemenangan yang diukur oleh hati," ujarnya.

Pasukan Les Chanteurs sebelum beraksi di pentas pertandingan.
Pasukan Les Chanteurs sebelum beraksi di pentas pertandingan.

Mengulas mengenai minat kedua-dua anaknya, beliau berkata, Sheriffah Nur Auliya dan Sheriffah Nur Ayra sememangnya meminati bidang nyanyian dan tarian sejak kecil.

Sebagai ibu bapa, beliau dan isteri, Nur Izzati Shuib sentiasa memberikan sokongan penuh terhadap minat anak-anak, selain berharap mereka membesar sebagai anak solehah, berjaya mencapai cita-cita serta cemerlang dalam apa jua bidang diceburi.

"Saya percaya kejayaan anak-anak bukan hanya bergantung kepada bakat, tetapi juga sokongan keluarga, bimbingan guru dan kesungguhan mereka sendiri untuk terus belajar serta memperbaiki diri," katanya.

Murid-murid berbakat ini mencipta kenangan di bumi Indonesia.
Murid-murid berbakat ini mencipta kenangan di bumi Indonesia.

Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada guru-guru yang tidak pernah jemu membimbing dan mencungkil bakat terpendam anak-anak, antaranya Azahar Abdullah, Rabi'atul Raba'ah Baharudin serta seluruh tenaga pengajar yang terlibat.

Terdahulu, BICF merupakan antara festival koir paling berprestij di rantau Asia yang menghimpunkan penyertaan koir dari seluruh dunia setiap tahun.

No Image Caption

Festival yang dianjurkan oleh Bandung Choral Society itu terkenal sebagai platform yang mengetengahkan kecemerlangan seni koir di peringkat antarabangsa.

Pada edisi kali ini, lebih 3,000 peserta daripada 11 negara iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura, Filipina, Thailand, Vietnam, Korea Selatan, Jepun, Hong Kong, China dan Australia berhimpun dalam sebuah festival yang menyatukan manusia melalui satu bahasa yang difahami seluruh dunia muzik.

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp