

Guru dilindungi selepas loceng sekolah berbunyi
Tugas seorang guru tidak berakhir apabila loceng sekolah berbunyi kerana selepas selesai mengajar, mereka khususnya wanita kembali kepada satu lagi tanggungjawab penting iaitu menguruskan rumah tangga.
Disebabkan itulah aspek perlindungan sosial juga wajar diberi perhatian.
Ketua Pegawai Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat PERKESO, Roshaimi Mat Rosely berkata, penganjuran program ini bagi memberi pendedahan mengenai kepentingan perlindungan keselamatan sosial menerusi Lindung Kasih.
Menurutnya, masih ramai guru yang belum mengetahui bahawa mereka turut mempunyai ruang untuk mendapatkan perlindungan sosial sebagai wanita atau suri rumah.
“Ramai yang bertanya, ‘Eh, kami tak tahu pun kami dilindungi oleh Perkeso’. Sebab itu kita turun padang untuk membuka ruang dan minda para guru mengenai perlindungan yang tersedia,” katanya.
Bukan itu sahaja, Lindung Kasih turut memberi fokus kepada wanita yang melaksanakan tugas menguruskan rumah tangga sekali gus meluaskan pemahaman bahawa perlindungan sosial bukan hanya berkaitan pekerjaan.
Tambah Roshaimi, guru swasta sememangnya dilindungi PERKESO melalui perlindungan pekerja sedia ada, manakala penjawat awam pula mempunyai skim perlindungan tersendiri.
“Namun, melalui Lindung Kasih ini, wanita yang layak boleh mendapatkan perlindungan dalam konteks mereka sebagai suri rumah,” jelasnya.
