
Suminah terap formula 5K pacu kejayaan
Guru Besar kongsi tip capai pengiktirafan Sekolah Inspirasi Kokurikulum
Berbekalkan keyakinan terhadap kekuatan sekolah, setiap pentadbir perlu mengorak langkah berani sehingga berjaya mencipta kejayaan yang membanggakan.
Itulah pengorbanan yang dilakukan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan 3, Bangi, Suminah Kasolang yang tekad menerajui institusi pendidikan berkenaan meskipun belum genap setahun mentadbir.
Tanggungjawab beliau untuk meletakkan sekolah itu sebagai Sekolah Inspirasi Kokurikulum 2025 akhirnya tercapai.

Keyakinan terhadap potensi dan kemenjadian murid, Suminah menggerakkan pelbagai inisiatif secara tersusun.
“Perkhidmatan saya di sekolah ini bermula pada 1 Julai 2024, di saat itulah diri ini memasang niat untuk pastikan SK Jalan 3 dinobatkan sebagai Sekolah Inspirasi Kokurikulum.
“Usaha yang berterusan bermula dengan pencarian bakat seawal Tahap 1, latihan berterusan kepada guru, penganjuran program bertaraf antarabangsa dan pemantauan prestasi kokurikulum secara berkala.
“Setiap usaha ini dilaksanakan bagi memastikan kecemerlangan kokurikulum terus menjadi budaya dan identiti sekolah,” katanya kepada Sinar Bestari.
5K teras kecemerlangan sekolah
Kejayaan SK Jalan 3 di pentas kebangsaan dan antarabangsa tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya dibina menerusi pelaksanaan formula 5K yang menjadi teras kecemerlangan sekolah.
Tambah Suminah, ia merangkumi komitmen tinggi pihak pentadbir dan guru, kerjasama erat dengan pakar serta jurulatih luar, latihan berterusan setiap tahun, kebajikan warga sekolah yang sentiasa diberi perhatian dengan kepercayaan penuh terhadap potensi murid.

“Amalan One Teacher One Niche dan One Student One Talent memastikan kepakaran cikgu-cikgu dimanfaatkan secara optimum, manakala bakat murid dikenal pasti serta diasah mengikut kekuatan masing-masing sehingga cemerlang,” ujarnya.
Tiga tahun pasukan bahas kebangsaan
Pasukan Bahas Bahasa Melayu bukan sekadar identiti, malah menjadi kebanggaan SK Jalan 3 dalam mencipta kecemerlangan kokurikulum.
Terbaharu, pasukan ini mengharumkan nama sekolah apabila menjuarai pertandingan bahas peringkat kebangsaan.
Bukan itu sahaja, Guru Bimbingan Pasukan Bahas SK Jalan 3, Norfamiza Moktar berkongsi bahawa mereka berjaya mengekalkan prestasi terbaik di peringkat negeri dan kebangsaan.
Katanya, setiap tahun pasukan terbaik ini menyaksikan barisan pembahas silih berganti, namun perubahan generasi bukan penghalang.
“Setiap murid dibimbing secara berterusan oleh guru pembimbing, jurulatih dan pegawai teknikal yang komited dengan pendekatan latihan baharu mengikut keperluan semasa,” katanya.

Dalam pada itu, 10 Pembahas Terbaik Kebangsaan 2026, Muhammad Khabir Norisham, 12, berkata, sokongan guru-guru, ibu bapa dan pegawai teknikal memainkan peranan penting dalam memastikan potensi pasukan bahas digilap.
“Bagi saya, bakat sahaja tidak mencukupi, jadi kami perlu berani mencabar pemikiran sendiri, menambah ilmu dan sentiasa berfikiran positif.
“Potensi akan menyerlah apabila disertai usaha berterusan serta keyakinan diri. Terus berlatih, jangan mudah putus asa dan sentiasa berfikiran jauh. Rezeki akan datang kepada mereka yang tidak pernah berhenti berusaha," katanya.
