Kem bertujuan membentuk pelajar yang mempunyai jati diri kukuh, berdisiplin, berdaya tahan dan mempunyai kemahiran kepimpinan serta mampu bekerjasama dalam kumpulan.
Kem bertujuan membentuk pelajar yang mempunyai jati diri kukuh, berdisiplin, berdaya tahan dan mempunyai kemahiran kepimpinan serta mampu bekerjasama dalam kumpulan.

Tiga hari penuh cabaran! 120 pelajar perkasa jati diri menerusi Kem Perkhemahan PBB

11 Aug 2026 03:19pm

Seramai 120 pelajar daripada tujuh sekolah menengah menyertai Kem Perkhemahan Pasukan Badan Beruniform (PBB) Generasi Madani Peringkat Daerah Klang 2026 yang berlangsung selama tiga hari baru-baru ini.

Program yang bermula dari 7 hingga 9 Ogos itu diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Jawa, Klang yang bertindak sebagai tuan rumah dan penganjur.

Kem berkenaan menghimpunkan pelajar dari SMK Kampung Jawa, SMK Teluk Gadong, SMK Shahbandaraya, SMK Bukit Tinggi, SMK Sultan Abdul Samad, SMK Batu Unjur dan SMK Sri Andalas. 

Program turut disertai 30 guru dan 15 fasilitator yang bersama-sama membimbing peserta sepanjang aktiviti berlangsung.

Menurut kenyataan media yang dikirimkan kepada Sinar Bestari, kem bertujuan membentuk pelajar yang mempunyai jati diri kukuh, berdisiplin, berdaya tahan dan mempunyai kemahiran kepimpinan serta mampu bekerjasama dalam kumpulan.

"Pelbagai aktiviti kokurikulum dan pembelajaran luar bilik darjah telah disusun bagi memperkembangkan potensi pelajar secara menyeluruh. 

No Image Caption

"Antara aktiviti yang dijalankan termasuk bengkel ikatan dan simpulan, pandu arah, mara lasak, masakan rimba, pertolongan cemas, aktiviti alam sekitar, latihan serta malam kebudayaan.

Artikel Berkaitan:

"Para peserta turut menjalani aktiviti mengikut badan beruniform masing-masing seperti Kadet Sekolah Pertahanan Awam (KASPA), Bomba, Pandu Puteri, Pengakap, Kadet Remaja Sekolah (KRS), Polis, Kadet Bomba, Pergerakan Puteri Islam Malaysia (PPIM) dan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM).

"Penglibatan dalam pelbagai aktiviti sepanjang kem bukan sahaja memberi pendedahan kepada kemahiran asas badan beruniform, malah mengasah kepimpinan, kerjasama, disiplin serta ketahanan fizikal dan mental pelajar," maklum kenyataan itu.

Pada hari terakhir, para peserta telah menyertai aktiviti pertolongan cemas bersama BSMM sebelum mengemas dan membersihkan kawasan perkhemahan.

Sementara itu, program diakhiri dengan Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah yang turut dihadiri Penolong Pegawai Pendidikan Daerah, Pembangunan Bakat Murid, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang, Suhaimi Samsudin, barisan pentadbir sekolah serta Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Kampung Jawa, Anita Md Idris. 

Penganjuran kem diharapkan dapat memberikan pengalaman bermakna kepada peserta selain membentuk murid yang lebih berdisiplin, berkeyakinan, berkepimpinan dan mempunyai jati diri serta semangat kebersamaan.

.

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp