
Sarung buah jadi Jalur Gemilang!
14 hari diperlukan 70 murid dan guru SMK Sungkai
Siapa sangka bahan yang sering dianggap sisa pembungkusan mampu disulap menjadi karya kreatif yang cukup menarik.
Sarung buah yang dikumpulkan dan diwarnakan dengan rona merah, kuning, biru dan putih itu kemudian disusun satu persatu, membentuk Jalur Gemilang bersaiz besar.
Ketua Projek Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungkai, Bharaty Chinasamy berkata, idea menghasilkan bendera itu tercetus bagi meneruskan kesinambungan projek kreatif yang pernah dihasilkan sebelum ini iaitu menggunakan biji getah.
“Kami berfikir selepas biji getah, bahan apa pula yang boleh digunakan bagi menghasilkan sesuatu yang berbeza.Maka, muncullah idea spontan apabila saya ke pasar dan terlihat banyak sarung buah yang dibuang.
“Ketika itu, saya terfikir kalau sarung buah ini dikumpulkan, bagaimanakah hasilnya. Daripada persoalan tersebut projek bermula. Kami minta murid-murid kumpul, melihat kesesuaian bahan, warna dan akhirnya menyusun sehingga berjaya menjadi Jalur Gemilang,” katanya kepada Sinar Bestari.

Bukan itu sahaja, tambah Bharaty, idea penghasilan Jalur Gemilang tercetus untuk menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dengan pendekatan lebih kreatif, unik dan bermakna.
“Kami mahu menghasilkan sesuatu yang bukan sahaja melambangkan semangat patriotisme tetapi turut membawa mesej kelestarian alam sekitar.
“Sarung buah yang kebiasaannya dianggap sebagai bahan buangan, kami kumpulkan, guna semula dan susun sehingga membentuk Jalur Gemilang berskala besar.
"Daripada bahan yang sederhana dan hampir tidak bernilai, akhirnya terhasil sebuah karya simbol cinta kepada negara.
“Secara tidak langsung, kami mahu menyampaikan mesej bahawa semangat cintakan negara tidak semestinya diterjemahkan melalui sesuatu yang mahal, tetapi ia boleh lahir daripada kreativiti, usaha dan kebersamaan seluruh warga sekolah,” ujarnya.
Lahir rasa bangga
Bermula dengan mengumpul sarung buah sedikit demi sedikit, siapa sangka bahan terpakai itu akhirnya membentuk Jalur Gemilang gergasi.
Bagi Penyelaras Bulan Kebangsaan, Mohd Alif Firdaus Ismail, momen paling bermakna apabila melihat keterujaan murid sebaik karya itu menampakkan bentuknya.
“Projek ini menyatukan warga sekolah dengan rasa kebersamaan dan memiliki. Lebih membanggakan, setiap murid melihat sendiri hasil tangan dan sumbangan mereka terpahat pada karya patriotik berkenaan,” katanya.
Ujar Mohd Alif Firdaus, sepanjang projek, murid-murid belajar bekerjasama bermula dengan mencari dan mengumpul sarung buah, mengasingkannya mengikut warna, hinggalah membantu proses penyusunan serta pemasangan.

Reaksi
"Bagi saya, merdeka bermaksud hidup bebas tanpa dijajah dan dapat menentukan masa hadapan sendiri dengan aman. Murid perlu menunjukkan semangat patriotik dengan menghormati Jalur Gemilang, menjaga perpaduan dan mengharumkan nama negara melalui kejayaan dalam pelajaran. Saya bangga kerana dapat hidup dalam negara yang aman dan mempunyai rakyat berbilang kaum tetapi masih tetap bersatu.” - Priyanila Sashi Kumar, 14.
"Saya berasa bangga, terharu dan puas hati kerana dapat melihat hasil titik peluh dan kerjasama kumpulan membuahkan hasil yang sangat besar dan indah. Tugas saya adalah untuk membantu mewarnai bahagian bulan dan bintang serta menyusun kain mengikut ukuran yang betul bersama kawan-kawan.” - Nur Amni Zahra Mohd Iskandar, 14.
"Merdeka bermaksud kita menghargai pengorbanan pejuang terdahulu dan menjaga keamanan serta perpaduan negara. Sepanjang menyiapkan Jalur Gemilang gergasi ini, saya bertanggungjawab untuk menyusun dan menampal setiap bahagian bendera supaya kelihatan kemas serta tersusun.” - Rina Ramalia Rozen, 16.
