
240 guru Tingkatan 6 perkasa kompetensi digital menerusi seminar pendidikan
Seramai 240 guru terpilih mengikuti Seminar Pendidikan Bijak Pintar Digital Guru Tingkatan 6 Daerah Klang Tahun 2026 yang berlangsung di Karangkraf pada Sabtu.
Seminar anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang, Selangor itu diadakan selama sehari dengan menampilkan pelbagai pengisian berkaitan pendidikan, pedagogi dan teknologi digital yang boleh dimanfaatkan dalam memperkasa proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).
Program tersebut turut menjadi platform kepada guru untuk berkongsi pengetahuan, pengalaman serta amalan terbaik dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan, khususnya bagi pelajar Tingkatan Enam.
Sesi pertama menampilkan rakan sinergi, Bank Rakyat yang disampaikan oleh Ketua Unit Pentadbiran Pembiayaan, Mohammad Darharith Mohd Pero.
Seminar kemudian diteruskan dengan slot Hala Tuju Pendidikan Negara dalam Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 yang disampaikan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Pembelajaran, Dr Nor Hayati Ramlan.

Perkongsian berkenaan memberi pendedahan kepada peserta mengenai aspirasi, keutamaan serta perkara yang perlu diberi perhatian dalam memperkukuh sistem pendidikan negara bagi tempoh akan datang.
Seterusnya, SISC+ Bahasa Melayu, Siti Nazura Ammi @Azmi membawakan slot Pembelajaran Terbeza dalam Kelas Tingkatan Enam.
Penerangan beliau menjurus panduan praktikal kepada guru dalam merancang kaedah pengajaran yang lebih inklusif, fleksibel dan berkesan dengan mengambil kira keperluan serta tahap penguasaan pelajar yang berbeza.

Turut diketengahkan ialah slot Kenali Digital dan DELIMA yang disampaikan Penolong Pegawai Daerah, Unit Sumber dan Teknologi Pendidikan, Wan Norasyidah Meor Mohd Afandi.
Wan Norasyidah berkongsi kepentingan penguasaan teknologi serta penggunaan platform DELIMA dalam menyokong proses pembelajaran lebih interaktif, fleksibel dan berkesan selaras dengan perkembangan pendidikan digital.

Pada sebelah petang, seminar diteruskan dengan pembentangan oleh wakil Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Klang, Siti Nurul Ain Abdul Manan.
Sesi berikutnya menampilkan wakil Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS), Dr Mohamad Redzuan Mohd Khalil yang berkongsi mengenai Amalan Baik Kajian Tindakan.
Pembentangan itu memberi pendedahan kepada guru mengenai kepentingan kajian tindakan sebagai salah satu pendekatan untuk mengenal pasti isu dalam PdP, mencari penyelesaian serta menambah baik amalan pengajaran secara berterusan.
Tidak ketinggalan, wakil Sinar Bestari, Siti Farihan Ismail turut dijemput berkongsi mengenai latar belakang portal pendidikan itu dan peranannya sebagai medium penyampaian maklumat berkaitan dunia pendidikan.

Keseluruhan pengisian seminar diharap dapat memperkaya pengetahuan dan kemahiran guru, selain membantu mereka menerapkan ilmu serta amalan terbaik yang diperoleh dalam persekitaran sekolah.
Terdahulu, Seminar Pendidikan Bijak Pintar Digital Guru Tingkatan 6 Daerah Klang Tahun 2026 dirasmikan Pengarah Urusan Syarikat Mustafar Meon, Datuk Sri Mustafar Meon.
Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Klang, Azmuddin Muhamad, Penolong-penolong Pegawai PPD Klang, SISC+ dan SIPartner.

